Wednesday, May 04, 2011

Hamil Luar Nikah Meningkat, Bukti Shahrizat Gagal..



KL 4 Mei 11:
Peningkatan kes hamil luar nikah adalah bukti kegagalan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kegagalan yang melibatkan penubuhan Sekolah Harapan, ketidakcekapan badan organisasi Balkis terutamanya, sebagai bukti perancangan dan pelan kerja ‘separuh siap’ beliau.

Demikian kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin (gambar) sebagai respons kepada kenyataan Pengetua Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof berkenaan peningkatan kes hamil luar nikah terus berlaku saban hari adalah amat membimbangkan.

Saban tahun, katanya berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan untuk menangani masalah sosial begini, namun tiada perubahan constructive yang dapat dilihat. Demi mengelakkan lebih banyak pembaziran dana dan wang rakyat berlaku, dan masalah itu dapat diatasi secara tuntas, Zuraida memohon agar kerajaan segera meneliti semula konsep dan matlamat penubuhan Sekolah Harapan tersebut.

Hal ini perlu dilakukan sehingga suatu kajian penyelesaian secara menyeluruh ke atas masalah sosial ini dapat dibuat. Ini kerana, ujarnya peningkatan kes kehamilan luar nikah yang berlaku jelas telah membuktikan bahawa dengan penubuhan hanya satu sahaja Sekolah Harapan tidak akan mampu untuk menjadi penyelesai kepada masalah sosial sedia ada, yang dihadapi di seluruh negeri.

“Saya melihat, peningkatan kes kehamilan luar nikah ini secara amat serius kerana ini akan menyebabkan bilangan golongan ibu muda juga semakin bertambah,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Ampang, seperti yang disiarkan Harakahdaily.

Menurutnya, adalah sesuatu yang amat merungsingkan kerana sehingga kini, kebajikan ibu muda sedia ada sendiri masih ditangguk enteng. Apatah lagi dengan pertambahan yang hadir, tentunya memberi lebih tekanan dan persaingan dalam komuniti teraniaya begini.

Baginya, bermula dari tekanan sebegini, maka tidak mustahil penglibatan aktiviti pelacuran oleh wanita muda sebegini terus meningkat.. Sekaligus akan menggagalkan hasrat pemberdayaan dan pemerkasaan wanita yang diimpikan.

Katanya, kerajaan tidak seharusnya terus mengenepikan golongan ibu muda dalam pembangunan negara. Hal ini kerana konsep Victoria “good women” dan “bad women” yang menjadi kod amalan kerajaan adalah amat mendiskriminasi terhadap wanita. Maka suatu dasar yang adil buat semua wanita, harus dilaksanakan segera. (IH/Harakah)

No comments:

Post a Comment