Monday, May 23, 2011

Hari Ini Debu G/Berapi Iceland Tiba Di Scotland?

GAMBAR yang dirakamkan kelmarin menunjukkan gunung berapi Grimsvotn meletus dengan mengeluarkan debu ke udara.

Ruang udara Eropah berjaga-jaga

PARIS 22 Mei 11 Debu dari sebuah gunung berapi di Iceland mungkin tiba di utara Scotland menjelang esok sekali gus menjejaskan penerbangan. Jika letusan gunung berapi Grimsvotn itu berterusan, debu berkenaan akan tiba di sebahagian wilayah di Britain, Perancis dan Sepanyol menjelang Khamis ini.

Beberapa lapangan terbang di Iceland ditutup semalam ekoran kebimbangan bahawa debu dari gunung berkenaan yang meletus pada Sabtu lalu bakal mengancam keselamatan penumpang pesawat. Ekoran angin bergerak ke arah utara, pihak berkuasa menyatakan terdapat risiko yang sedikit akan berlakunya gangguan ke atas laluan penerbangan di Eropah dalam tempoh 24 jam.

Semalam, pihak berkuasa Britain menimbang untuk menghantar kumpulan pesawat bagi memantau pergerakan debu itu. Beberapa pihak pengendali pesawat kini kerap diberitahu mengenai situasi yang terkini berhubung debu gunung tersebut.

Pakar-pakar menyatakan, gunung itu mungkin tidak akan mencetuskan suasana yang sama seperti gunung berapi Eyjafjallajokull yang meletus pada April tahun lalu. Gunung berapi Eyjafjallajokull yang meletus pada tahun lalu menyebabkan sejumlah pesawat menghentikan operasi kerana debu yang berterbangan di udara. - Agensi

No comments:

Post a Comment