KL, 22 Feb 11: PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam pembunuhan ke atas ratusan rakyat Libya dan meminta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) campur tangan segera. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat Libya yang tidak bersenjata telah turun ke jalan raya menuntut hak mereka yang dinafikan selama puluhan tahun.
Di Kota Benghazi, penunjuk perasaan menguasai keadaan dan mengambil alih pejabat keselamatan utama selepas pertempuran membunuh 60 lagi penduduk. Tindakan Libya terhadap penunjuk perasaan itu dikatakan yang paling keras antara negara Arab, berbanding bantahan yang menggulingkan pemimpin Tunisia dan Mesir.
Tambahnya, tindakan pihak keselamatan kerajaan di bawah pimpinan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang telah menggunakan senjata berat ke atas rakyat yang menunjukkan perasaan mereka adalah tindakan tidak bertamadun dan tidak patut berlaku pada zaman moden ini.
Justeru, katanya masyarakat antarabangsa, yang bermati-matian mempertahankan hak asasi manusia, demokrasi dan perundangan antarabangsa wajar untuk memberikan tekanan kepada kepimpinan negara Libya.
Ini, tegasnya agar kepimpinan negara itu menghentikan segera kezaliman berkenaan dan menubuhkan badan siasatan bebas bagi menyiasat pembunuhan itu bagi memberi keadilan kepada mangsa-mangsa pembunuhan tentera dan polis Libya.
“Kepimpinan Libya yang telah menyekat hak rakyat selama puluhan tahun ini pula wajar untuk melepaskan jawatan dan mengembalikan demokrasi yang tulen kepada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
PAS, tegasnya bersama dengan gerakan Islam juga menyeru agar dunia barat tidak memandang serong terhadap peranan gerakan Islam dalam melakukan perubahan secara demokrasi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, dunia barat juga tidak wajar mengamalkan sikap double standard dalam mencadangkan penyelesaian kemelut di Asia Barat. Ini, katanya kerana tindakan meminggirkan peranan gerakan Islam yang ingin bersama rakyat untuk melakukan perubahan secara demokrasi akan hanya merumitkan lagi penyelesaian ke arah keamanan sejati.
Menurut laporan, pasukan keselamatan bertindak ganas menembak ribuan penunjuk perasaan dan mereka yang menyertai perarakan pengebumian di timur bandar Benghazi berikutan kebangkitan rakyat. Kejadian itu menyebabkan 60 terbunuh pada Ahad saja, menurut doktor di sebuah hospital. Sejak kebangkitan itu bermula, 233 penduduk Libya terbunuh, menurut pegawai perubatan, kumpulan hak asasi manusia dan pembangkang. (IH)
No comments:
Post a Comment