KL, 16 Feb 11: Parti Kesejahteraan Tanah Air (Kita) pimpinan Datuk Zaid Ibrahim telah menerima kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk bergerak atas nama dan perlembagaan baru ketika spekulasi menyebut pilihan raya umum kemungkinan diadakan tahun ini.
Difahamkan sekretariat parti itu menerima notis kelulusan hari ini. “Notis kelulusan diterima sebentar tadi, pucuk kepimpinan akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya dalam waktu terdekat,” kata pegawai Kita kepada media.
Menurut pegawai, kelulusan itu berkuat kuasa hari ini. Permohonan mendapatkan kelulusan berhubung nama dan perlembagaan baru dikemukakan kepada ROS Kelantan 11 Januari lalu. Sebelum ini parti itu dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), parti politik yang beribu pejabat di Kota Baru.
Akim dalam mesyuarat agung tahunannya pertengahan Disember lalu telah menukar namanya menjadi Kita dan mengemukakan permohonan mendapatkan kelulusan menukar nama, logo dan perlembagaan. Sejak itu parti itun diterajui oleh Zaid (gambar) yang keluar PKR November lalu.
Mesyuarat agung luar biasa parti itu, yang pertama kali diadakan di luar Kelantan Disember lalu. telah bersetuju untuk menukar Akim dengan nama baru Kita. Zaid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dan calon timbalan presiden dalam pemilihan PKR tahun lalu mengambil alih jawatan baru itu daripada Zakaria Salleh pada mesyuarat agung luar biasa itu. (IH)
No comments:
Post a Comment