KL, 7 Feb 11: Kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) menafikan desas-desus bahawa PAS mempertimbangkan untuk tidak bertanding di kerusi DUN Merlimau, sebaliknya PAS akan menurunkan calonnya pada pilihan raya kecil 6 Mac ini.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa PR secara sebulat suara telah bersetuju bahawa PAS harus bertanding pada pilihan raya kecil ke-15 itu.
“Tidak benar, tidak benar,” kata beberapa wakil rakyat PR yang turut berada pada sidang media susulan pertemuan mereka di ibu pejabat DAP di sini hari ini.
Anwar menambah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengharapkan sokongan keseluruhan jentera PR membantu persediaan menghadapi pilihan raya kecil itu. Mengenai calonnya, Abdul Hadi yang turut menghadiri sidang media itu berkata keputusan mengenainya akan dibuat pada mesyuarat kepimpinan parti itu 13 Februari ini.Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.
Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi. (IH)
No comments:
Post a Comment