Tanpa pendaftaran menjadi pengundi, seseorang itu tidak dapat membuang undi pada pilihanraya, sedangkan setiap umat Islam wajib menyokong perjuangan Islam dan menolak kemungkaran dalam hidup.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib sehubungan itu menyeru para pemimpin Dewan Ulama menyampaikan perkara itu dengan jelas kepada orang ramai agar setiap umat Islam faham dengan peranan masing-masing dalam pilihanraya.
Menurut beliau, selain itu, para pemimpin Dewan Ulama di semua peringkat perlu berusaha menambah ilmu masing-masing bagi mempersiapkan diri dengan tugas lebih mencabar dalam menyampaikan dakwah.
Katanya, ahli-ahli Dewan Ulama sepatutnya bukan hanya boleh menguasai ilmu agama, tetapi juga ekonomi, undang-undang dan cabang-cabang ilmu lain.
"Namun untuk mentarbiyah seseorang menjadi Muslim sejati bukanlah perkara yang mudah dan pasti memakan masa. Jadi ahli-ahli Dewan Ulama tidak sepatutnya gopoh dalam usahanya ke arah itu," katanya ketika berucap pada sessi ucapan penangguhan pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Ke-50 di Taman Melewar, di sini, hari ini.
Dalam melaksanakan tanggungjawab, menurut beliau, ahli-ahli Dewan Ulama tidak seharusnya terpengaruh dengan isu pertembungan golongan ulama dan profesional dalam PAS yang dimainkan oleh pihak tertentu, sebaliknya rahsia kekuatan PAS sejak dulu hingga kini sebenarnya adalah atas gabung jalin ulama dan profesional itu sendiri.
Sebelum itu, Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad ketika berucap pada sessi penggulungan berkata, PAS bukan sahaja parti politik yang turut mengambil bahagian dalam pilihanraya, tetapi juga sebuah badan dakwah.
"Oleh itu, sama ada kalah atau menang dalam pilihanraya, PAS mestilah meneruskan perjuangannya untuk menyampaikan dakwah kepada orang ramai demi mencari keredhaan Allah, di samping menitikberatkan soal pentarbiyahan dalam PAS sendiri bermula dari atas ke bawah," tegasnya.
Manakala Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh ketika berucap sebelum itu berkata, PAS tidak boleh mengurangkan menyebut soal negara Islam dalam menyampaikan risalah perjuangannya kepada orang ramai kerana perkara itu sememangnya merupakan perjuangan PAS sendiri sejak ditubuhkan dulu.
Dalam menangani isu-isu yang dimainkan oleh Umno BN pula, katanya, PAS amat perlu berhati-hati agar tidak terjerat dengan jerat yang sengaja dipasang oleh Umno BN.
Menurutnya, ada kalanya, isu-isu yang dibangkitkan itu tidak perlu dilayan kerana ia sengaja diciptakan oleh Umno BN untuk menutup isu-isu lain yang cukup banyak berkaitan dengan kelemahan Umno BN itu sendiri.
"Contohnya termasuklah isu mengenai dakwaan kewujudan golongan paderi untuk menjadikan Kristian agama rasmi di negara kita yang kalau dilayan akan menyebabkan kita berbalah dengan orang bukan Islam atau menyerang agama lain.
"Jadi, kita amat perlu berwaspada dengan isu-isu yang dibangkitkan itu. Manakala jika isu-isu yang dibangkitkan itu pula adalah isu-isu yang memang perlu dilayan, kita bukan sekadar perlu menjawabnya dengan lembut, tetapi dengan menyerang bagi mematahkannya," katanya.
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Husain Awang pula ketika berucap sebelum itu berkata, ahli-ahli Dewan Ulama amat perlu melakukan perubahan dengan turut memainkan peranan aktif bagi menjelaskan isu-isu penting yang berlaku dalam negara.
Menurutnya, antaranya termasuklah menjawab isu mengenai video lucah, kenaikan harga petrol, kenaikan harga barangan dan sebagainya, di samping aktif mengadakan ceramah berkelompok.
Sebelum itu, beliau memuji barisan kepimpinan Dewan Ulama PAS Pusat sessi 2009-2011 yang telah menunjukkan prestasi baik, sehingga laporan kewangan dan laporan tahunan tahun-tahun lalu yang dibentangkan pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Ke-50 hari ini, tidak langsung dibahas oleh para perwakilan.
"Selain itu, pencapaian itu juga boleh diukur dari wang terkumpul dalam tabung Dewan Ulama PAS Pusat hari ini yang berjumlah sehingga RM200,000, berbanding sebelum ini yang tidak pernah mencapai angka sebesar itu.
"Barangkali, inilah antara punca yang menyebabkan kesemua jawatan dalam Dewan Ulama PAS Pusat tidak ditandingi pada muktamar tahun ini, dengan dikekalkan barisan kepimpinan sessi 2009-2011 yang lalu," katanya dengan nada bergurau.
Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulama PAS Pusat Sessi 2009-2011 lalu yang terus dikekalkan dengan menang tanpa bertanding pada Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Ke-50 hari ini, untuk terus memikul tugas bagi sessi 2011-2013:
Pengerusi Tetap
Ustaz Hamdan bin Mohamad
Timbalan Pengerusi Tetap
Ustaz Abdul Manaf bin Othman
Ketua
Ustaz Harun bin Taib (Datuk/YB)
Timbalan Ketua
Ustaz Ahmad bin Yakob (Datuk)
Naib Ketua
Mahfodz bin Mohamad (Dr/Datuk)
Setiausaha: Ustaz Muhammad Zain bin Abdul Rahman
Penolong Setiausaha 1: Ustaz Badruzzaman bin Yusof (Dr)
Penolong Setiausaha 2: Ustaz Azahari bin Aripin (Dr)
Penolong Setiausaha 3: Ustaz Shahbudin bin Ngah (Dr)
Bendahari: Ustaz Khairuddin bin Razali
Ketua Penerangan: Ustaz Nik Muhammad Zawawi bin Salleh
Ketua Pengarah Pilihanraya: Ustaz Husain bin Awang (Datuk)
Ahli Jawatankuasa Kerja:
Ustaz Mohamed bin Daud Al-lraqi (Datuk)
Ustaz Hassan bin Mohamad (Datuk)
Ustaz Mohamad bin Mustaffa (YB)
Ustaz Salleh Sani bin Harun Al-Hafiz
Ustaz Abdullah bin Abdul Razak
Ustaz Abu Bakar bin Abdullah
Ustaz Abdul Ghani bin Shamsuddin
Ustaz Ismail bin Noh
Ustaz Abdullah bin Husain
Ustaz Jaliluddin bin Abdul Wahid
Ustaz Soid bin Md. Amin
Ustaz Wan Abdul Halim bin Wan Chik
Ustaz Khirul Muntanazar bin Ismail
Ustaz Mokhtar bin Senik
Ustaz Mustafa bin Shaari
Ustaz Zolkharnain bin Abidin Al-Hafiz
Ustaz Nor Najhan bin Mohd Salleh
Ustaz Mohd. Khairi bin Zainuddin
Pemeriksa Kira-kira 1: Ustaz Ibrahim bin Omar
Pemeriksa Kira-kira 2: Ustaz Mohd Noor bin Din
No comments:
Post a Comment