“Saya merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk memberikan pandangan kedua.”
“Saya menyemak lembaran demi lembaran yang dituang oleh Dr Mujahid berulang-ulang kali dan merasa agak tersinggung dengan pemerincian sejarah dan cara beliau mempersepsikan setiap aluran sejarah itu dengan tanggapan sendiri, yang cuba dibenarkan dengan tema konflik.”
Menurut Riduan, PAS sebagai gerakan massa yang menampung kepelbagaian ahli sudah tentu tidak sunyi dengan konflik.
“Begitulah juga dengan gerakan Islam lain di seluruh belahan di dunia, tetapi wajah konflik ini ditulis dengan begitu kurang berhati-hati oleh sahabat saya itu (Mujahid),” kata Riduan dalam buku setebal 200 halaman, yang kini berada dalam pasaran.
Akhir tahun lalu, Mujahid yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat berkata, beliau bersikap terbuka terhadap kritikan daripada mana-mana pihak berhubung buku terbarunya “Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme”, yang dihasilkannya dengan hasrat untuk memperbaiki organisasi parti.
“Jika ia baik untuk parti saya berbangga kerana telah menjalankan tanggungjawab saya tetapi sekiranya tidak diterima sekalipun saya bersyukur kerana telah berusaha ke arah melihat masa depan PAS yang pastinya akan menjadi parti arus perdana dalam negara ini,” katanya.
Mujahid berkata menjadi tanggungjawabnya untuk menjelaskan segalan kekeliruan yang timbul hasil daripada penulisan bukunya itu termasuk keputusan Dewan Ulama PAS Kedah yang menolak pandangannya dalam buku itu.
Dewan Ulama PAS Kedah, antara beberapa pihak yang mengkritik buku Mujahid berkata dewan itu menolak tulisan wakil rakyat tersebut, yang antara lain mahu mengubah konsep kepimpinan ulama dalam parti itu dan bahawa PAS perlu berpijak di bumi nyata dan harus “dinasionalkan”.
Mujahid berkata buku tulisannya itu merupakan usaha untuk melihat masa depan PAS dengan mengambil kira aset perjuangan parti sejak lebih 50 tahun lepas.
“PAS juga melalui fasa-fasa kepimpinannya dan buku “Menuju PAS Baru” hanyalah garapan saya terhadap masa depan organisasi parti yang perlu difikir oleh generasi muda.
“Kekeliruan dari sudut istilah-istilah yang digunakan dalam buku tersebut boleh dijelaskan dengan mengadakan wacana dan diskusi yang sihat bagi membudayakan sikap keterbukaan kepada pandangan-pandangan yang berbeza,” katanya.
Riduan juga berkata terdapat frasa-frasa yang ditulis oleh Mujahid telah mengganggu “tasik ketenangannya” sebagai aktivis PAS, pengkaji sejarah gerakan Islam dan kader dakwah PAS.
Kemungkinan bagi membawa pengertian membalas buku Mujahid, kulit buku Riduan juga seakana-akan sama dengan warna pilihan buku “Menuju PAS Baru”.
“Saya merasa terganggu apabila menatap lembaran demi lembaran buku Menuju PAS Baru terutama galuran sejarah dan pentafisran sejarah yang telah dibuat, jauh tersasar daripada apa yang telah saya kaji tentang PAS,” katanya yang memetik sekitar 25 petikan daripada buku tulisan Mujahid dan diulas di bab terakhir di bawah tajuk Menerjai Badai Segmen Kedua.
Dalam salah satu ulasannya, Riduan berkata, kekentalan semangat pendokong PAS diakui lawan dan kawan selain mampu bertahan dalam situasi yang paling buruk.
“PAS mampu diuji dengan cabaran, tidak berpaling walaupun ditawarkan dengan ganjaran yang menggiurkan.
“PAS tidak menjalankan kaedah menyapu masalah di bawah karpet,” katanya.
Ulasan ringkas buku ini:
Buku ini akan menjernihkan tanggapan generasi ‘Y’ terhadap gerakan Islam yang telah 60 tahun mempersada perjuangan Islam di negara ini, menerjang amukan badai yang berlapis-lapis di sepanjang keberadaannya di pentas dakwah dan siasah. PAS mempunyai sejarahnya yang tersendiri, tersembul keluar dari rahim ibunya saat perlawanan menentang penjajah. Hizbul Muslimin sebagai gerakan Islam temporari yang pertama di Tanah Melayu telah diharamkan oleh British pada tahun 1948 yang menyaksikan 300 orang aktivisnya digiring ke penjara British.
Penerbit : Jundi Resources
Muka Surat : 201
HANYA BERHARGA RM25.00 TERMASUK BELANJA POS (SEMENANJUNG, SABAH & SARAWAK)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Syabas Saudara Riduan, maka bermulalah polemik kearah penjernihan pemikiran dan idea kreatif.. Al-hamdulillah.
Lihat polemik sebelumini...E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'
E-Buku IH-31: Minda Baru PAS?
No comments:
Post a Comment