JOM KREATIF
KUCING bernama Keting ini didakwa boleh bercakap beberapa patah perkataan.
KL 12 Jan 11: KUCING pun boleh sebut perkataan Melayu-Jawa, apalagi ADUN DAP Sekincan? Lihat dua berita di bawah ini..
Satu
: Kucing boleh bercakap mama di Jawa Timur JAKARTA - Seekor kucing betina peliharaan seorang wanita berusia 21 tahun yang hanya dikenali sebagai Claudia di Dusun Krajan, Jawa Timur, boleh mengungkapkan perkataan mama, mami, mamia dan nombor satu sehingga sepuluh, lapor sebuah akhbar semalam.
Kucing berusia satu setengah tahun itu diajar oleh Claudia untuk mengungkapkan perkataan itu sejak haiwan tersebut masih kecil.
"Bisa (boleh) berhitung satu sampai sepuluh bahkan bisa diajak bicara," kata Claudia kepada akhbar detikSurabaya.com semalam.
Menurutnya, kucing yang bernama Keting itu memahami arahan dan pertanyaan daripadanya.
"Bisa bilang (bercakap) mama, mami, mamia dan banyak yang lain juga," tambahnya.
Ibu kucing itu telah mati manakala proses latihan bercakap itu dilakukan oleh Claudia dan anggota keluarganya yang lain secara berterusan.
Dia turut mengajar lima kucing lain untuk bercakap tetapi hanya Keting sahaja yang memiliki kecerdasan luar biasa dengan memahami dan menuturkan perkataan itu.
Sebelum ini, pada Jun tahun lalu heboh diperkatakan penduduk mengenai seekor kucing Parsi jantan putih berusia dua tahun milik Anggita Rizki Ayu di Bandung, Jawa Timur yang boleh mengungkapkan perkataan yang berbunyi seperti enggak yang bermaksud tidak dalam bahasa Melayu. - Agensi
Dua: Lihat berita ini pula..
Pelbagai pendekatan ditampilkan bagi menarik perhatian masyarakat mendengar penjelasan Pakatan Rakyat terhadap sesuatu isu. PAS Kawasan Batu antara yang kreatif cuba menterjemahnya.
Pada 4 Disember lalu, Ng Suee Lim diundang mengisi program "BBQ Iduladha Bersama Adun Sekincan" dengan tiket RM10 dijual. Keli bakar, ikan cencaru, ayam dan udang, cukup upaya menggamit kehadiran ramai penyokong Pakatan Rakyat. Tergiur air liur bila mencicah air asam dan sos BBQ dengan udang dan keli bakar.
Asap yang berombak, memeriahkan lagi suasana BBQ. YB Suee Lim tiba lewat sedikit dari Exco Dewan Muslimat PAS Pusat, Athirah Al-Jundi. Kedua-duanya tetamu yang berucap pada malam itu. Dengan program begini, bukan sahaja menautkan ikatan kasih antara AJK PAS Kawasan malah, menggamit ramai penyokon dan simpati Pakatan Rakyat untuk sama-sama memeriahkan majlis.
Ia diadakan di Dewan Masyarakat Taman Gombak. Menumpang premis milik Kerajaan Selangor. Kebetulan Parlimen Batu bersempadan dengan Parlimen Gombak. Dewan ini dalam Dun Gombak Setia yang diwakili PAS, Dato' Hassan Ali.
Tetamu mula menjamu selera jam 8.40 malam. Asap dari bara menerujakan hadirin dengan bauan harum ikan bakar. Mereka memuji langkah PAS Batu menganjurkan BBQ itu. Seronok sebab dapat bertemu kawan-kawan sambil bersantai.
Sebelum YB Suee Lim masuk ke dewan, bersama Aiman Athirah beliau diajak Yang Dipertua PAS, Ishak Surin turun ke dapur bertemu petugas yang sibuk membakar dan menghidang. Mereka melawat dan menyapa petugas sambil berseloroh. Tetamu lain yang undang termasuklah Pemangku Presiden PRM, Ariffin Salamon dan Naibnya, Swee Koh Yong; Penulis prolifik Subky Latif; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; adik allahyarham Dr Burhanuddin Al-Helmy, Dr Norbit Mohd Noor dan ramai lagi.
Ng yang berbangsa Tionghua boleh berceramah menggunakan dialek Jawa, Minang, Banjar dan sesekali Tamil dengan lancar membuatkan hadirin ketawa apabila beberapa isu diulas dalam dialek tersebut. Itulah kelebihan Adun DAP itu. Dan kerana itulah dia amat disenangi penduduk Sekincan. Seorang yang peramah, ambil berat dan berani.
Nada suaranya tinggi. Jika tak tahu siapa penceramah itu, didengar dari jauh, tanpa melihat wajah; tak siapa mengatakan dia seorang Cina. Laras bahasa Melayunya lancar, kemas dan mantap. Loghat Jawa, Minang, Banjar dan Tamilnya juga tidak kekok. Dia seorang penceramah dan bijak memainkan intonasi suara secara berkesan. (Dicatat oleh
Tarmizi Mohd Jam)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sepatutnya calon-calon ADUN atau Parlimen PAS Melayu-Islam kena tahu bahasa Cina atau India, di sampinag bahasa asas yang lain.
Lihat contoh pemimpin besar Nabi Allah Sulaiman AS dalam Al-Quran, boleh berbagai bahasa bukan bahasa manusia sahaja, bahkan bahasa binatang dan jin pun!
-------------------------
Lagi siri ini..
E-Buku IH-10: 'Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik..'
No comments:
Post a Comment