MELBOURNE, 31 Mei 11: Pendidikan lebih baik, peluang kerjaya cerah dan prospek perniagaan luas menjadi antara tarikan orang Melayu berhijrah dan menetap di Australia, kata seorang ahli akademik Malaysia yang berpejabat di sini.
Dr Ahmad Zaharuddin Sani, dari Universiti Malaya, yang kini merupakan Felo Kehormat di Institut Asia, University of Melbourne, memberitahu Bernama bahawa orang Melayu di sini adalah golongan profesional, yang meliputi kumpulan pengamal perubatan dan ramai juga terdiri daripada kerani, jurujual dan pekerja industri perkhidmatan.
Laporan Bernama Online menyebut, selain pelajar, kata beliau negeri Victoria sahaja mempunyai kira-kira 5,000 orang Melayu, dengan 75 peratus mereka adalah sama ada penduduk tetap atau warganegara Australia.
“Kumpulan terbesar orang Melayu berhijrah ke Australia adalah selepas 1981, sama ada di bawah program penyatuan semula keluarga atau menjadi penghijrah dalam bidang kemahiran atau perniagaan,” kata Dr Ahmad.
“Keadaan ini (penghijrahan orang Melayu) ekoran perubahan dasar yang membenarkan pelajar asing dengan sijil kemahiran dan kelayakan Australia memohon untuk lanjutan menetap di Australia.
“Ia mengizinkan lebih ramai orang Melayu mengambil peluang yang diberikan kerajaan Australia untuk melanjutkan masa menetap di sini sebelum memutuskan masa depan mereka.
“Terdapat juga beberapa orang Melayu yang niat asalnya untuk menyambung pelajaran dan kemahiran akhirnya terus menetap di sini,” katanya.
Dr Ahmad berkata ramai orang Melayu di sini terdiri daripada sebilangan jurutera dan sebahagian besarnya doktor dan pengamal perubatan yang datang ke Australia untuk melanjutkan pengajian.
Tertarik dengan bilangan orang Melayu berhijrah keluar Malaysia, Dr Ahmad melakukan penyelidikan untuk mencari punca penghijrahan itu.
Hasilnya lahirlah sebuah buku “Malays in Victoria” (Orang Melayu di Vitoria) yang pada asalnya dicadangkan oleh Zulkifli Ahmad, presiden Persatuan Orang Melayu di Victoria.
“Saudara Zul berkata saya sepatutnya menulis buku mengenai orang Melayu di Australia, terutamanya di Victoria.”
Buku itu yang diterbitkan minggu lepas oleh Dr Hass Dellal, Pengarah Eksekutif Australian Multicultural Foundation di satu seminar yang diadakan di University of Melbourne.
Dr Ahmad, yang memperoleh ijazah doktor falsafah dari Universiti Malaya dan Master of Theology dari University of Nottingham berkata, terdapat beberapa alasan mengapa orang Melayu meninggalkan tanah tumpah darah mereka lalu berhijrah ke negara lain seperti Australia.
Alasan itu, antara lain termasuklah dasar tidak adil yang hanya dinikmati sebilangan rakyat di negara asal, khususnya di Singapura; peluang pendidikan tinggi lebih baik bagi anak-anak mereka selain percuma dan pendidikan berkualiti; lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji dan suasana kerja lebih baik; faedah penjagaan kesihatan dan manfaat hospital kelas pertama serta jaminan masa depan untuk keluarga mereka di sebalik keturunan kaum mereka.
Namun, terdapat isu lain yang merunsingkan Dr Ahmad iaitu sebahagian orang Melayu di luar negara yang enggan menganggap diri mereka orang Melayu.
“Saya mempunyai seorang rakan Melayu yang memberitahu saya bahawa di Asia Tenggara mereka menganggap diri mereka Melayu tetapi di Australia dia adalah seorang Australia.
“Saya bersetuju bahawa istilah ‘Melayu’ ini mengelirukan sebilangan orang Melayu yang tidak mengetahui tentang kaum ini. Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan tentang kategori perkauman atau identiti ini kepada mereka,” kata Dr Ahmad.
Tetapi sebenarnya, menjadi orang Melayu tidak langsung merendahkan martabat mereka, kata beliau.
“Kita seharusnya bangga dengan siapa kita ini... itulah yang menjadikan kita istimewa,” katanya.
Dr Ahmad berkata agama “tanpa mengira baik buruknya, adalah satu perkara utama orang Melayu”.
“Dalam politik Malaysia, ia menjadi satu keutamaan nasional. Oleh kerana masyarakat Melayu sering dikaitkan dengan hubungan langsung dengan Islam, ini bermakna Islam berada dekat di hati dalam banyak konflik politik dalam negara,” katanya. (TheMalaysian Insider)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Bukan Australia saja, United Kingdom, Ireland dan United States dan banyak lagi tempat lain, yang orang Melayu suka tinggal di sana. Bahkan di Saudi Arabia dan negara-negara Arab. Sri Lanka, Afrika Selatan. Amerika Selatan pun ramai juga.
Tetapi yang penting jangan tekan soal Melayu sangat, Islam perlu di tempat nombor satu. Islam melampaui sempadan negara dan bangsa-bangsa. Islam membawa kebahgiaan dunia akhirat. Islam menyatupadukan bangsa-bangsa, bukan memecah-belahkan atau asobiah qaumiah. Di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung! Agama dijunjung adat di kilik. Kalau apa-apa yang bertentangan dengan agama, buang saja.. Allahu Akbar!!
Lihat ini...
No comments:
Post a Comment