KAHERAH 19 Feb 11: Kezaliman mulai terserlah, apabila Perarakan Hari Kemarahan di Libya bertukar menjadi ganas semasa anggota keselamatan rejim Muammar Gaddafi menembak mati sekurang-kurangnya 24 orang, semalam.
Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW), berkata keganasan berlaku di dua bandar utama Libya, Benghazi dan al-Baida. Memetik sumber tidak dikenali, HRW berkata, penunjuk perasaan ditembak dengan peluru hidup.
Pengarah HRW bagi rantau Timur Tengah dan Afrika Utara, Sarah Leah Whitson, berkata serangan ganas ke atas demonstrasi aman itu adalah bukti jelas kekejaman Gaddafi jika dia berdepan dengan rasa tidak puas hati rakyatnya.
“Warga Libya sepatutnya tidak perlu merisikokan diri sendiri untuk mendapatkan hak sebagai manusia,” katanya.
Pembangkang menggunakan Facebook bagi menggerakkan orang ramai menyertai perarakan Hari Kemarahan semalam, tetapi Gaddafi, 68, membalasnya dengan menganjurkan demonstrasi penyokong kerajaan di tengah Tripoli.
Ratusan orang menyertai perhimpunan di Dataran Hijau di ibu negara Libya sambil membawa sepanduk memuji-muji Gaddafi, antara lain sebagai ‘pemimpin revolusi.’ Dia turut muncul seketika sejurus selepas tengah malam dan mendapat sambutan hangat.
Tulang belakang rejim Gaddafi, Jawatankuasa Revolusi, berkata mereka tidak akan membiarkan protes rakyat menggagalkan kejayaan rakyat, mengancam keselamatan serta kestabilan negara. (IH)
No comments:
Post a Comment