Friday, January 14, 2011

Siapa Rancang Bantah Protes Suara Azan Jumaat Ini?

NONE


KL, 14 Jan 11: Satu protes dirancang untuk diadakan selepas solat Jumaat hari ini, dipercayai bagi membantah dakwaan mengatakan sebuah masjid di kawasan Lembah Pantai di sini diminta tidak lagi menggunakan pembesar suara ketika azan.

Khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disebarkan sejak beberapa hari lalu mendesak orang Islam supaya berkumpul di Masjid Al-Kalsiah, Pantai Dalam — bagi membantah tindakan seorang “peguam Cina” mahu supaya azan dihentikan — perkembangan dikhuatiri bakal mencetuskan ketegangan baru di kalangan masyarakat pelbagai kaum negara ini.

“Apa hak dia menyuruh kita menghentikan azan? Peguam Cina itu dengan angkuh menulis satu bantahan kepada Perdana Menteri dan menyebut ia adalah hak asasi dia untuk membuat permintaan itu,” dakwa SMS tersebut.

“Semua jemaah diminta supaya menghadiri solat Jumaat 14 Januari di Masjid Al-Kalsiah Pantai Dalam dan menyertai protes membantah peguam Cina itu yang minta supaya azan dihentikan,” tambah SMS yang disebarkan itu.

Bagaimanapun nama peguam tersebut tidak dinyatakan dalam SMS tersebut.

Ia menambah, masjid yang terletak di kawasan komersial baru yang dipanggil Bangsar Selatan itu mula dibuka sejak 30 tahun lalu dan peguam tersebut berpindah di kawasan yang majoriti orang Melayu sejak setahun lalu.

Satu ketika dahulu, kawasan Pantai Dalam dipenuhi dengan rumah setinggan dan rumah flat kos rendah tetapi kini ia telah dibangunkan dengan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, seorang pegawai dari Pekida mengesahkan protes tersebut akan diadakan di pekarangan masjid tersebut hari ini dan mendakwa pengurusan masjid itu dipaksa mematikan pembesar suara sejak dua minggu lalu.

“Sudah dua minggu sejak masjid dipaksa mematikan (pembesar suara) ketika azan dan penduduk tertanya-tanya apa yang terjadi. Kemudian mereka dapat tahu ia disebabkan tekanan yang diberikan peguam Cina itu,” kata Rahimuddin Harun dari Pekida Kuala Lumpur.

“Ini sepatutnya tidak terjadi kerana rumahnya terletak kira-kira satu kilometer dari masjid tapi masjid dipaksa mengalah kerana dia telah menulis surat kepada semua orang,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Isu azan lima kali dalam sehari menjadi isu sensitif sejak Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada September 2008 kerana didakwa meminta sebuah masjid di Puchong supaya menghentikan penggunaan pembesar suara ketika azan.

Kok dibebaskan seminggu selepas penangkapannya dan menafikan dakwaan itu, malah ahli jawatankuasa masjid berkenaan turut mempertahankan Pengerusi DAP Selangor itu sambil berkata tiada permintaan seumpama itu. Demikian lapor The malaysian insider.

Sedangkan Malaysiankini melaporkan, pihak pengurusan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi mengambil pendekatan memperlahankan bunyi pembesar suara ketika laungan azan termasuk ketika solat Jumaat, ekoran aduan seorang peguam bukan Islam yang mendakwa bunyi solat di masjid itu "amat lantang".

Ketua imam masjid berkenaan Mahadi Abdullah berkata pihaknya mengurangkan kadar laungan azan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akhir Disember lalu. "Selepas berjumpa dengan JAWI, kita memperlahankan sedikit laungan azan (pembesar suara) pada setiap waktu solat."

Komen Weblog Ibnu Hasyim:

Satu: Benarkah seperti yang dilaporkan?
Dua: Kita lihat siapa dalangnya? Apa tujuannya?
Tiga: Apa tindakan pihak berwajib.
Empat: Lihat hadis ini...

Dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi SAW bersabda:

”Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali. Dia sentiasa menggoda orang yang sedang solat, dengan berkata kepadanya:”Ingatlah apa yang belum kamu ingat!” Sehingga akhirnya orang itu tidak tahu lagi berapa rakaat dia telah solat.” (Al-Bukhari)

Huraian: Syaitan berada di mana-mana. Oleh kerana itu pohonlah perlindungan dengan berzikir atau membaca ayat-ayat al-Qur’an. Dalam menghadapi keadaan-keadaan yang membahayakan, mencemaskan atau menakutkan, malah dalam keadaan biasa sekalipun pun, eloklah kita mengamalkan amalan-amalan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, Contohnya, dalam waktu kecemasan seperti kebakaran, azan dan takbir amat sesuai dilaungkan di samping ayat-ayat atau zikir-zikir pendek.

Selain itu untuk berlindung daripada syaitan juga kita dikehendaki melaungkan azan dan iqamah ke telinga bayi yang baru lahir. Sesungguhnya syaitan itu tidak lain melainkan sentiasa ingin menggoda manusia dengan apa cara sekalipun hatta di dalam solat supaya manusia lalai daripada mengingati Allah dan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebinasaan pada dirinya.

Sebab itulah Rasulullah menyuruh kita mengamalkan berbagai bacaan doa sama ada ketika makan, ingin memasuki tandas, keluar tandas, memasuki rumah memakai pakaian, tidur, membawa kenderaan dan sebagainya. Maka apabila manusia terlindung dengan doa yang dibacanya itu akan terlepaslah peluang syaitan untuk merosakkan manusia. (Sumber Hadis : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

Lihat keseluruhan.... klik gambar

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

2 comments:

  1. Saya tak heran kalau yg plan semua ni orang Melayu sendiri.
    Sebab kita tau jenis manusia duduk kawasan ini semua.

    ReplyDelete
  2. Pesal Pekida jadi jurucakak lakk..FUCK PEKIDA..................

    ReplyDelete