BANDUNG, 31 Mei — Protokol pindaan terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pengambilan pembantu rumah Indonesia yang ditandatangani malam tadi menetapkan RM4,511 sebagai bayaran pengambilan pembantu rumah Indonesia oleh pihak majikan Malaysia.
Jumlah itu merupakan RM2,711 disediakan oleh pihak majikan dan RM1,800 adalah bayaran pekerja yang didahulukan oleh pihak majikan kepada agensi pekerjaan.
“Majikan dibenarkan memotong gaji pekerja sebanyak RM1,800 dengan syarat pemotongan itu tidak boleh lebih daripada 50 peratus daripada gaji bulanan pembantu rumah,” kata Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Dr S Subramaniam dipetik Bernama Online hari ini.
Ini bermakna kos sebenar yang ditanggung oleh majikan ialah RM2,711.
Dr Subramaniam (gambar) berkata protokol Pindaan terhadap MoU di antara Malaysia dan Indonesia Mengenai Isu Penggajian Pembantu Rumah Asing Indonesia 2006 itu, turut menetapkan bahawa pembantu rumah Indonesia diberi cuti satu hari dalam seminggu dan mereka layak dibayar gaji satu setengah hari jika memilih untuk bekerja pada hari cuti berkenaan.
Satu kontrak kerja yang standard juga perlu digunakan untuk pengambilan pembantu rumah dari republik itu.
Kata beliau, antara perkara utama yang dipersetujui dalam protokol itu ialah penubuhan Pasukan Petugas Bersama (JTF) di kedua-dua negara untuk membantu Kumpula Kerja Bersama (JWG) untuk mengawasi pelaksanaan MoU dan menyelesaikan perkara-perkara berbangkit berhubung penggajian dan pengurusan pembantu rumah Indonesia.
Gaji akan ditetapkan berdasarkan kepada kadar pasaran dan majikan akan bertanggungjawab membayar gaji bulanan seperti dalam kontrak iaitu melalui akaun bank pekerja namun jika lokasi bank jauh, bayaran tunai dibenarkan.
Mengenai pasport pembantu rumah terbabit, mereka diberikan hak memegang dokumen itu, bagaimanapun mereka boleh menyerahkan pasport mereka kepada majikan untuk disimpan bagi tujuan keselamatan dengan syarat ia dikembalikan bila pekerja memintanya.
Laporan Bernama berkata protokol ini turut menetapkan bahawa majikan berhak mendapat pengganti pembantu rumah Indonesia yang baru atau bayaran pendahuluan mereka dari agensi pekerjaan jika pekerja mereka melarikan diri atau tidak kompeten dalam tempoh enam bulan.
Mereka juga berhak mendapat pengganti atau pengembalian wang pendahuluan jika pekerja itu tidak lulus pemeriksaan kesihatan dalam tempoh tiga bulan.
Agensi pekerjaan yang didapati melanggar ketetapan dalam protokol baru ini akan disenaraihitamkan oleh agensi kerajaan yang berkaitan, katanya.
“Kerajaan percaya dengan adanya protokol berhubung penggajian pembantu rumah di antara Malaysia dan Indonesia ini akan dapat memberi perlindungan yang sewajarnya kepada para majikan Malaysia yang menggajikan pembantu rumah Indonesia dan seterusnya meningkatkan kerjasama dua hala di antara kedua-dua negara,” katanya.
Keputusan dan persetujuan antara Malaysia dan Indonesia hanya terpakai untuk pengambilan pembantu rumah Indonesia sahaja, katanya. (IH)
No comments:
Post a Comment