Friday, June 03, 2011

Negara Kebajikan Siap Hadap PRU 13

Abdul Hadi Awang mendapatkan autograf Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas pelancaran buku “Mutiara Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat” di Gombak hari ini. – Foto oleh Choo Choy May
GOMBAK, 3 Jun — Di sebalik desas-desus pilihan raya umum ke-13, Presiden PAS membentangkan secara terperinci dasar pihaknya bersama komponen Pakatan Rakyat mahu mewujudkan asas negara berkebajikan — pengurusan yang menurutunya tidak akan membebankan rakyat sama sekali.

Ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini, yang bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”, dilihat kali pertama meletakkan komponen pengurusan dan pentadbiran ekonomi secara menyeluruh lagi terperinci. Ucapan-ucapan lalu lebih berkisar pada soal agama dan sosial.

Hadi menegaskan, dalam negara berkebajikan, kerajaan mengambil tanggungjawab dalam perkara yang menjadi rukun hidup, keperluan asasi kemudahan asas, makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan lain-lain.

Oleh itu katanya, PAS wajib menghapuskan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang menjadi amalan kerajaan Umno-BN sehingga mengambil kesempatan mendapat hasil melalui rukun hidup rakyat.

Pemimpin yang berlatarbelakangkan pendidikan agama ini juga memberitahu, rakyat yang berniaga pula terpaksa berdepan dengan kerajaan yang berniaga.

“Kerajaan yang berniaga menerusi GLC pula, mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham kroni tertentu manakala kerugian perniagaan pula ditanggung oleh kerajaan, yang akhirnya dibebankan kepada rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat jelata.

“Akhirnya GLC ini akan hilang daya saingnya kerana sentiasa menerima bantuan dari kerajaan,” kata beliau.

Dalam ucapan dasar Muktamar Tahunan Ke-57, Ahli Parlimen Marang ini berkata, Islam menjadikan kerajaan tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan.

“Contohnya dengan mewajibkan bayaran zakat kepada orang Islam, dan cukai kepada bukan Islam dengan kadar kemampuan dan galakan yang meningkatkan produktiviti pendapatan mereka.

“Kerajaan juga tidak boleh menyekat kekayaan yang halal, tidak menipu, tidak menindas dan tidak rasuah,” katanya.

Hadi menjelaskan, PAS percaya bahawa perolehan pendapatan negara bukannya dengan cara membebankan rakyat dengan kaedah menaikkan cukai atau menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan.

“PAS yakin bahawa keadilan sosial yang berteraskan kebajikan kepada rakyat dan amalan yang adil membawa berkat yang mengembangkan hasil negara,” kata beliau lagi.

Bekas menteri besar Terengganu ini berkata, PAS telah melaksanakan sebahagian daripada konsep negara berkebajikan di negeri yang diperintahnya, mengikut kemampuan dan bidang kuasa yang ada di Kelantan dan Kedah, pernah di Terengganu dan Perak dan memperkenalkan di negeri PAS menyertai kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.

Katanya, PAS bersama Pakatan Rakyat telah memperkenalkan konsep negara berkebajikan melalui Buku Jingga yang dilancarkan.

“Sebenarnya sebahagian daripada Buku Jingga pernah dilaksanakan di negeri yang kita perintah, seperti pembatalan tol, pembatalan cukai yang membebankan rakyat dan memudahkan perkhidmatan asas yang menyentuh rukun hidup rakyat,” katanya.

“Kita telah membuktikan kemampuan memerintah selama dua puluh tahun di Kelantan dan di negeri lain, dengan kadar hasil yang tidak boleh difikir mampu oleh mereka yang berfahaman kebendaan.

“Apatah lagi kini kita tentunya lebih yakin berkemampuan kerana hasil dan sumber negara tidak bocor dengan rasuah, membazir dan mewah,” kata beliau lagi.

Kata Hadi, negara berkebajikan yang ingin dicapai bukan hanya hebat pencapaian ekonominya semata-mata kerana “kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang bertaburan” di sana sini tetapi jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat.

Oleh itu katanya, negara yang diinginkan ialah yang juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat.

“Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ia mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain.

“Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini,” katanya lagi.

Malah kata beliau, negara berkebajikan juga melaksanakan undang-undang yang mendidik rakyat, bukannya menakutkan rakyat dengan wajib menjatuhkan hukuman.

“Apa yang lebih parah lagi, BN telah menjadikan undang-undang sebagai satu cara untuk merompak harta rakyat, contohnya di atas nama saman ekor yang sama sekali tidak mendidik rakyat,” katanya lagi.

Jelas beliau, kaedah perundangan Islam menjadikan orang yang dituduh belum bersalah dengan wajib melindungi dan membelanya. 
“Sesorang hakim mencari jalan bagaimana membebaskan orang yang dituduh, bukan mencari jalan untuk menjatuhkan hukuman.

“Islam menggalakkan orang yang bersalah bertaubat dan memebuat penyelesaian di luar mahkamah kerana balasan bukan sahaja di dunia, bahkan ada lagi balasan dalam kubur dan selepasnya, kalau terlepas di dunia tanpa taubat,” kata beliau sambil menambah, Islam membuktikan wujudnya keamanan dengan kehebatan undang-undang yang adil, bukan menakutkan rakyat dengan undang-undang zalim.

“Islam menggalakkan wujudnya masyarakat berkebajikan dengan sifat persaudaraan kemanusiaan dan kejiranan untuk melakukan kerja kebajikan, sehingga mendahului kerajaan untuk berlumba-berlumba mendapat pahala.

“Umno-BN telah melemah dan mematikan sifat tersebut, amalan wakaf bagi mendirikan masjid, sekolah rakyat, rumah kebajikan dan sebagainya, semata-mata bagi melaksanakan peluang rasuah politik terhadap rakyat,” katanya lagi.

Bagi melaksanakan tujuan tema itu, kata beliau, maka PAS ingin melaksanakan langkah yang menjadi intipati utama iaitu membetulkan fahaman salah, membetulkan salah urus-tadbir ekonomi, dan seterusnya memimpin rakyat melakukan perubahan ke arah kebaikan.

“Semuanya ini tidak akan mampu kita capai tanpa mempunyai organisasi dan petugas parti yang mantap, perancangan yang bersifat semasa dan ke hadapan, pemantauan dan penambahbaikan dari masa ke semasa,” katanya lagi. (The Malaysian Insider)

1 comment:

Anonymous said...

Bila PAS nak buat Rumah Anak Yatim atas nama PAS dan bukan atas nama individu seperti sekarang?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails