Shah ALAM, 2 Jun: Muslimat bukanlah langsir yang menghiasi jendela semata-mata dan ditukar ganti apabila selesai digunakan. Kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Katanya, dengan perkembangan semasa hari ini, muslimat juga harus melengkapkan diri untuk bersaing di peringkat nasional.
"Muslimat tidak boleh lagi menganggap diri mereka hanya sebagai pelengkap kepada golongan lelaki di dalam medan juang, tetapi mereka juga perlu berperanan sebagai tiang seri yang menongkat istana perjuangan.
"Muslimat bukanlah langsir yang menghiasi jendela semata-mata dan ditukar ganti apabila selesai digunakan.
"Hari ini, pada saat dunia berkembang pesat dengan segala arus kemodenan, muslimat perlu dilihat berketrampilan menguasai pelbagai bidang ilmu dan bahasa agar dilihat mampu bersaing dengan pergerakan wanita dari parti-parti lain," katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat ke-51 di Dewan Banquet, Bangunan SUK, dekat sini hari ini.
Disamping itu juga beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Muslimat juga perlu mempersiapkan diri selengkapnya untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU-13). Katanya, Muslimat PAS mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh memainkan peranan untuk menjatuhkan Umno BN pada pilihan raya akan datang.
"Disiplin, thiqah, dan keteguhan pimpinan dan ahli-ahli PAS adalah syarat yang perlu dipatuhi.
"Atas syarat inilah, kerajaan PAS di Kelantan mampu bertahan walaupun dengan majoriti satu kerusi sahaja. Prestasi ini dipandang tinggi oleh rakan-rakan kita di dalam Pakatan Rakyat," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan muslimat agar menyediakan genarasi pelapis yang berpotensi besar untuk berkecimpung dalam arena politik tanah air.
"Saya melihat Dewan Muslimat PAS pada hari ini semakin menarik minat pelbagai latar belakang untuk turut bersama dengan perjuangan ini. Tidak dilupakan, muslimat perlu kepada generasi pelapis.
Tambahnya, beliau sendiri menyaksikan ada perbezaan berikutan kehadiran pelbagai latar belakang dan bakat baru. Justeru beliau berharap agar golongan senior di dalam Dewan Muslimat dapat membimbing bakat-bakat baru agar memahami perjuangan PAS dan terus istiqomah membantu bahtera PAS sampai ke pantai destinasinya.
"Kepelbagaian ini saya ibaratkan sebagai sejambang bunga yang menampilkan pelbagai jenis bunga dan wangian yang berbeza. Ia sama sekali tidak mencacatkan jambangan bunga bahkan ia menambahkan seri dan menaikkan perhatian orang yang memerhati. Muslimah ibarat bunga yang sedang berkembang mekar di jambangan yang namanya jihad, insya-allah jika dibajai dan dijaga bunga ini, wangiannya akan terus kekal semerbak sepanjang zaman," katanya. (IH)
No comments:
Post a Comment