Kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, beliau percaya tindakan penggabungan itu adalah satu usaha untuk “menyelamatkan” Bank Muamalat. BIMB adalah anak syarikat BIMB Holding Bhd yang mana Tabung Haji memegang saham terbesar dengan 51 peratus kepentingan dalam BIMB Holding Bhd.
“Saya cukup bimbang berlaku satu lagi budaya tidak sihat yang akan merugikan rakyat di mana BIMB Holding mahu mengambil alih atau beli atau bergabung dengan Bank Muamalat.
“Apa guna Bank Islam mahu bergabung dengan Bank Muamalat? Apa faedahnya? Bank Islam ada 115 cawangan di seluruh negara, apa guna mahukan lagi Bank Muamalat, kalau cawangan sikit, baru ada rasional tapi Bank Islam ada rangkaian di seluruh negara, begitu juga dengan Tabung Haji,” kata Salahuddin pada sidang media di sini.
Justeru beliau percaya, kemungkinan penggabungan itu disebabkan Bank Muamalat mengalamai masalah besar. Pemegang saham terbesar Bank Muamalat adalah DRB-HICOM iaitu 70 peratus saham dan baki oleh Khazanah Nasional Bhd.
“Saya harap Bank Muamalat telus dalam isu ini, mesti nyatakan status kewangan dengan jelas, kena beritahu apa sebenarnya yang berlaku pada Bank Muamalat . . . kalau ada masalah, apa masalah? Dan, apa guna Bank Islam mahu mengambil alih bank bermasalah ini?
“Saya bimbang penggabungan Bank Islam dengan Bank Muamalat ini akan menjejaskan potensi dan masa depan Bank Islam yang mungkin diarah oleh tangan-tangan ghaib,” katanya.
Minggu lalu, DRB-HICOM menjelaskan minat yang dinyatakan kepada Bank Islam hanyalah semata-mata mahu meninjau kemungkinan penggabungan itu. Syarikat itu berkata ia tidak menyatakan minat untuk menjual 70 peratus kepentingan dalam Bank Muamalat.
Cadangan penggabungan itu akan menyaksikan kemunculan bank Islam yang besar dan ini seiiring dengan saranan kerajaan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysian sebagai pusat antarabangsa terkemuka untuk kewangan Islam.
Tambah Salahuddin, beliau akan menghantar surat rasmi kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memanggil kedua-dua pemegang saham Bank Muamalat untuk menjelaskan kedudukan dan status bank itu.
“Kalau Bank Islam dipaksa membeli Bank Muamalat, ia adalah satu perkara yang menyedihkan kerana membeli bank bermasalah, saya bimbang ada tangan-tangan ghaib yang minta agar ia bergabung.
“Kalau Bank Muamalat tiada masalah mengapa nak jual? Kenapa nak bergabung dengan bank lain? Saya rasa mana-mana bank yang ada kewangan yang kukuh tidak akan bergabung dengan bank lain dan ia akan menjadi satu beban kepada Bank Islam,” katanya.
Jelas beliau, daripada Bank Islam bergabung dengan Bank Muamalat adalah lebih baik jika sumber kewangan itu digunakan untuk perkara lain. (IH)
Lihat kisah lama ini masih belum selesai...
No comments:
Post a Comment