KOTA BARU, 21 Jun 11: Tahniah kepada kerajaan Negeri Kerajaan yang bercadang memberi insentif khas kepada golongan suami yang tidak menyembunyikan perkahwinan lain daripada isteri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar berkata pemberian insentif khas itu sebagai galakan kepada para suami agar tidak menyembunyikan perkahwinan berikutnya itu daripada diketahui oleh isteri dan anggota keluarga yang lain.
“Ada syaratnya dan kalau anda seperti Salih Yaakob (penyanyi dan juruhebah Radio Sinar FM) bolehlah ke hadapan untuk terima insentif itu.
“Apa pun ini masih di peringkat cadangan lagi dan jika dipersetujui, bukan sahaja suami yang akan mendapat penghargaan tetapi kepada isteri-isteri dan anak-anak, mereka juga akan turut mendapat insentif ini nanti,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim di sini hari ini.
Ketika menggulung perbahasan sebelum itu, Wan Ubaidah berkata kerajaan negeri menyambut baik cadangan itu kerana ketika ini ramai yang masih menyembunyikan perkahwinan kedua dan seterusnya. Dipetik Bernama Online, beliau berkata pada 2002 sahaja lebih 1,000 pasangan telah mendaftarkan perkahwinan berikutnya di Kelantan.
“Yang tidak daftar mungkin ramai dan ini yang kita tidak mahu kerana ia boleh mengundang masalah,” katanya.
Wan Ubaidah berkata kerajaan Kelantan tidak menyekat poligami kerana ia sebahagian daripada Islam tetapi dengan syarat suami itu perlu adil. “Kita tidak menyokong yang kahwin cerai dan perlu adil dalam setiap perkahwinan itu,” katanya.
Katanya adalah lebih baik mereka yang berkahwin lebih itu memilih armalah (janda) sebagai pasangan hidup kerana di Kelantan sahaja terdapat 25,000 para janda yang berumur bawah 60 tahun dan masih boleh dijadikan isteri. (IH)
Lihat Sebelum ini..
No comments:
Post a Comment