PETALING JAYA, 1 April 11: "Berpengaruh? Tidak, tidak berpengaruh sangat sebab pemimpin-pemimpin gereja... Cina, Iban, Orang Ulu dan Bidayuh, yang sangat lantang adalah kumpulan yang kecil, segmen pribumi penduduk Kristian.
“Masyarakat Kristian yang lebih utama, bahagian besar, Metodis dan Katolik dan sebagainya, dalam pengalaman bercakap dengan mereka, mereka memberikan tanggapan bahawa mereka lebih prihatin dengan dunia selepas dunia ini berbanding dengan apa yang berlaku hari ini.”
Kata Profesor Jayum Anak Jawan. Tenaga akademik Universiti Putra Malaysia ini salah seorang daripada tiga panelis yang mengambil bahagian dalam forum pilihan raya negeri Sarawak di Hotel Hilton di sini anjuran Merdeka Centre malam tadi.
Beliau antara penganalisis-penganalisis politik meramalkan “protes” masyarakat Kristian berhubung isu Alkitab sekarang tidak akan membawa impak dalam pilihan raya negeri Sarawak bulan ini jika kumpulan konservatif komuniti itu terus menjauhkan diri daripada politik.
Meskipun masyarakat Kristian terdiri daripada 50 peratus pengundi negeri Malaysia timur itu, penganalisis-penganalisis mendakwa segmen kumpulan yang lantang bersuara hanyalah golongan yang kecil.
Dua panelis lain ialah Prof Madya Shaharudin Badaruddin dari Universiti Teknologi Mara dan Dr Faisal Syam Hazis dari Universiti Malaysia Sarawak.
Bagaimanapun Jayum mengakui bahawa trend semasa mula berubah memandangkan pengundi sedar dan lebih terpengaruh dengan faktor-faktor luar termasuk saudara mereka yang berada di Semenanjung.
“Saya melihat yang ini akan berubah, bukan kerana persepsi mereka berubah tetapi disebabkan pencerobohan ke atas kebebasan agama.
“Isu kitab Injil adalah satu yang kecil, isu mengenai buku (kitab) bukan besar tetapi mereka merasakan ada pencerobohan,” katanya.
Faisal melahirkan pandangan selari dengan Jayum sambil berkata, pemimpin-pemimpin yang kuat dan berpengaruh di Sarawak tidak ramai. “Seperti Baru Bian (ketua PKR Sarawak). Beliau bukan sahaja seorang pemimpin gereja tetapi juga peguam terkemuka,” katanya.
“Tetapi jika bersandarkan pada pengaruh gereja sahaja, maka sukar untuk bercakap. Jadi, saya tidak tahu... jika kita hanya melihat pada peranan pemimpin-pemimpin gereja,” kata Faisal lagi.
Bagaimanapun beliau berkata, selain isu Alkitab, perkara penting yang boleh mempengaruhi pengundi untuk beralih daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR) adalah pembangunan yang tidak seimbang.
“Soal peminggiran kaum Kristian berbanding Melanau Islam. Dan, ia bukan hanya berkenaan (Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul) Taib Mahmud, tetapi melangkaui beliau, ia berkenaan dengan pembangunan,” katanya.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Diramalkan BN akan berhadapan dengan bangkangan yang kuat daripada masyarakat Kristian ekoran peranannya dalam isu Alkitab sekarang. Isu yang turut menjadi perhatian ketika kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu tahun lalu.
Penamaan calon pilihan raya negeri ini akan diadakan pada 6 April manakala pengundian pula 16 April. Daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri, 27 adalah majoriti Melayu/Melanau, 20 majoriti Iban, 15 (Cina), enam pula majoriti Bidayuh dan tiga lagi Orang Ulu. Sebanyak 20 kerusi dilihat sebagai kawasan bandar manakala 51 lagi kawasan luar bandar. (IH)
No comments:
Post a Comment