Monday, January 24, 2011

S'ngor: Gagal Pinda Undang Tubuh

SHAH ALAM, 24 Jan 11: Sebagaimana dijangkakan usul pindaan perlembagaan negeri Selangor berhubung soal pelantikan tiga pegawai kanan perkhidmatan awam negeri tidak dapat diluluskan ekoran ketiadaan sokongan dua pertiga anggota Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pakatan Rakyat menyokong pindaan mengembalikan kuasa Sultan manakala Barisan Nasional (BN) pula menolak. Usul itu mendapat sokongan 34 anggota dari Pakatan Rakyat manakala 20 wakil rakyat BN terus dengan pendirian tidak menyokong.

DUN Selangor memperuntukkan 56 kerusi. Pakatan Rakyat mempunyai 35 wakil rakyat termasuk Speaker Datuk Teng Chang Khim manakala wakil Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah telah diisytiharkan sebagai telah hilang kelayakan sebagai Adun. Usul pindaan Perkara 52 (1) Undang-undang tubuh Kerajaan Selangor 1959 dibentangkan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pagi tadi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum pengundian belah bahagian dijalankan, Khalid berkata, penolakan oleh anggota BN dibuat atas nama politik dan kesetiaan mereka kepada pihak-pihak yang berkuasa di Putrajaya. “Sepatutnya sebagai wakil rakyat, keputusan mereka perlulah berdasarkan kepentingan rakyat,” kata beliau lagi.

Khalid berkata penolakan usul juga membuktikan bahawa Umno yang sebenarnya tidak menghormati sama sekali institusi Raja-raja Melayu dan tetap menghalang Raja-raja Melayu daripada memainkan peranan yang sepatutnya dalam institusi Raja Berperlembagaan. “Sikap hipokrit pihak Umno kini jelas ternampak dalam rekod mereka yang secara konsisten menafikan kuasa Raja-raja Melayu, terutamanya pada tahun 1983, 1993 dan kini, 2011,” katanya lagi.

Khalid juga menjelaskan sidang Dewan hari ini membuktikan pemimpin Umno sebenarnya tidak layak untuk menyentuh soal kedaulatan Raja-Raja kerana belang mereka telah terbongkar. “Mereka menuduh Pakatan Rakyat tidak menghormati peranan Raja-raja tetapi sebenarnya Umno yang menghakis kuasa Raja-raja melalui pindaan-pindaan Perlembagaan yang telah dilakukan,” kata beliau.

Khalid memberitahu, walaupun Pakatan Rakyat tidak berjaya untuk membuat pindaan, majoriti ahli Dewan telah menyokong. “Ini tidak akan mematahkan semangat Pakatan Rakyat. Malah, isu ini telah menguatkan lagi tekad Pakatan Rakyat untuk membuktikan kewibawaan kami dan memperolehi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya kelak supaya pindaan ini dapat dibangkitkan semula,” katanya.

Katanya, pihaknya masih berpendirian bahawa Sultan Selangor dan kerajaan negeri berhak untuk memainkan peranan dalam pemilihan tiga pegawai ex-officio demi memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Walaupun pihak Persekutuan nampaknya terus mengenepikan suara rakyat Selangor dan enggan menghormati semangat federalisme atau bertemu setengah jalan, kerajaan negeri akan berusaha untuk memastikan pentadbiran negeri akan terus dijalankan dengan baik dan selancar mungkin demi kebajikan rakyat Selangor.

“Bersama menjunjung amanah yang diberi oleh rakyat, kerajaan Pakatan Rakyat akan terus menggandakan usaha untuk melaksanakan tugas dan meneruskan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Kata beliau, hari ini kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah mencipta sejarah apabila semua wakil rakyat perikatan itu bersatu menyokong cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio yang telah dimansuhkan selepas pindaan Perlembagaan 1993. (IH)

Lihat keseluruhan.... klik gambar
E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor
E-Buku IH-21: Projek BN Rampas Selangor

2 comments:

Anonymous said...

teruskan perjuangan yg HAK Tan Sri MB..yakin dan percayalah mana2 pemegang amanah yg telah diberi kedudukan tidak menjalankan Amanah sebaik dan sejujurnya PASTI ALLAH akan beri Balasan yg tidak akan mereka2 in sanggup pikul.INSYALLAH rakyat tidaklah sebodoh mana menilai mana yg HAK mana yg BATIL
INSYALLAH akan mendapt kejayaan dan pertolongan ALLAH dgn meneruskan pentadbiran yg AMANAH berpegang dgn AJARAN ALLAH...ingatlah dlm semua HAL bebalik kpd ALLAH INSYALLAH ..
ingat firman ALLAH al-Jumuah ayat8

Unknown said...

semoga demokrasi tulen terus subur..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails