SHAH ALAM, 4 Apri 11l: Tahniah PAS Cawangan Seksyen 18 dengan kerjasama PAS Kawasan Shah Alam yang mengambil inisiatif mempertemukan dua tokoh pimpinan muda PAS. Mereka adalah penulis buku yang berlainan pendapat, ditemukan dalam satu majlis harmoni dan kondusif.
Wacana Ilmiah bertajuk Menuju PAS Baru: Satu Kenyataan atau Tohmahan mendapat sambutan memberangsangkan terutama dari golongan muda yang sangat meraikan proses diskusi ilmu secara terbuka. Program yang diadakan di Dewan Kompleks Kediaman Exco Selangor, dekat sini malam tadi menampilkan dua tokoh muda PAS yang juga penulis buku yang yang menjadi topik perbincangan utama.
Ahli Parlimen Parit Buntar yang juga AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa menulis buku Menuju PAS Baru dan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohamad Nor pula menulis buku Menerjang Badai: 60 Tahun Mempersada Perjuangan.
Dr Mujahid menjalani pendidikan peringkat BA (Bahasa Arab dan Sastera di Universiti Al-Azhar, Mesir, Sarjana (MA) Pembangunan Sumber Manusia di UPM dan Doktor Falsafah (PhD) Siyasah Syariah, UM.
Manakala Ustaz Riduan pula mendapat B.A (Hons) UM dan Diploma Pendidikan di UM, dan MA di UKM serta peringkat akhir PhD di sebuah unversiti tempatan.
Menjadi bualan umum secara hangat sebelum ini, mengenai buku Menuju PAS Baru karya Dr Mujahid yang menjadi kontroversi tentang isi kandungan dalam bab tertentu mengenai perjuangan ulamak dalam PAS dan kepimpinan mereka khasnya.
Namun mempunyai hujah tersendiri, ingin melihat masa hadapan PAS yang lebih cemerlang dengan membahas dan sedikit sebanyak menyentuh status quo kepimpinan parti selama ini, dengan persoalan; adakah sudah berpuas hati dengan tahap pencapaian PAS sekarang ini?
Datanglah Ustaz Riduan dengan bukunya Menerjang Badai: 60 Tahun Mempersada Perjuangan yang mempertahankan kekuatan kepimpinan ulamak selama ini. Beliau mempunyai kajian mendalam tentang sejarah perjuangan Gerakan Islam di negara ini sementelahan menyiapkan tesis MA dan dalam proses akhir menyempurnakan tahap PhD dalam bidang berkaitan.
Moderator wacana, Dr Khairuddin Aman Razali At-Takiri yang juga Pengasas Darul Fuqaha menjalankan peranannya dengan begitu cemerlang. Dewan luas itu penuh dengan anak muda sekaligus menjadikan majlis berjalan dalam keadaan meriah dan membina; menggabungkan hujah bernas kedua-dua belah pihak dengan sekitar sepuluh soalan hadirin yang turut mewarnai suasana.
Seorang pemimpin Wanita Keadilan, Puan Rozaini Mohd Azmi ketika bangun bercakap menyifatkan program seumpama ini amat baik diketengahkan dan amat perlu diadakan lebih kerap dan jika boleh, parti-parti dalam Pakatan Rakyat perlu meneruskan inisiatif ini.
"Saya berharap usaha ini merupakan inisiatif terbaik dan berharap ia menjadi ikutan juga kepada parti-parti lain gabungan dalam PR," tegas beliau yang juga seorang penggerak menghalang loji sisa radioaktif di Kuantan.
Dalam pada itu, Riduan berkata, isu ini menjadi hangat kerana beliau membahaskan dengan panjang lebar tentang sejarah perjuangan parti diketuai golongan ulamak sedangkan Dr Mujahid pula membicarakan logik organisasi.
"Sudah tentu berlainan dan pembaca pula mempunyai kefahaman tersendiri," tambahnya.
Dr Mujahid pula menegaskan, beliau melihat penulisan Riduan ketika menjawab isi kandungan bukunya sebagai penambahan kepada isu yang dibahaskannya di dalam buku beliau. Alhamdulillah, kedua-dua mereka puas hati, setelah ditemui Weblog Ibnu Hasyim semasa makan bersama-sama selepas debat tersebut. (IH)
Lihat E-Buku ini ada kaitan...
E-Buku IH-31: Minda Baru PAS?
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'
asl. harap tak usahlah kita menjaja sangat akan hal berkaitan buku-buku ini.Banyak hal lain lagi yang perlu diberi perhatian. kalau ada cadangan dari mana-mana penulis buku maka cadangkan dalm mesyuarat pusat atau saluran sepatutnya dan tak usahlah buang masa mempertahanan pendapat masing-masing hingga anjur macam-macam majlis untuk menegakkan pendapat. Sepatutnya majlis untuk memperkuatkan jemaah adalah terbaik dari memperkuatkan pendapat sendiri. Biarlah orang ramai menilai sendiri bila mereka membaca buku-buku ini. Wassalam.
ReplyDelete"banyak lagi hal lain yang perlu diberi perhatian..."
ReplyDeleteapa dia hal lain tu yang banyak sangat sampai tak boleh beri tumpuan pada wacana ilmu...?cuba senaraikan sikit, tak manis bagi "blank cheque" macam tu!!!
"Sepatutnya majlis untuk memperkuatkan jemaah adalah terbaik dari mempertahankan pendapat sendiri..."
ReplyDeleteKalau kita duduk dalam mesyuarat, biasanya pendapat dari seorang ahli mesyuarat itu dibahasakan sehingga jadi pendapat mesyuarat(Jemaah le tu). Kalau tak mau pendapat sendiri(dari orang yang layak bagi pendapat), kena duduk di gunung Jerai atau Gua Kelam ka..