Wednesday, March 23, 2011

Siapa Datuk T, Menurut Ummi Hafilda & AMK

Datuk T? Tidak.. Ini isteri Datuk K

KL, 23 Mac 11: Ummi Hafilda Ali, saksi utama kes liwat pertama dan salah guna Datuk Seri Anwar Ibrahim 13 tahun lalu sambil mendakwa ada 18 klip video seks berkata, dia tahu siapa dalang di sebalik pembikinan rakaman berkenaan.

“Bukan itu (satu) saja, sebenarnya ada lagi,” kata Ummi Hafilda, ahli perniagaan, ketika mengulas pendedahan rakaman video seks melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Dipetik beberapa akhbar tempatan, Ummi Hafilda berkata, “Saya dah dengar 13 tahun lalu mengenai hal sebegini dan memang kita tahu siapa di belakang tabir, siapa pelaku, siapa yang melakukan kerja terkutuk ini,” katanya dipetik Berita Harian.

Bagaimanapun dia tidak pasti sama ada rakaman yang didedahkan di ibu negara kelmarin adalah salah satu daripadanya. “Saya tidak pasti sama ada video yang didedahkan adalah salah satu daripadanya, tetapi dalam pengetahuan saya terdapat sekurang-kurangnya 18 lagi rakaman video seperti itu disimpan oleh seseorang,” katanya pada sidang media di Alor Setar semalam.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu yang dimaksudkannya tetapi berharap akan didedahkan selepas ini untuk dinilai oleh rakyat. “Sekarang adalah masa yang sesuai untuk didedahkan supaya rakyat sedar mengenai tembelang pemimpin berkenaan,” kata beliau dipetik Sinar Harian selepas ceramahnya di Alor Setar dibatalkan ekoran bantahan kerajaan negeri.

Pertengahan Januari lalu, Ummi Hafilda yang juga adik kandung Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata, dia bertekad mahu berkempen secara aktif untuk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 mengelakkan tsunami politik 2008 berulang.

Sementara itu semala, Pemuda PKR Permatang Pauh mendesak polis agar menyiasat dalang di belakang seorang lelaki, yang memperkenalkan dirinya “Datuk T”, yang telah mempertontonkan video seks kepada media kelmarin kononnya ia membabitkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Naib Ketua I Angkatan Muda Keadilan (AMK) Permatang Pauh, Mohd Shukri Abd Hamid berkata, selain menyiasat siapa Datuk T, pihaknya mahu polis melakukan siasatan dalang dalam pendedahan video aksi seks itu memandangkan dia berani menayangkan video itu secara terbuka di Carcosa Seri Negara.

“Persoalan utama di sini ialah siapa Datuk T yang begitu berani menganjurkan tayangan perdana filem lucah di sebuah hotel di tengah-tengah ibu negara tanpa mendapat halangan pihak berkuasa?” soalnya.

Jelas beliau, tayangan video anjuran Datuk T itu seolah-olah “direstui” kerana pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang permit atau bantahan terhadap tindakan itu.

“Tindakan Datuk T menganjurkan tayangan perdana filem lucah itu seolah-olah direstui atau diberikan permit khas oleh pihak berkuasa kerana kita melihat tiada sebarang sekatan atau halangan yang dikenakan terhadap tayangan itu.

“Adalah mustahil untuk mengatakan pihak berkuasa tidak tahu-menahu akan tayangan perdana filem lucah itu kerana menterinya sendiri iaitu Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) telah mengeluarkan kenyataan mengatakan sesiapa yang berasa teraniaya dengan tayangan filem lucah itu boleh membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pihak polis seperti memejamkan mata dalam perkara itu kerana badan penguatkuasaan itu gagal untuk mengesan tayangan video aksi seks tersebut.

“Tetapi perlu kita ketahui tugas polis adalah menguatkuasakan undang-undang negara. Namun dengan membiarkan Datuk T menganjurkan tayangan perdana filem lucah itu, seolah-olah mereka memejam mata terhadap satu jenayah yang sedang berlaku.

“Mungkin dalam hal ini pihak berkuasa kita telah dikilas tangannya oleh pihak yang lebih berkuasa,” katanya.

Mohd Shukri turut mempersoalkan tindakan Datuk T yang tidak menyerahkan video aksi seks tersebut kepada polis sebaliknya menayangkan kepada media dengan tujuan untuk mengaibkan indivitu tertentu.

“Agak janggal juga apabila Datuk T tidak melaporkan kepada pihak berkuasa akan penemuan rakaman video aksi seks pemimpin utama pembangkang itu kepada pihak berkuasa, tetapi menayangkan kepada media.

“Tujuannya jelas iaitu hanya mahu mengaibkan pemimpin utama pembangkang dan keluarganya semata-mata,” katanya. (IH)

Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails