CATATAN SANTAI MERLIMAU 5
"Serani? Ya, lama sudah aku tak dengar perkataan ini.." Fikir saya.
"Ke mana arah jalan ke Kampung Serana atau Perkampungan Portugis (Portuguese Settlement)?" Saya tanya kepada seorang gadis kedai petrol, sewaktu kereta kami berhenti mengisi minyak.
"O.. ikut sini!" Jawab gadis itu. Katanya, lebih kurang 5 Km, ke kawasan Ujong Pasir, Melaka. Pengunjung yang datang daripada Pusat Bandar Melaka, Banda Hilir, atau Muara Sungai Melaka melalui Jalan Parameswara, Jalan Bukit China, sampailah di Jalan Ujong Pasir itu...
"Terima kasih, gadis peramah!" Jawab saya.
"Pakcik nak tengok nyanyian dan tarian Portugis ke?"
"Ada ke?"
"Ada. Malam ini, malam minggu. Best!" Katanya, sambil menggayakan tarian Portugis. Membuat kami yang ada di situ tertawa.
Perkampungan ini terletak ditepi pantai. Pantainya landai dan menjadi tempat hidupan marin sebagai kerang, udang dan ikan mengikut musim. Keadaan geografi ini telah menarik kaum ini menetap di sini dan telah menjadikan laut sebagai sumber pendapatan mereka.
Kereta kami masuk ke kampung itu. Ramai yang berjual di kiri-kanan jalan. Di bawah payung, sekitar pentas, di gerai-gerai dan restoran-restoran hingga ke tepi laut. Keluar dari kereta, kami masuk ke gerai-gerai dan masuk ke muzium.
"Orang Portugis putih-putih, mengapa orang Portugis sini gelap?" tanya kawan kami yang mulut laser sikit kepada peniaga Portugis di gerai itu. Memang betul, hampir semuanya orang Portugis di sini gelap, rupanya tiada seperti Portugis asal. Cuma ada seorang antara penjual-penjual ditemui berkulit cerah, tapi bukan seperti bangsa Portugis.
"Suasana di sini yang membuat kami berwajah gelap tidak seperti wajah asal." Jawap seorang peniaga barangan kraf tangan.
Gambar gadis keturunan Portugis di Aceh
Teringat saya semasa mengiringi kepulangan pejuang Aceh Allahyarham Hasan Tiro beberapa tahun lalu. Ramai penduduk Negeri Aceh keluar menyambut pahlawan mereka, bersalaman berderetan di pinggir jalan, dan ada yang menyambutnya dengan menunggang gajah.
Dalam lawatan menjelajahi Aceh, saya antara yang turut ikut dan berkesempatan menyalami mereka. Terkejut saya apabila melihat, ramai juga anak gadis pelajar sekolah menengah berkulit putih bermata biru bagaikan gadis-gadis Eropah. Tetapi mereka memakai tudung beragama Islam dan berbudaya tempatan. Kenapa begitu? Sila lihat tulisan catatan perjalanan ini...
Berbeda dengan kaum turunan Portugis di sini, rupanya bagai rakyat tempatan, tetapi mencuba berbudaya hidup seperti orang barat. Beragama Kristian dan berbahasa bukan dengan bahasa tempatan. Orang tempatan menyebutnya sebagai 'Serani'.
'Serani' atau 'Nasrani' yang selalu disegandingkan dalamAl-Quran dengan 'Yahudi'. Tetapi Serani di sini, merujuk kepada suatu bangsa di Malaysia yang berasal dari Portugis menganut agama Katolik Roman. Menurut Banci Kebangsaan Malaysia 2000, jumlah penduduk Serani di negara ini ialah seramai 12,650 orang. Kebanyakannya bertumpu di Melaka dan Pulau pinang. Orang Serani, ada yang terkenal. Contohnya, Tony Fernandes ialah pemilik syarikat penerbangan AirAsia.
Istilah Serani juga digunakan secara umum bagi merujuk kepada keturunan kacukan darah Asia dan Eropah. Kebanyakan masyarakat serani di Melaka tinggal di Perkampungan Portugis ini. Masyarakat Portugis mula-mula datang ke sini di sekitar tahun 1511 selepas Portugis menawan Melaka. Perkampungan ini mempunyai lebih kurang 2,000 penduduk sekarang. Keturunan Portugis kini ramai memiliki rumah sendiri. Kerajaan Negeri Melaka telah mengeluarkan geran tapak kepada penduduk di sini.
Aktiviti sosial mereka adalah pada hari Ahad di sekitar gereja, termasuk pementasan nyanyian dan tarian Portugis malam mingu. Hampir keseluruhan kaum ini beragama Kristian. Terdapat juga beberapa keluarga yang telah kahwin campur dengan kaum Cina dan memeluk agama Buddha. Ada juga yang masuk Islam dan berkahwin dengan wantia Melayu. Jalan-jalan yang terdapat di sini adalah Albuquerque Avenue, Sequeira Avenue, Eredia Avenue, Ruas Avenue. Perkataan Avenue sekarang telah ditukarkan kepada 'jalan'. Terdapat juga Canossa College, sekarang digelar Sek.Men. Canossa
Nama-nama orang Portugis di sini adalah seperti Diogo Lopes de Squeira, Vasco deGama, Alfonso de Albuquerque, Bairro Irmas Cnossianas, Castello de Paiva, Antonio de Almedida, Caminho de Letores, Gerard de Fernandis dan sebagainya. Kebanyakan nama mirip Latin Amerika. Pada asal mereka adalah nelayan bergantung pada laut untuk mencari rezeki. Ramai anak-cucu mereka tidak lagi mengikuti jejak langkah nenek moyang mereka membuat kerja nelayan.
Tetapi kini ada yang telah berpelajaran tinggi dan memegang jawatan di sektor swasta dan pejabat kerajaan. Timbalan Pendakwa Raya Melaka, Tuan AnselmCharles Fernandis adalah Portugis berasal dari sini. Perkampungan mereka telah menjadi tarikan pelancong kerana mereka mempunyai kebudayaan tersendiri dengan lagu dan tarian mereka. Mereka juga mempunyai bahasa sendiri, Christang (Christ Tongue) dan baju tradisional sendiri.
Lagu Jingli Nona yang terkenal adalah dalam bahasa Postugis. Memandangkan sumbangan mereka kepada pembangunan industri pelancongan, masyarakat Portugis telah dibenarkan membeli Amanah Saham Nasional oleh Kerajaan Malaysia. Ketua Kampung mereka di gelar 'regedor', wakil komuniti kepada Kerajaan Melaka. Di sebelah pejabat Regedor terdapat Medan Portugis (Praca Portuguesa), yang mempunyai kedai-kedai yang menjual cenderahati dan kraftangan buatan kaum nelayan itu.
Masih ramai lagi yang meneruskan aktiviti menangkap ikan sebagai hobi atau untuk menambahkan pendapatan. (Demikian menurut antara sumbernya: En. Bosco Lazaroo, Presiden Persatuan Portuguese Serani Malaysia, catatan Ibnu Hasyim di Aceh dll.)
Kesimpulan: Kalau kerajaan sanggup membangunkan Kampung Serani Di Melaka, mengapa tidak diserlahkan juga sejarah budaya Cina Islam di sana.. yang kesan dan bukti sejarahnya begitu ketara dalam pembinaan masjid-masjid... seperti Masjid Tengkera dan lain-lain? Mengapa sejarah pengaruh Islam Cina ke atas Kerajaan Melayu Melaka seperti payung kuning, adat-adat raja, nama 'hang' (Hang Too Ah, Hang Li Po, Hang Le Ker, Hang Le Kiu) dipinggirkan? Sedangkan Islam adalah agama bagi Persekutuan menurut Fasal 3 Perlembagaan Malaysia..
Wallahu 'aklam. bersambung lagi....
Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com
13 Mac, 2011. KL
Siri sebelum ini..
hang nadim dan hang mahmud berketurunan cina ke?
ReplyDelete