Tuesday, January 18, 2011
Sokong Suburkan Dialog Antara Agama & Budaya
KL 18 Jan 11: WEBLOG Ibnu Hasyim menyokong cadangan YB Ahmad bin Kasim, ahli parlimen kawasan Kuala Kedah dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat.
Beliau menyarankan supaya terus menyuburkan dialog antara agama dan budaya seperti dilaporkan Harakah hari ini. Beliau merujuk kepada isu laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah, Kg Kerinci, Kuala Lumpur dan Isu umat Islam bekerja di premis yang menjual arak di Selangor dan kontroversi Novel Interlok.
Weblog ini juga menyokong cadangan PAS supaya satu pertemuan antara tokoh-tokoh pelbagai agama di negara ini bagi membuat rumusan mengenai judi, arak, zina dan juga pergaulan bebas, seperti yang dicadangkan oleh Mrsyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beritkut adalah tulisan YB Ahmad Kasim..
MUTAKHIR ini isu-isu sensitif yang melibatkan agama dan budaya terus menjadi-jadi di negara kita. Ini adalah sebahagian daripada fenomena terkini yang dikaitkan dengan kehidupan manusia yang semakin rencam akibat dari arus globalisasi. Sistem pemerintahan demokrasi yang dipraktikkan dikebanyakan negara di dunia yang mengutamakan soal hak asasi manusia serta kebebasan beragama memerlukan kebijaksanaan untuk mengurus rakyat yang berbilang bangsa dan agama.
Bermula atas premis ini maka persoalan interaksi dan sifat tolak ansur (tasamuh) sangat penting untuk menjadi wahana bagi mengatasi isu-isu yang sensitif. Oleh itu, adalah amat penting untuk kita suburkan dialog antara agama dan antara budaya bagi meminimakan perbezaan pandangan agar ia tidak meruncingkan lagi sehingga boleh merosakkan negara. Dialog atau perbincangan antara dua pendapat yang berbeza dengan tujuan utama untuk saling tegur menegur agar boleh meningkatkan kefahaman dan berubah kearah yang lebih mulia adalah suatu keperluan semasa yang sangat penting.
Matlamat akhir dari proses ini adalah bagi memastikan kehidupan yang lebih harmoni, sejahtera antara rakyat, serta amalan agama dan budaya akan lebih terjamin. Pandangan Dr Mohd Farid Sharan (UIA) (Dibentang dalam “Muzakarah Pendisiplinan Dialog Antara Agama dan Peradaban” pada 22 Januari, 2008, di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur.) amat menarik untuk dijadikan panduan mengenai dua pendekatan dialog yang boleh dilaksanakan.
“Pertama: dialog yang lebih khusus dengan tujuan menjelaskan kebenaran agama masing-masing dan mengelakkan kesilapfahaman di kalangan penganut agama lain. Asas kepada dialog bentuk ini ialah menjalin persefahaman. Ia bukan bertujuan untuk mengubah mana-mana doktrin agama akan tetapi untuk menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai kepercayaan dan kefahaman agama masing-masing. Ia mungkin menjadi bentuk perdebatan, akan tetapi ia harus dilakukan dengan ilmiah dan sihat. Di peringkat ini, dialog harus diwakili oleh para ilmuwan yang berwibawa dari kedua-dua belah pihak. Sebaiknya ia dijalankan secara tertutup dengan dihadiri oleh mereka yang benar-benar faham mengenai maudu’ yang dibahaskan.”
“Kedua; Dialog yang menumpukan terhadap penyelesaian masalah-masalah semasa yang lebih berkait dengan urusan pentadbiran agama dan maslah-masalah semasa. Tujuan dialog bentuk ini ialah untuk menjamin kelangsungan keharmonian dalam kehidupan bersama (peaceful co-existence). Ia bersifat lebih pragmatik dalam erti kata membahaskan masalah-masalah yang timbul yang memberi kesan langsung kepada keharmonian kehidupan bersama masyarakat beragama.
Ia termasuk membincangkan persoalan common enemies yang dihadapi oleh setiap agama seperti aliran-aliran sekular, kepentingan prinsip-prinsip etika yang dapat dikongsi bersama. Ia bukan untuk berkompromi mengenai nilai-nilai agama yang dipegang oleh setiap agama akan tetapi mencari titik pertemuan yang dapat dijadikan titik tolak tasamuh antara penganut-penganut agama.”
Asas utama untuk menjayakan dialog ini adalah sikap kelompok yang terlibat bersedia dengan keupayaan untuk memberikan reaksi yang meyakinkan terhadap sebarang permasalahan yang dibangkitkan. Dalam hal yang dipersetujui bersama hendaklah didahulukan dan terus dijayakan , manakala hal-hal yang tidak dapat dikompromi atas dasar prinsip agama atau budaya maka hendaklah kita berlapang dada dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Asas inilah yang digunapakai oleh Pakatan Rakyat yang dibentuk selepas pilihanraya 8 Mac yang lalu. Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama , Parti Keadilan Rakyat mengucapkan tahniah atas usaha yang dilakukan oleh Pemuda PAS yang telah mengadakan pertemuan muhibah antara penulis, budayawan dan NGO dengan tujuan untuk mencari formula penyelesaian dan kontroversi yang melanda novel Interlok. Ternyata dialog yang penuh keilmuan, kematangan dan saling hormat menghormati telah menghasilkan suatu jalan penyelesaian yang lebih harmoni.
Tindakan yang bersifat emosi melulu dan bertujuan untuk mencari publisiti umum tidak akan berkesudahan malah akan mengakibatkan kelompok yang kalah akan memberontak. Berkumandangnya azan setiap waktu di masjid-masjid seluruh dunia adalah sebahagian daripada syiar Islam. Ketika kita bersedia bertolak ansur untuk menerima bunyi-bunyi lain yang berbentuk keagamaan atau adat sesuatu kaum dalam negara kita, maka harus ada kesediaan untuk pihak yang berkenaan juga bersedia dengan laungan azan yang hanya lebih kurang lima minit.
Sekiranya bantahan itu dalam bab yang lebih khusus , selain dari bunyi azan, itu kita sedia untuk berdialog dan berbincang secara ilmiah dan saling hormat menghormati. Dalam hal ini juga antara pandangan seorang dan pandangan kolektif yang melibatkan lebih ramai amat wajar diambil kira. Pandangan individu ini mungkin kes yang amat terpencil yang boleh diberi nasihat secara peribadi dan tertutup. Maksudnya pendapat individu ini bukan isu umum yang perlu dibahaskan secara terbuka.
Termasuk isu orang-orang Islam yang bekerja di premis-premis yang menjual arak di Selangor dan melibatkan pandangan berbeza antara dua Exco Kerajaan Negeri Selangor. Ini melibatkan pandangan dalam urusan agama dan urusan pentadbiran. Saya amat percaya sekiranya dialog yang mengambil kira pandangan pakar-pakar dalam hal agama dan pentadbiran disatukan dalam satu majlis, serta memegang kepada prinsip yang telah di nyatakan di atas, sudah pasti isu ini dapat di leraikan dengan jayanya.
Pihak yang berkenaan perlu bersedia untuk menerima perubahan dengan meletakkan keutamaan kepada kehidupan yang lebih harmoni ,sejahtera serta saling menghormati kepada pegangan agama masing-masing. Pegangan agama adalah perkara pokok yang susah untuk dikompromi, kerana agama berkait rapat dengan kepercayaan, keyakinan dan pegangan hidup yang bersifat mutlak dalam kontek kesucian yang sukar untuk menerima perubahan. Ini bersesuaian dengan perintah Allah dalam al-Quran Surah Al-kafirun bahawa “ Bagi mu agama kamu dan bagiku agamaku” (Lakum di nukum waliyadin). Manakala dalam urusan pentadbiran adalah amat mudah diubah serta di kompromi.
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat menyarankan :-
Semua pihak yang mempunyai pandangan yang berbeza khususnya dalam isu-isu yang sensitif yang melibatkan persoalan agama dan budaya sesuatu kaum untuk duduk semeja berdialog dengan penuh beradap dan saling hormat menghormati. Majlis dialog ini boleh dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuklah parti politik , pihak kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin melihat kepentingan hidup harmoni lagi sejahtera dalam konteks negara Malaysia. Kenyataan sebelah pihak melalui media terbuka hendaklah dihentikan, kerana ia tidak membantu menjayakan majlis dialog ini. Dialog ini perlu melibatkan pihak-pihak yang berkaitan dan individu yang mempunyai autoriti dan keilmuan dalam bidang tersebut. Ini bagi menghasilkan tindakan yang lebih konprehensif selepas mencapai resolusi dialog ini. Sekiranya tidak dialog ini hanyalah perbahasan ilmiah yang direkodkan untuk bacaan generasi akan datang.
Penulis adalah Ahli Parlimen Kawasan Kuala Kedah yang juga Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama,(BIPPA), Parti Keadilan Rakyat.
Sekian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment