TUNIS 15 Jan 11: Tunisia diselubungi huru hara dengan Perdana Menteri Mohammed Ghannouchi melantik dirinya sebagai pemangku Presiden ketika tentera mengambil alih kawalan di ibu kota Tunis, serta beberapa lapangan terbang utama negara itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Terdahulu, dalam satu kenyataan, keadaan darurat telah dikuatkuasakan di Tunisia.
“Pasukan polis dan tentera diberi kuasa untuk menembak mana-mana orang disyaki yang gagal mematuhi arahan atau melarikan diri daripada diperiksa,” kata kenyataan itu.
Perintah darurat diisytihar selepas Presiden Tunisia, Zine al-Abedine Ben Ali yang pro-Amerika Syarikat (AS) tumbang dalam siri bantahan berdarah golongan pelajar pada malam kelmarin dan beliau telah meninggalkan tanah airnya.
Zine al-Abedine tumbang selepas beliau memerintah Tunisia secara kuku besi selama 23 tahun.
Sumber di Arab Saudi memberitahu, presiden berkenaan pada mulanya berlepas ke Perancis tetapi dilaporkan tidak diberi kebenaran memasuki negara itu oleh Presiden Nicolas Sarkozy.
Menurutnya, sebuah pesawat yang membawa Zine al-Abedine selamat mendarat di kota Jeddah, Arab Saudi pagi semalam.
Drama penyingkiran Presiden Tunisia itu bermula empat minggu lalu apabila bantahan golongan pelajar merebak ke seluruh negara dan akhirnya sampai ke ibu negara pada Khamis lepas.
Rata-rata rakyat sudah bosan dengan pemerintahan diktator Zine al-Abedine tetapi kemuncak kemarahan mereka berpunca daripada kegagalan pemerintah mengekang kenaikan mendadak barangan keperluan asas seperti susu, roti dan gula yang amat membebankan orang ramai.
Tanpa mengendahkan perintah berkurung dan janji presiden mereka untuk tidak bertanding bagi penggal keenam pada pilihan raya 2014, puluhan ribu penunjuk perasaan keluar memenuhi jalan-jalan raya di sini sejak semalam.
Sebahagian mereka bertindak liar dengan memanjat bumbung, memecah masuk dan membaling batu ke arah bangunan-bangunan pemerintah terutama bangunan Kementerian Dalam Negeri.
Bagaikan medan perang, kepulan asap menyelubungi ibu kota Tunisia semalam selepas polis melepaskan bom asap dan menggunakan kekerasan bagi menyuraikan penunjuk perasaan.
Menurut satu laporan terbaru, polis menembak mati 13 orang lagi menjadikan angka kematian sejak kebangkitan rakyat Tunisia tercetus beberapa minggu lalu meningkat kepada 80 orang. – Agensi
Komen Harakah: "PAS mendoakan kemenangan rakyat di Tunisia dan akan mendapat perlindungan Allah SWT,” kata Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad.
Katanya, PAS mengikuti dengan teliti perkembangan di Tunisia dan melahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh rakyat Tunisia yang telah menggulingkan rejim Ben Ali yang merupakan rakan akrab Amerika Syarikat dalam menentang 'terroris Islam'.
“Kekejaman berpuluh-puluh tahun rejim Ben Ali dengan membunuh serta memenjara ribuan para ulama serta para cendekiawan adalah kemuncak kezaliman rejim yang mendapat sokongan kuasa Barat ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Tegasnya, rakyat Tunisia dinafikan hak bersuara, kebebasan dan keadilan sepanjang pemerintahan 'kuku besi' Ben Ali. “PAS yakin dengan kebangkitan rakyat ini akan menjadi pengajaran kepada mana-mana rejim yang zalim dengan menafikan hak serta kebebasan termasuk di Malaysia dan kepada setiap suara rakyat,” ujarnya.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Malaysia, bila lagi kebangkitan rakyat seperti itu? Tak payah susah-susah dan jangan tunggu lama-lama, ajar saja dalam PRU 13 ini. Tolak BN! (IH)
No comments:
Post a Comment