Tuesday, June 28, 2011

Hati-hati Kumpulan Layar Bahtera, Ajaran Sesat


NUSAJAYA 28 Julai 11: Orang ramai perlu berhati-hati. Hal ini kerana Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) giat memantau saki baki ahli kumpulan ajaran sesat yang dikenali sebagai Kumpulan Layar Bahtera yang dikesan bergiat aktif di Masai, Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, seramai 25 ahli kumpulan terbabit ditahan iaitu 22 lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun di sekitar Taman Rinting pada awal bulan ini kerana mengamalkan ajaran sesat.

Beliau berkata, ajaran berkenaan diketuai seorang lelaki berusia 40 tahun berasal dari Selangor yang sudah diharamkan pada 2010 dan diwartakan pada tahun ini, menyebar fahaman bertentangan dengan ajaran Islam sejak tiga tahun lalu.

“Ketua kumpulan itu yang dipanggil Nakhoda, mendakwa mengetahui segala ilmu dan benda ghaib, menyatakan semua manusia adalah Allah, malaikat adalah manusia yang taat, jin adalah manusia dikurniakan ilmu yang tiada pada manusia biasa serta iblis adalah manusia yang melakukan kemungkaran.

“Selain itu, kumpulan itu juga mendakwa syaitan adalah manusia yang menjadi penghasut, Gunung Tursina di Timur Tengah adalah Gunung Ledang serta mentafsir ayat al-Quran serta hadis mengikut cita rasa sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri Johor ke-12, di sini, semalam.

Zainal Abidin berkata, kumpulan itu juga tidak mengamalkan sembahyang wajib lima waktu dan sudah mengumpul hampir 40 pengikut sejak lebih tiga tahun lalu.

“Kita juga mengesan kumpulan itu giat menyebarkan fahaman mereka menerusi laman sesawang tetapi kita sudah meminta kerjasama pihak berwajib untuk menutupnya,” katanya.

Katanya, siasatan juga mendapati pengikut kumpulan terbabit kebanyakannya bekerja sebagai mekanik dan pekerja kontrak dan rumah ketua kumpulan terbabit dijadikan markas penyebaran agama sesat.

Kesemua yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang menetapkan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau enam kali sebatan atau kedua-duanya.(IH)

No comments:

Post a Comment