Friday, February 11, 2011

Valentine: AMK Sama Laju Dg DPP. Pemuda DAP?


KL, 11 Feb 11: Selangor pimpinan Pakatan Rakyat dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melarang sama sekali umat Islam menyambut Hari Kekasih termasuklah memberi sokongan, mempromosikan, mengajarkan dan menyebarkan apa-apa sambutan yang berkaitan dengannya.

Dalam khutbah yang disampaikan hari ini, kedua-dua Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menegaskan Hari kekasih adalah sambutan penganut Kristian yang mengenang hari kematian seorang paderi mereka.

“Tiada sambutan ini dalam ajaran Islam,” kata khutbah standard yang disampaikan di masjid-masjid dan surau di negeri Selangor hari ini.

Keseluruhan teks khutbah yang diperoleh memfokus pada isu tersebut, yang kontroversi sekarang ekoran laporan bahawa Dewan Pemuda PAS mahu kerajaan-kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan penguatkuasaan mengawal golongan muda beragama Islam menyambut Hari Kekasih yang jatuh Isnin ini. Sebaliknya menurut khutbah itu, umat Islam digalakkan berkasih sayang sesama manusia sepanjang masa tanpa membataskannya pada hari-hari tertentu sahaja.

Sementara itu menurut berita Harakahdaily, Hari Kekasih atau Valentine’s Day sekali lagi mendapat perhatian semua pihak terutama kepada pendirian Pakatan Rakyat.

“Hari Kekasih ini menjadi perhatian kerana melibatkan isu pengawasan moral atau moral policing,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.

AMK, katanya melihat wujud unsur-unsur hipokrasi yang jelas dan nyata di peringkat Umno BN khususnya dalam soal itu, yang jelas kelihatan mahu memerangkap dan memasung minda rakyat agar lari daripada fokus sebenar yang sewajarnya diberikan secara tepat mengenai isu ini.

Menurutnya, AMK berpendapat terdapat dua hal yang harus diberi perhatian iaitu perbincangan dan musyawarah di kalangan Pemuda Pakatan iaitu Dewan Pemuda PAS, Pemuda Sosialis DAP dan AMK perlu diadakan.

Ini, katanya bagi mendapat persefahaman dan dasar pendirian yang boleh dikongsi secara bersama tanpa menafikan beberapa hal berbeza dari segi pendekatan.

“Dalam hal ini pihak AMK yakin bahawa permuafakatan Pakatan Rakyat membincangkan hal-hal termasuk isu sensitif membuktikan kesediaan Pakatan Rakyat menerima perbezaan dan memberikan dasar yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Nampaknya, dalam isu ini, Angkatsan Muda Keadilan sama laju dengan Dewan Pemuda PAS. Dan pendangan Pemuda DAP juga perlu diambil kira atau dibincangkan. (IH)

Sebelum ini...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails