Saturday, April 30, 2011

Luaskan Jaring Niaga Melalui Karnival K'tan Halal



KL 30 Apr 11: Karnival Halal Kelantan yang akan diadakan buat kali pertama di negeri tersebut dari 28 hingga 30 Mei depan dijangka dihadiri kira-kira 50,000 pengunjung. Lapor Kosmo! Online hari ini.

Karnival yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu akan berlangsung di Kompleks Islam Darul Naim, Kota Bharu.

Menurut jurucakap Jakim, penganjuran karnival tersebut memberi peluang kepada pengeluar produk halal memasarkan produk mereka ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Karnival yang berlangsung selama tiga hari itu perlu digunakan sebaik mungkin oleh pengeluar produk halal untuk mempamerkan keistimewaan produk masing-masing.

"Melalui karnival itu, mereka dapat meluaskan lagi jaringan hubungan perniagaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain menyediakan 80 gerai pameran, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan seperti seminar panduan restoran halal serta pensijilan halal untuk industri perhotelan.

Katanya, penganjuran acara tersebut turut mendapat sokongan yang menggalakkan daripada syarikat-syarikat tempatan.

Mereka yang berminat untuk menjadi penyewa ruang pameran, lengkapkan borang yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! dan faks ke 03-21661148 atau hubungi 03-21711128 untuk maklumat lanjut. (IH/Kosmo)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails