Tuesday, June 07, 2011
Nak Daftar Nama 'Anak Malaysia' Pun Tak Boleh!
KL 7 Jun 11: Dalam usaha menolak politik perkauman, seorang ADUN cuba mendaftarkan keturunan anak perempuannya sebagai 'Anak Malaysia' tetapi diberitahu oleh pegawai jabatan pendaftaran, sistem sekarang tidak membenarkannya. Bayi berusia enam hari itu, akhirnya diberikan nama Shay Adora Ram.
Bayi itu hampir menjadi 'anak Malaysia' pertama yang didaftarkan oleh pasangan ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh dan suaminya Ramachandran Muniandy.
Pasangan ibu bapa itu ke ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya hari ini bagi mendaftarkan kelahiran Shay.
"Kami diberikan borang untuk diisi. Jadi kami letak 'anak Malaysia' di ruangan 'bangsa' tetapi seorang pegawai berkata bangsa mestilah didefinisikan mengikut keturunan ibu bapa mereka, iaitu Cina atau India,” kata Yeoh (kanan) kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.
"Kami jawap anak perempuan kami bukan Cina ataupun India.” Yeoh kemudiannya memilih untuk membiarkan ruangan itu kosong tetapi ini juga ditolak oleh pegawai berkenaan.
"Mereka berkata tiada peruntukan bagi mengosongkan ruangan itu. Sistem sedia ada tidak boleh mendaftarkan anak kami. Kami mesti memilih mana-mana satu bangsa,” kata ADUN DAP itu sambil menambah kategori 'lain-lain' juga tidak dibenarkan dipilih olehnya.
Pasangan yang kecewa itu kemudian memutuskan untuk menangguhkan pendaftaran anak mereka tetapi diberitahu tindakan berkenaan akan mengusutkan lagi keadaan dan mungkin menjejaskan anak itu, umpamanya apabila mendapatkan rawatan perubatan dan perkara lain. Oleh kerana bagi menjamin kepentingan anak mereka, pasangan itu mendaftarkan Shay sebagai berbangsa Cina buat masa ini.
"Saya akan menulis kepada perdana menteri dan ketua pengarah jabatan pendaftaran negara untuk membuat rayuan.
"Sistem mendaftarkan rakyat mesti mencerminkan apa yang dilaungkan oleh perdana menteri setiap hari,” kata Yeoh. (IH)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
sekarang ini nama berbau islam tidak dibenarkan untuk nama anak, nama syarikat, nama tadika, nama perniagaan dan sebagainya.
Post a Comment