Monday, February 14, 2011

Sindiket Jerat Sembang Internet Dibongkar,


PENGGUNA

KL 14 Feb 11: Kini sindiket jerat sembang internet telah dibongkar. Lima ahli sindiket yang menyamar rakan sembang di beberapa laman sosial sebelum ‘menjerat’ mangsa dengan kata-kata cinta sejak lebih setahun lalu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di taman perumahan elit di Kepong, di sini, pagi kelmarin. Lapor myMetro hari ini.

Modus operandi sindiket terbabit yang terdiri daripada warga Nigeria, Thailand, Filipina dan warga tempatan berusia antara 20-an hingga 40-an termasuk tiga wanita itu dan seorang daripadanya baru melahirkan anak ialah melayan seberapa ramai pelayar dalam laman sosial di Internet menggunakan ayat-ayat cinta dengan tujuan memikat mangsa. Mereka akan menyamar sebagai kenalan dari luar negara.

Apabila mangsa sudah terpikat dan mabuk ‘cinta’, mereka akan memperdaya mangsa kononnya hendak menghantar barangan berharga sebagai tanda cinta. Ketika proses penghantaran itu akan muncul pula ahli sindiket sama menghubungi mangsa dengan memaklumkan barangan yang dihantar ‘tersangkut’ di lapangan terbang dan perlu membuat bayaran tertentu jika mahu barangan berkenaan dihantar terus kepadanya.

Menurut sumber, rumah mewah yang disewa sindiket terbabit diserbu sepasukan anggota termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menjadikan rumah teres tiga tingkat itu sebagai markas utama kegiatan mereka, malah seorang wanita yang juga ahli sindiket itu masih berpantang berikutan baru melahirkan anak dua minggu lalu, namun masih melayari laman sembang bagi memerangkap mangsa terbaru. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails