Thursday, February 03, 2011

Selamat Tahun Baru Cina, Apa Dg Guan Eng?



KL 3 Feb 11:
Selamat Tahun Baru Cina! Dari Kerajaan Negeri Pulau Pnang kepada seluruh rakyat Pulau Pinang khususnya. “Semoga tahun arnab ini menjanjikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan negeri sekarang,” ujar Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam perutusan Tahun Baru Cina pada tahun ini.

Katanya, sejak Pakatan Rakyat menerajui tampuk pemerintahan negeri pada Mac 2008, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan negeri demi pembangunan Pulau Pinang. Menurutnya, memang diakui, untuk menetapkan pendirian seseorang itu bukan mudah ditambah dengan pelbagai hasutan dan tohmahan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Walau bagaimanapun, tambahnya hasil usaha yang berterusan tampuk pemerintahan kerajaan negeri terutama dalam membanteras amalan rasuah dan kroni yang diamalkan kerajaan sebelum ini berjaya mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

Katanya, Kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa menekankan bahawa kerajaan yang baik harus melakukan tiga perkara iaitu sentiasa mendengar suara rakyat, bekerja untuk rakyat dan memberikan harapan untuk rakyat.

“3 elemen ini yang diamalkan sejak 3 tahun Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan terbukti berhasil dan mengejutkan banyak pihak,” ujarnya.

Antaranya, kata beliau yang juga Setiausaha Agung DAP ialah kejayaan negeri Pulau Pinang menduduki tempat pertama untuk keseluruhan pelaburan iaitu sebanyak RM12,238 juta pada tahun 2010, menerima pujian daripada Ketua Audit Negara kerana berjaya mencatatkan lebihan belanjawan negeri dan pengurusan kewangan yang baik.

Tambahnya, Pulau Pinang berada pada kedudukan pertama mengatasi negeri lain dalam penurunan kadar jenayah iaitu sebanyak 27%, menjamin kepentingan generasi masa depan dengan menerajui usaha ke arah menghentikan fenomena perubahan iklim melalui inisiatif mengurangkan penggunaan beg plastik.

Selain itu, ujarnya Pulau Pinang turut dipuji oleh Transparency International kerana ketelusan pentadbiran yang berdasarkan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus), Pulau Pinang teratas dalam pelancongan perubatan iaitu dua pertiga daripadanya berasal dari Pulau Pinang, Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang mengumumkan pemberian sagu hati sebanyak RM100 kepada warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan pemberian RM500 setiap keluarga dalam usaha untuk membasmi kemiskinan miskin tegar.

Menurutnya lagi, Pulau Pinang mempunyai jumlah pelancong sama ada dari tempatan mahupun luar negara yang paling tinggi pada tahun 2010, Pulau Pinang terkenal di Malaysia berikutan usaha-usaha kerajaan yang melindungi, memelihara dan mempromosikan Warisan Dunia Bandar George Town dan Pulau Pinang telah menjadi pilihan sebagai negeri yang paling selamat diduduki setanding dengan Kuala Lumpur.

Selain daripada itu, jelasnya Pulau Pinang juga merupakan antara negeri yang mempunyai tarif air yang termurah serta kualiti air yang terjamin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, dalam usaha untuk memartabatkan rakyat Pulau Pinang untuk lebih dekat dengan dunia teknologi, kerajaan negeri telah mengumumkan 750 wifi percuma akan disediakan untuk memudahkan rakyat negeri ini melayari intenet dan akan dipasang di tempat-tempat yang terpilih.

“Pulau Pinang juga turut memperkenalkan Speaker Square di mana dataran tersebut akan dijadikan medan untuk rakyat berbicara tanpa batasan,” ujarnya.

Namun, katanya masih banyak yang perlu diperbaiki dan dilakukan demi rakyat.

“Tindakan ektrem dan rasis pihak tertentu terutama dengan kenaikan harga minyak dan inflasi yang tidak terkawal sejak akhir-akhir ini telah membebankan rakyat dan menambahkan kebencian rakyat,” katanya lagi.

Oleh itu, kerajaan negeri akan terus bersama rakyat untuk mendapatkan kembali hak yang sepatutnya.

“Hanya kepercayaan dan peluang rakyat sahaja yang diperlukan kini. Marilah kita bekerja keras tanpa mengira bangsa dan agama untuk menjadikan Pulau Pinang terus gah di peringkat antarabangsa,” ujarnya. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails