(Gambar: Nik Aziz melihat jeriji besi yang diumpil Allahyarhamah Rafidah untuk menyelamatkan tiga anaknya sehingga beliau sendiri terkorban dalam kebakaran Jumaat lalu - gambar sumbangan dari Adun Mengkebang, Abdul Latif Abdul Rahman)
KUALA KRAI, 12 Mei 11: Bagaimana pengorbanan seorang ibu menyelamatkan tiga anaknya sehingga beliau sendiri mati terbakar. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pergi melihat sendiri tragedi tersebut dulu semalam.
Beliau melihat rumah Allahyarhamah Rafidah Ismail, 37, yang terbakar termasuk melihat jeriji besi yang diumpil beliau sebelum mati untuk menyelamatkan nyawa anak-anaknya. Jelas kelihatan, Nik Aziz sangat bersimpati terhadap keluarga mangsa dan mengucapkan takziah kepada keluarga yang tinggal di Taman Sri Guchil, dekat sini.
Beliau mengambil masa selama setengah jam melawat keluarga itu semalam dengan melawat lokasi kebakaran yang meragut nyawa Rafidah. Di sana, beliau menghulurkan sumbangan kepada kepada suami mangsa, Zamri Hamat.
Tuan Guru ketika ditemui melahirkan rasa sedih di atas kejadian yang meragut nyawa ibu kepada tiga orang itu. Beliau juga turut melahirkan rasa terharu di atas pengorbanan seorang ibu demi keselamatan anak-anaknya.
“Apapun saya berharap keluarga mangsa dapat menerima ketentuan Ilahi ini dengan tabah, kita sebagai orang Islam harus menerima ketentuan itu,”ujarnya.
Jumaat lalu sekitar pukul 1.50 petang, Rafidah yang bertugas sebagai jururawat di Klinik Pakar Hospital Kuala Krai maut selepas rumah sewanya di taman itu terbakar. Allahyarhamah bagaimanapun sempat menyelamatkan tiga orang anaknya yang berada dalam rumah semasa kejadian dengan mengumpil besi tingkap.
Terdahulu Tuan Guru mendengar taklimat kejadian oleh Pegawai Bomba Kanan 11, Azmi Ibrahim di lokasi kebakaran. Turut hadir Adun Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria, Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah, Ketua Jajahan Kuala Krai Adnan Hussin, Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Azhar Ab Rahman dan lain-lain pimpinan masyarakat.(IH/Harakah)
No comments:
Post a Comment