▼
Wednesday, May 18, 2011
Stadium Muat 40,000 Bersama Roh Islam -Nik Aziz
KOTA BHARU, 18 Mei 11: Kerajaan Negeri Kelantan ingin merealisasikan hasrat mahukan aktiviti sukan di negeri ini tidak berpisah dari roh Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri.
Maka kerajaan negeri Kelantan akan membina sebuah stadium yang memuatkan 40,000 orang di samping ruang masjid di merata-rata bahagiannya di Bukit Merbau, Pasir Puteh.
Perkara ini diumumkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Mat dalam satu kenyataan media yang dibacakan selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.
"Saya ingin membuat pengumuman pada hari ini satu berita gembira buat rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat sukan tanahair di mana Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan bersekali dengan Bandar baru untuk kegunaan aktiviti sukan di negeri ini.
"Kompleks tersebut yang antaranya akan menempatkan sebuah stadium utama dengan kapasiti 40,000 tempat duduk bertempat di atas tanah milik kerajaan di Bukit Merbau, Pasir Puteh," kata beliau.
Katanya, kerajaan berhasrat agar stadium yang akan dibina ini turut memuatkan ruang masjid di merata-rata bahagian yang akan membolehkan penonton-penonton solat berjemaah dengan mudah di dalam stadium.
Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahukan aktiviti sukan di negeri ini tidak berpisah dari roh Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri. Bagaimanapun rekabentuk secara terperinci terpulang kepada arkitek yang akan diberikan tanggungjawab ini nanti, katanya.
Menurut Nik Aziz, cadangan pembangunan stadium dan kompleks sukan ini terbuka kepada mana-mana pemaju menghantarkan cadangan atas dasar BOT iaitu bina, operasi dan pindah.
"Saya berharap dengan pembinaan kompleks sukan ini nanti, aktiviti sukan di negeri ini dapat berdaya maju dengan lebih baik ke arah membentuk masyarakat yang sihat jasmani dan rohani insya-Allah," katanya.
Membangun Bersama Islam! (IH)
No comments:
Post a Comment