Thursday, April 21, 2011

Royalty Minyak Terus Dizalimi, Pusat Jadi Pencelah


KL, 21 April 11: Kerajaan Kelantan pimpinan Pakatan Rakyat terus dizalimi, apabila terpaksa mengemukakan rayuan menuntut keadilan membantah keputusan kerajaan pusat menjadi pencelah dalam samannya terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak.

Kerajaan negeri juga memfailkan satu lagi rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya supaya saman itu dipindah semula untuk didengar oleh Mahkamah Baru Komersial.

Laporan Bernama Online menyebut Mahkamah Rayuan tidak menetapkan sebarang tarikh bagi mendengar kedua-dua permohonan itu. Peguam Rishwant Singh, yang mewakili Petronas berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof telah menetapkan 20 Mei ini bagi sebutan saman itu selepas menemui beliau bersama peguam Nur Ashikin Abdul Rahim.

Nur Ashikin mewakili kerajaan Kelantan, dan Peguam Kanan Persekutuan, Noorhisham Ismail, yang mewakili kerajaan pusat, semasa pengurusan kes. Pada 22 Mac, hakim Zabariah membenarkan permohonan kerajaan pusat menjadi pencelah dalam saman itu dan juga menjadi defendan kedua.

Pada 31 Mac, beliau menolak permohonan kerajaan negeri supaya kes itu dipindah semula ke Mahkamah Baru Komersial. Kerajaan Kelantan mahu supaya kes itu didengar oleh Mahkamah Baru Komersial kerana kes itu pada asalnya didengar oleh mahkamah berkenaan. Ia akan didengar di Mahkamah Baru Sivil.

Dalam saman yang difailkan pada 30 Ogos lalu, kerajaan Kelantan menamakan Petronas sebagai defendan berhubung dakwaan melanggar kontrak mengenai pembayaran wang kepada negeri itu bagi hasil minyak berdasarkan Perjanjian Petroleum Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975.

Perjanjian itu menetapkan bahawa Petronas harus membayar lima peratus dalam bentuk wang tunai daripada hasil minyak, yang diperoleh daripada kerja mencari gali sama ada di darat atau di luar pesisir pantai.

Dalam kenyataan tuntutannya itu, kerajaan negeri memohon perintah supaya Petronas membuat penjelasan penuh dan benar mengenai semua fakta berhubung bayaran yang perlu diberikan kepada Kelantan. Juga tempoh minyak ditemui dan dihasilkan di luar pesisir pantai Kelantan. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails