Monday, February 21, 2011

Pelajar Hilang Masih Misteri, P'raya Kampus Terus..



KL, 21 Feb 11: Cara kehilangan calon Umum Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya (UM), Masturah Abu Bakar yang ditemui malam tadi masih menjadi misteri apabila beliau tidak dapat mengingati apa yang berlaku sebelum beliau hilang.

Masturah, 22, sebaliknya hanya berada dalam keadaan sedar ketika berada di sebuah masjid di Bangi malam tadi.

Masturah terus meminjam telefon bimbit seorang jemaah masjid dan menghubungi ibunya.

Setelah mendapat penggilan berkenaan, ibu dan bapanya terus bergegas ke masjid berkenaan untuk menjemput Masturah.

Menurut wakil calon, Rohayu Rosli yang turut menziarahi Masturah di rumahnya (gambar) setelah dibawa pulang, Masturah kelihatan lemah dan tidak mampu bercakap banyak. Beliau juga tidak dapat mengingati bagaimana beliau boleh berada di masjid tersebut dan apa yang berlaku selepas beliau membeli kredit tambahan telefon bimbitnya di sebuah kedai di Pangsapuri Pantai Permai, tempat beliau hilang.

"Keadaan dia memang lemah, nampak letih. Kami sampai rumah dia, tengok mak dia tengah suapkan makan.

"Masturah dapat mengingati kami dan saya tanya dia ingat tak apa yang berlaku. Dia kata tak ingat. Yang dia ingat dia beli top up, lepas tu bila terjaga dia dah ada di masjid," ceritanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut Rohayu, ibu bapa Masturah berada di pangsapuri Pantai Permai untuk menemui seorang uztaz, bagi meminta pertolongannya mencari Masturah sewaktu menerima panggilan Masturah.

Sebelum itu, ibu bapa Masturah bersama-sama Pro-M mengadakan solat hajat di dataran hadapan Dewan Tunku Canselor. Rohayu berkata, keadaan Masturah sewaktu ditemui sama seperti sebelum beliau hilang iaitu berbaju kurang batik, tudung merah jambu dan kot labuh.

UM tengah hari ini

Suasana pilihan raya kampus..

Menurut Rohayu, Masturah akan pergi ke kampus UM bersama-sama ibu bapanya untuk bersama-sama menyaksikan proses pembungan undi hari ini.

"Tengah hari ini Masturah akan datang ke kampus tapi bersama ibu bapanya sebab mak dia memang sangat risau keselamatan dia sekarang ni, takut apa-apa berlaku lagi," katanya. Tambahan pula ujarnya, hari ini merupakan hari kemuncak kepada pilihan raya kampus.

Pilihan raya kampus hari ini berlangsung di lima universiti utama di seluruh negara. Persaingan sengit antara kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) dan musuh tradisinya Pro-Aspirasi (pro-A) akan berlangsung di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Proses pengundian bermula jam 9 pagi tadi sehingga jam 5 petang. Keputusannya pula dijangka diperolehi kira-kira jam 9 malam ini. (IH)

Lihat sebelum ini...

No comments:

Post a Comment