Sunday, January 23, 2011

Tenang: BN Guna Isu Negara Islam -Salahuddin Ayub

Salahuddin Ayub ketika ditemu bual pada hari kedua kempen pilihan raya kecil DUN Tenang hari ini. — Foto oleh Choo Choy May

LABIS, 23 Jan 11: PAS tidak bimbang sekiranya Barisan Nasional (BN) terus menggunakan isu negara Islam untuk meraih sokongan pengundi-pengundi di Tenang, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub hari ini. Salahuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Tenang berkata, parti komponen Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan membantu menjelaskan perkara tersebut kepada pengundi bukan Melayu di kawasan itu.

“Kita tidak bimbang tentang itu (negara Islam) kerana kita dah ada satu pendekatan bahawa majoriti pendekatan dan kempen akan dihasilkan oleh PKR dan DAP.

“Jadi kita tak perlu risau... kita tidak bimbang, PKR dan DAP akan bantu jelaskan,” kata beliau dalam temu bual dengan The Malaysian Insider hari ini. Ini bukan kali pertama BN menggunakan isu negara Islam ketika berhadapan dengan saingan pilihan raya kecil.

BN melalui parti komponennya, MCA berkata akan membawa isu-isu seperti negara Islam dan janji-janji yang tidak ditunaikan oleh pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS sejak pilihan raya umum lalu. Ini sedikit sebanyak menyebabkan Pakatan Rakyat berada dalam kedudukan defensif.

Malah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek turut menimbulkan isu tidak bersalam terhadap calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman sebelum ini. Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong tindakan Dr Chua yang membangkitkan agenda PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam jika Pakatan Rakyat berkuasa adalah baik bagi “mengingatkan” masyarakat Cina di DUN Tenang.

Sementara itu Harakah melaporkan serangan peribadi Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terhadap calon PAS, Normala Sudirman kononnya 'kalau dia bersalam pun dengan memakai sarung tangan' adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Gambar atas: Queen Elizabeth bersalam dengan Perdana Menteri India Manmohan Singh dalam keadaan bersarung tangan.

Bahkan ia dianggap merendah-rendahkan pengetahuan dan budaya orang Cina sendiri seolah-olah mereka bodoh untuk menerima pandangan bekas menteri kesihatan itu. Ini kerana bersalam dengan memakai sarung tangan bukannya merendahkan martabat mana-mana pihak dan tidak ada kesalahanpun dari segi moralnya.

Bagi kebanyakan pihak, kenyataan Chua ini sesuatu yang sangat naif dan menyerang pribadi pihak lain ketika moral beliau sendiri sangat dipertikaikan sehingga terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan sebelum ini.

"Baginda Queen Elizabeth, Ratu England juga memakai sarung tangan ketika bersalam dengan mana-mana pihak hatta pemimpin negara lain.

"Adakah Chua Soi Lek mahu berkata, Queen Elizabeth mahu menghina Perdana Menteri India, Manmohan Singh ketika bersalam dengan beliau dalam keadaan memakai sarung tangan," kata seorang pemerhati politik.

Bagi keluarga diraja British, tidak memakai sarung tangan ketika bersalam dengan pihak lain adalah satu yang tidak beradab.

Menurut Salahuddin lagi, Pakatan Rakyat akan memberi tumpuan terhadap isu-isu rakyat terutamanya dari aspek permasalahan rakyat di kawasan Tenang. Pakatan Rakyat juga akan menjelaskan matlamat dan fokus sekiranya gabungan tiga parti itu memerintah negara.

“Isu yang melibatkan masyarakat Melayu adalah isu-isu nasional tapi kerana kita ada tiga tanah rancangan (Felda) besar di sini, isu yang difokuskan adalah isu peneroka dan soal tanah mereka.

“Seterusnya kita juga fokus kepada teras orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ia harus dijelaskan kepada orang Melayu bahawa Pakatan Rakyat bukannya mahu mengurangkan teras orang Melayu.

“Ia harus dijelaskan... ini merupakan komitmen Pakatan Rakyat dalam konvensyen yang pertama. Itu adalah perkara-perkara yang melibatkan Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan Raja-raja Melayu tidak akan terusik, malah akan dijamin oleh Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau juga menegaskan, undi penentu kemenangan bagi pilihan raya kecil itu bukan undi daripada warga Felda, tetapi adalah undi orang bukan Melayu.

“Medan sebenar bukan di Felda, medan sebenar adalah 39 peratus pengundi Cina dan India.

“Bagi saya Umno-BN dah terlalu selamat di Felda dan fokus ialah kepada pengundi orang bukan Melayu.

“Bagi PAS, kita harus kekalkan komitmen dan janji kita, kita harapkan anjakan yang mungkin 10 peratus lagi untuk kita capai satu kemenangan,” katanya.

Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos. Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus). Dalam temu bual hari ini, Salahuddin turut mendakwa Mohd Azahar agak “keberatan” untuk bertanding bagi mewakili BN dalam pilihan raya kecil itu.

“Menurut maklumat yang saya terima, beliau (Mohd Azahar) meletakkan jawatan sebagai ADO (Penolong Pentadbir Tanah) pada Jumaat lalu.

“Parti politik seharusnya memilih dari kedudukan ini (pimpinan bahagian) dan dia (Mohd Azahar) sebagai ADO bukan orang yang begitu berkehendakkan untuk bertanding.

“Tapi bila dalam pimpinan bahagian tiada berkelayakan, jadi dia diminta untuk bertanding. Sebenarnya dia keberatan (mahu bertanding),” kata beliau sambil menyifatkan pemilihan Normala sebagai calon PAS-Pakatan Rakyat sebagai satu keputusan bijak.

Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari kedua hari ini. Pengundian akan diadakan pada 30 Januari. (IH)

Sila lihat P/K DUN Tenang secara keseluruhan...
E-Buku IH-25: P/K DUN Tenang
E-Buku IH-25: P/K DUN Tenang

1 comment:

Unknown said...

Salam...

Blog sahabat telah saya linkkan di laman blog www.politikharian.blogspot.com , pohon jasabaik sahabat linkkan laman portal www.politikharian.com ke laman blog sahabat untuk mendapatkan informasi berita politik terkini. Terima kasih.

Salam Perjuangan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails