Thursday, March 31, 2011

Poco-poco: Mufti Perak Tersepit Dg Kenyataan B/M.Perlis?


KL, 31 Mac 11: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dikatakan tersepit dengan kenyataan Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin pagi ini.

Dr Asri berkata tarian poco-poco, yang muncul polemik terbaru, tidak sewajarnya diharamkan melainkan seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah Islam.

Kata beliau, jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah atau dicampuri perbuatan salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan.

“Jika ada unsur yang salah, hendaklah dibuat seperti Nabi SAW iaitu membuang unsur yang buruk dan meninggalkan unsur yang baik,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Isu itu menjadi polemik sejak dua tahun lalu ekoran poco-poco yang awalnya dilihat sebagai senaman semata-mata bertukar menjadi tarian atau pergerakan badan dan kepercayaan umat Islam yang bertentangan dengan akidah.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada Januari lalu telah memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian.

Asri menambah, jika tarian poco-poco diharamkan atas asas asal-usulnya yang tidak Islamik, sekalipun yang mengamalkan tidak meniru atau beriktikad perkara yang salah, maka nanti akan membawa kesan diharamkan aktiviti lain yang mempunyai latar yang tidak Islamik juga seperti “tai-chi, chi-kung, kata taekwondo dan pelbagai lagi.”

PM dengan tarian senaman poco-poco, bercampur lelaki perempuan bukan muhrim, tidak tutup aurat dan...

"Untuk itu, dengan menghormati Mufti Perak dan Jawatankuasa Fatwa Perak, saya ingin menyatakan pandangan yang berbeza iaitu poco-poco yang tidak diamalkan dengan kepercayaan yang salah adalah diharuskan.

“Adapun, jika dilakukan dengan kepercayaan yang salah atau diiringi perbuatan yang haram seperti arak dan seks bebas, maka kepercayaan dan amalan yang salah itu wajib dibuang, tarian yang memberikan kebaikan kepada kesihatan itu diizinkan,” kata beliau.

Tegas Asri, pada asasnya semua urusan harian dalam kehidupan manusia yang membabitkan persoalan keperluan atau kepentingan hidup insan adalah harus dilakukan kecuali jika terdapat dalil yang jelas mengharamkan hal tersebut.

“Maka, segala bentuk senaman, tarian, makanan, perhiasan dan seumpamanya adalah harus atau dibolehkan melainkan ada bukti yang jelas dari nas syarak ia diharamkan atau dimakruhkan.

“Justeru itu, Nabi s.a.w tidak mengharamkan banyak budaya Arab yang memberikan faedah kepada insan secara langsung atau tidak langsung, antaranya; nyanyian dan gendang semasa perkahwinan,” katanya.

Cuma jelas beliau, jika ada unsur yang tidak baik, Nabi s.a.w menegur atau menapisnya dan sebab itu apabila baginda mendengar wanita menyanyi dengan lirik “di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok.”

“Baginda bersabda 'jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu'. Ungkapan dalam lirik tersebut yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w mengetahui apa yang akan berlaku esok adalah salah.

“Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Maka, Nabi s.a.w membetulkan lirik itu, tetapi tidaklah pula mengharamkan nyanyian atau lirik lain yang tidak bercanggah dengan akidah atau hakikat yang sebenar,” kata beliau lagi dalam kenyataannya.

Tambah Asri, Muslim hendaklah tahu tentang keluasan Islam dalam hal ini dan Nabi s.a.w apabila mengizinkan hiburan pertunjukan permainan pedang dan lembing dalam masjid pada hari raya, baginda menegaskan, “agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan.”

“Maka, fatwa dalam hal tarian, senaman, permainan dan seumpamanya, hendaklah luas, tidak sempit dan berusaha melihat ruang keizinan yang diberikan oleh Islam.

“Apatah lagi kita yang hidup dalam masyarakat yang serba rencam dan pelbagai cabaran ini,” tambah beliau.

Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco, yang telah diputuskan Januari lalu.

Zambry berkata, kerajaan negeri akan menghormati keputusan itu memandangkan satu fatwa berkaitan dengannya telah dikeluarkan. Maklumat diperoleh dari beberapa blog menunjukkan tarian poco-poco yang menjadi tarikan banyak pihak turut dikenali sebagai pocor-pocor atau pocoh-pocoh disebabkan muzik dan sebagai aktiviti ringan.

Bagaimanapun beberapa tulisan lain pula mendakwa tarian yang datangnya dari Indonesia membawa unsur-unsur mengasyikkan dan ada unsur salib ekoran langkah pergerakan ke kanan-kiri-depan-belakang.

"Kesian Mufti Perak, kita dengar pula apa komennya... Siapa lebih berkuasa kuasa politik (BN) atau kuasa agama (Majlis Fatwa)?" Komen weblog Ibnu Hasyim. (IH)

Lihat sebelum ini...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails