Sunday, March 20, 2011

110 P/Berpandu Serang Libya T/Malam & Pagi Ini..

TRIPOLI, 20 Mac 11: Tentera perikatan Amerika Syarikat dan Eropah melancarkan tindakan ketenteraan — dinamakan operasi Odyssey Dawn — ke atas Libya semalam (tengah malam dan awal pagi ini, waktu Malaysia) untuk memaksa Muammar Gaddafi menghentikan serangan ke atas rakyatnya sendiri, sekali gus meninggalkan tampuk kepimpinan.

Kempen perikatan itu dilihat sebagai yang terbesar sejak Perang Iraq hampir lapan tahun lalu. Ekoran serangan itu, televisyen kerajaan Libya melaporkan negaranya “diceroboh musuh”. Pesawat-pesawat perang melepaskan serangan pertama dengan memusnahkan kereta kebal pasukan tentera kerajaan di Benghazi, sebelah timur Libya.

Selain Amerika Syarikat, perikatan Barat itu terdiri daripada Britain, Perancis, Kanada dan Itali. Beberapa jam kemudian (awal pagi ini waktu Malaysia), kapal perang dan kapal selam Britain dan Amerika Syarikat melancarkan lebih daripada 110 peluru berpandu ke atas pangkalan pertahanan udara di sekitar Tripoli - ibu negara Libya dan bandar raya Misrata di sebelah barat, yang dikuasai tentera Muammar.

Pentagon berkata operasi ini diadakan untuk menguatkuasakan resolusi PBB yang mengenakan zon larangan terbang dan apa jua pendekatan bagi menghentikan tindakan ketenteraan Muammar di negaranya ekoran kebangkitan rakyat yang berlarutan sejak sebulan lalu. Resolusi itu diluluskan tiga hari lalu.

Malah serangan ini dilancarkan beberapa jam selepas perikatan itu dan negara Arab mengadakan mesyuarat khas di Paris semalam.

“Ini bukan hasil yang Amerika Syarikat atau mana-mana rakan kami mahukan,” kata Presiden Barack Obama yang sedang mengadakan lawatan ke Brazil.

“Kita tidak boleh berdiri begitu sahaja apabila seorang penzalim memberitahu rakyatnya bahawa tidak ada belas kasihan,” kata beliau.

Tidak sampai dua jam selepas Obama mengeluarkan kenyataan itu, Muammar pula muncul di televisyen sambil merayu kepada negara-negar Arab dan Amerika Latin supaya “berdiri bersama rakyat Libya, menentang pencerobohan ini yang tidak akan membawa apa-apa kesan, sebaliknya menjadikan rakyat Libya lebih kuat dan bersatu.”

Di Washington, Laksamana Muda William E. Gortney berkata, peluru berpandu dilepaskan daripada beberapa kapal pemusnah Amerika Syarikat dan juga kapal-kapal selam serta satu daripada milik Britain. Katanya, serangan itu mengenai lebih daripada 20 lokasi tentera udara Libya sepanjang kawasan pantai Mediterranean dan sebelah barat.

Katanya, serangan ini hanya bahagian pertama siri kempen mereka dan lebih banyak serangan sudah dirancang. Kapal Amerika Syarikat yang terlibat termasuklah USS Barry, USS Stout, USS Providence, USS Scranton dan USS Florida manakala satu kapal selama Britain Westminster.

Dalam pada itu, laporan terbaru pagi ini menyebut Libya mahu Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar ekoran serangan Barat sejak semalam. Laporan stesen televisyen Al Jazeera dan Al Arabiya yang menyiarkan harapan itu tidak memberi sumber bagi berita tersebut. (IH)

Sila lihat keseluruhan...
E-Buku IH-30: Ke Arah T/Tengah Yang Islamik?

E-Buku IH-30: Ke Arah T/Tengah Yang Islamik?

1 comment:

free compass said...

Allah selamatkan rakyat libya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails