Salah sebuah kenderaan yang dibawa arus deras di kawasan Segamat. Kenderaan ini masih belum dapat dialihkan sehingga pagi tadi.— Foto ihsan pembaca The Malaysian Insider
Begitu juga keadaan di Melaka di mana lebih ramai dipindahkan sehingga tengah malam tadi. Daripada 47,838 orang dipindahkan setakat 8 pagi tadi di Johor, Johor Baru mencatatkan 4,715 orang melibatkan 1,232 keluarga, Muar (2,435; 562) Batu Pahat (2,543; 569), Segamat (19,658; 4,717), Kluang (9,594; 2,368), Pontian (656; 149), Kota Tinggi (2,469; 586), Mersing (99; 31), Ledang (4,260; 932), Kulaijaya (1,409; 345).
Bagaimana di Segamat, kawasan yang paling teruk dilanda banjir, sehingga 10 pagi mangsa yang masih berada di pusat perpindahan adalah seramai 19,441 orang melibatkan 93 pusat perpindahan. Jurucakap pusat operasi banjir berkata paras air sudah mula turun tetapi masih di paras bahaya dan dijangka air akan naik lagi jika hujan berterusan.
Anggota tentera juga dilaporkan masih membina jambatan sementara yang menghubungkan Felda Redong dekat Segamat, yang menghubungkan pekan Tenang dengan Felda Redong dan Segamat Kecil. Kerja-kerja itu dimulakan sejak tengah malam tadi.Jurucakap pusat operasi banjir memberitahu kawasan yang sudah surut adalah Labis dan bahagian Bandar Segamat sebelum Jambatan Permaisuri iaitu kawasan Segamat Baru. Jalan Segamat-Yong Peng juga selamat untuk dilalui, katanya.
Di Johor jumlah kawasan yang terlibat dalam banjir juga dikatakan bertambah berbanding pagi semalam. Menurut jurucakap bilik gerakan banjir negeri Johor, sebanyak 10,989 keluarga telah berpindah ke pusat perpindahan sehingga pukul 12 tengah malam tadi.
“Sehingga tengah malam tadi seramai 45,909 penduduk dengan 10,989 keluarga telah dipindahkan di seluruh negeri.
“Semua daerah di negeri ini menghadapi banjir dan kita terpaksa memindahkan mereka ke pusat perpindahan. Kita tidak tahu bagaimana keadaan banjir sekarang (tengah malam tadi), tapi kita jangkakan jumlah ini akan bertambah,” katanya.
Angkatan Tentera Malaysia juga mula menggerakan pasukan mereka untuk membantu mangsa banjir. Sebanyak 261 pusat perpindahan telah dibuka untuk menempatkan mangsa banjir dengan 13 pusat perpindahan telah ditutup.
Seramai 4,715 mangsa banjir dari 1,232 keluarga di Johor Baru telah dipindahkan ke 20 pusat perpindahan, 2,095 mangsa dari 481 keluarga di Muar dipindahkan ke 21 pusat perpindahan dan seramai 2,417 mangsa dari 544 keluarga di Batu Pahat dipindahkan ke 25 pusat perpindahan.
Sementara itu di Segamat, seramai 18,915 mangsa dari 4,499 keluarga telah dipindahkan ke 88 pusat perpindahan, seramai 9,730 mangsa dengan 2,408 keluarga di Kluang dipindahkan ke 48 pusat perpindahan dan di Pontian seramai 656 mangsa dari 149 keluarga dipindahkan ke sembilan pusat perpindahan.
Di Kota Tinggi - kawasan yang terjejas teruk dalam banjir besar empat tahun lalu, seramai 2,419 mangsa dari 524 keluarga telah dipindahkan ke 18 pusat pemilihan, di Mersing seramai 99 mangsa dari 31 keluarga dipindahkan dengan satu pusat perpindahan, di Ledang seramai 3,454 mangsa dari 776 keluarga ditempatkan di 22 pusat perpindahan dan di Kulai Jaya seramai 1,409 mangsa dari 345 keluarga dipindahkan ke 9 pusat perpindahan.
Sejak semalam banjir buruk yang berlaku telah menyebabkan tiga kematian dan lebih 40,000 telah dipindahkan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Masih ramai terperangkap di beberapa bandar Johor dengan ketiadaan bekalan elektrik atau bekalan, memaksa pasukan tentera membantu operasi menyelamat mangsa.
Bencana kali ini diakibatkan hujan berterusan selama hampir 10 hari manakala menurut Jabatan Meteorologi, hujan dijangka turun hingga minggu ini di Segamat, Kota Tinggi dan Kluang. Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut, jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Melaka yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan meningkat kepada 2,889 orang sehingga pukul 9 malam tadi berbanding 2,714 mangsa pada sebelah petang.
Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata Alor Gajah menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,534 daripada 344 keluarga di 10 buah pusat pemindahan. Di Jasin, jumlah mangsa yang ditempatkan di 15 buah pusat pemindahan ialah 1,306 orang daripada 321 keluarga dan 49 mangsa daripada lapan keluarga di sebuah pusat pemindahan di Melaka Tengah.
Banjir di Melaka meragut mangsa pertama hari ini di Jasin iaitu seorang pengawal keselamatan, Yusry Mohd Yusof, 40, yang ditemui lemas di Loji Air, Kampung Chinchin pada pukul 1.30 tengah hari semalam. Maklumat Jabatan Meteorologi menunjukkan hujan sekejab-sekejab kadangkala sederhana di Johor dan Pahang pagi semalam manakala di Kelantan, Melaka dan Terengganu hujan di satu dua tempat di kawasan pantai. Keadaan di Johor itu diramalkan akan berterusan sepanjang 24 jam. Begitu juga di Pahang
Di Melaka, ribut petir dijangkakan di beberapa tempat pada sebelah petang. Di Negeri Sembilan, diramalkan tiada hujan sebelah pagi tetapi ribut petir di beberapa tempat sebelah petang dan hujan di satu dua tempat sebelah malam. Laporan Bernama menyebut, beberapa perkhidmatan tren ke selatan dan timur Semenanjung dibatalkan semalam akibat banjir dan tanah runtuh antara Bahau dan Tampin di Negeri Sembilan hingga ke Kluang, Johor.Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata perkhidmatan Ekspres Rakyat dari Butterworth ke Singapura dan Singapura-Butterworth hanya beroperasi dari KL Sentral ke Butterworth sahaja. Ekspres Sinaran Selatan dari Singapura ke KL Sentral dan KL Sentral-Singapura serta Ekspres Senandung Sutera antara KL Sentral-Singapura terpaksa dibatalkan. Pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di talian 1-300-88-5862).
Sementara itu, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) telah mengaktifkan kaedah respons banjir tempatan dengan membuat persediaan memberi bantuan kepada mangsa banjir di Johor dan Sarawak. Presidennya Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata pihaknya sedang berurusan dengan Majlis Keselamatan Negara bagi membantu mangsa serta menghantar bekas yang mengandungi barangan penjagaan kebersihan kepada mereka.
Orang ramai boleh membuat sumbangan derma melalui nombor akaun Maybank 5621-7950- 4126 atas nama Mercy Humanitarian Fund atau akaun CIMB Bank melalui nombor 1424-000-6561053 atas nama Mercy Malaysia.
(Sumber The Malaysian Insider)
No comments:
Post a Comment