KL 30 Apr 11: Festival Lagu Keislaman (ISF) antarabangsa bermula hari ini pada 30 April dan 1 Mei ini dijangka akan mendapat sokongan ramai. Konsert tersebut akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula pukul 8 malam ini.
Pada malam pertama, ISF2011 membariskan La Rappel (Perancis), Fez Meghani dan Aftab Ali (Amerika Syarikat), The Brothahood (Australia), Khalid Belrhouzi (Perancis) menampilkan Bennami (UAE) dan Ziryab (Brazil), Brotherz (Malaysia), Khaleel Muhamad (United Kingdom) dan legenda nasyid Indonesia iaitu Opick.
Sementara pada malam kedua, penyanyi nasyid terkenal dari Afrika Selatan iaitu Zain Bhikha, Debu (Indonesia), Yasin Sulaiman (Malaysia), Native Deen (Amerika Syarikat), Budi (Jerman), Aashiq al-Rasul (United Kingdom) dan kumpulan Noor (Amerika Syarikat) akan membuat persembahan.
Mengulas tentang festival tahun ini, pengarah Urusan Out Of This World Sdn Bhd, Adam Amanullah berkata,Adam,
"ISF2011 pastinya lebih besar daripada edisi lalu. Barisan artis kali ini pun lebih ramai, di mana 14 artis luar dan tempatan akan membuat persembahan untuk dua malam.
"Malah, kesemua artis akan menampilkan pelbagai genre muzik nasyid seperti folk, acapella, hip hop, kontemporari, tradisional, pop dan world music.
"Kami berharap agar peminat nasyid akan datang beramai-ramai untuk menyaksikan festival ini kali ini."
Konsert yang berdurasi empat jam bagi setiap sesi itu akan memperlihatkan persembahan selama setengah jam bagi setiap artis.
Tiket-tiket yang berharga RM103, RM153, RM253 dan RM353 untuk setiap malam persembahan masih dijual menerusi Ticketcharge di talian 03-92228811 atau layari www.ticketcharge.com.my. Tiket juga boleh didapati di kaunter Saba Islamic Media (D44-D48) bersempena Kuala Lumpur International Fair di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Untuk maklumat lanjut, layari www.isfestival.com atau hubungi Cik Afizah di talian 03-77821332. Stesen televisyen TV AlHijrah bertindak sebagai penyiar rasmi. (IH)
No comments:
Post a Comment