KL 18 Mei 11: Hendak berjihad macam mana, hutang tak bayar? Kerana itu, tepat seperti kata exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa, slogan jihad dan ancaman perang salib yang digemparkan oleh presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali bukanlah bentuk jihad "tulen" yang dituntut Islam.
Husam berkata, PERKASA tidak sepatutnya menyalahgunakan slogan jihad seperti itu, lebih-lebih lagi berhubung isu yang samar dan berunsur fitnah.
"Islam tidak mengizinkan jihad dilancarkan atas kedudukan yang samar-samar seperti ini," kata Husam ketika mengulas kenyataan Ibrahim yang mendakwa masyarakat Kristian "mencabar posisi, kedaultan orang Melayu Islam”
Kenyataan Ibrahim yang diucapkan dalam satu ceramah pada hujung minggu lalu adalah berhubung satu dakwaan bahawa sekumpulan pastor merancang untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara ini, dan melantik seorang perdana menteri daripada kalangan penganut agama itu.
Dakwaan berkenaan dilaporkan pada 2 Mei lalu oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia. Susulan laporan itu, akhbar berkenaan dikenakan surat teguran oleh Kementerian Dalam Negeri atas laporan yang disifatkan "menggemparkan fikiran rakyat."
Mengulas lanjut, Husam berkata PERKASA juga tidak dibangunkan di atas ajaran Islam yang syumul (menyeluruh), malah "tidak layak membangkitkan isu jihad yang seharusnya tulen dan bersih," kata Husam lagi.
Dalam satu kenyataan hari ini, Husam juga berkata, keadaan itu ditunjukkan melalui tindakan PERKASA yang didakwa hanya menggunakan "isu kaum dan agama bagi kepentingan politik sebelah pihak."
"PERKASA sendiri adalah badan bermotif politik yang jelas mempertahankan sesetengah kemungkaran dengan cara tidak menegur atau bersuara (terhadap) amalan seperti rasuah, kehilangan kedaulatan undang-undang, kepincangan sosial, kecelaruan dasar-dasar dan kegagalan Umno/BN selama ini.
"Sebagai contoh, di manakah PERKASA apabila Presiden MCA selaku rakan utama Umno dalam BN datang ke Kelantan untuk mengubah amalan tidak mengizinkan premis-premis perjudian dibuka bagi rakyat Kelantan yang majoriti 95% beragama Islam?," soalnya.
Husam juga berkata, PERKASA boleh menguatkan Islam melalui dasar dan amalan yang selari dengan Islam dan bukannya dengan kenyataan berapi-api semata-mata.
"Jika jihad hendak dilaksanakan mengikut keutamaan ajaran Islam, kepincangan-kepincangan yang berterusan yang dilakukan oleh Umno/BN adalah lebih utama diperbetulkan," katanya lagi.
Tambahnya, ahli parlimen Pasir Mas tersebut juga perlu mengembalikan semula kerusi berkenaan kepada PAS memandangkan Ibrahim bertanding bagi kerusi berkenaan pada 2008 atas tiket PAS.
"Orang yang hendak berjihad adalah wajib membayar hutang terlebih dahulu kerana roh orang tidak membayar hutang tergantung antara bumi dan langit. Kerusi parlimen Pasir Mas adalah dikira sebagai hutang Datuk Ibrahim Ali," kata Husam lagi.
Sementara itu sebentar tadi Malaysiakini melaporkan, idak ada tindakan yang boleh diambil terhadap presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berhubung amarannya terhadap masyarakat Kristian kerana kenyataan seumpama itu kini sudah menjadi satu norma di Malaysia, kata menteri undang-undang, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.
Tegas Nazri, walaupun kenyataan demikian tidak disenangi, tetapi rakyat "perlu hidup" dan "jadi matang" dalam menangani watak-watak seperti Ibrahim dan yang seumpamanya, memandangkan platform sosial dan media seperti Twitter dan blog, turut menyiarkan kenyataan seperti itu yang melangkaui keupayaan kerajaan untuk mencegahnya - atau menghukum - mereka.
"Adalah sukar untuk bertindak terhadap Ibrahim sekarang
dengan adanya Twitter dan blog... kerana kita tidak boleh memilih dalam membuat membuat pendakwaan," katanya dengan hujah rapuh kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.
(IH)
No comments:
Post a Comment