KL 26 Jun 11: myMetro mendedahkan kerisauan apabila satu laman web pengkid mampu menarik lebih 1,600 ahli dari seluruh negara dengan segelintir daripadanya secara terang-terangan mendakwa gemar menjalin hubungan sejenis, seolah-olah menggambarkan kegiatan itu semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Golongan songsang ini tanpa segan silu memaparkan nama dan nombor telefon bimbit masing-masing dalam laman web berkenaan supaya mudah dihubungi mereka yang berminat. Tidak cukup dengan itu, ada antara mereka sanggup mengajak pasangan yang baru dikenali daripada laman web berkenaan untuk mengadakan seks rambang dengan rakan mereka.
Pemerhatian Metro Ahad mendapati kebanyakan gadis yang menyertai laman cari teman berkenaan terdiri daripada lingkungan umur 19 hingga 30 tahun. Profil kebanyakan gadis terbabit menunjukkan mereka berpelajaran tinggi, menuntut di universiti terkenal tempatan dan ada juga yang bekerja serta mempunyai jawatan bertaraf eksekutif di beberapa syarikat besar.
Hasil pemerhatian itu juga mendapati, kelompok songsang ini menjadikan laman web berkenaan sebagai tempat untuk meluahkan perasaan selain membuka ruang untuk ahli baru mendaftarkan diri. Wartawan yang melakukan penyamaran turut mendaftarkan diri dalam laman web berkenaan. Malah, siasatan yang dilakukan berjaya membawa wartawan bertemu dua gadis yang mengaku pengkid dan lesbian.
Gadis yang ditemui mengaku laman web berkenaan menjadi tumpuan golongan bernafsu songsang mencari kenalan dan bertukar-tukar pasangan. Selain itu, tidak kurang juga yang cuba mencari ‘cinta sejati’ daripada kaum sejenis. Malah, selain portal berkenaan, mereka turut menyertai pelbagai ‘kelab’ lesbian dan pengkid di alam siber itu. Pemerhatian wartawan turut mendapati pasangan lesbian mahupun pengkid lebih mesra, penyayang dan saling mengambil berat antara satu sama lain.
Ikuti kisah gadis pengkid dan lesbian ini menerusi penyamaran yang dilakukan wartawan.
> AYISH, 23:
MENURUT Ayish, dia mula menyertai laman web berkenaan sejak tujuh bulan lalu bagi memudahkannya berjumpa dan berkenalan dengan kaum sejenis.
“Sejak menyertai laman web berkenaan, saya sudah berjumpa dengan 10 gadis yang masing-masing meminati pengkid. Malah, ada antaranya pernah menjadi teman wanita dan tidak kurang juga ‘skandal’.
“Jika di luar sana, pasti sukar untuk mendekati gadis. Lagipun, nanti orang pandang serong pula. Tetapi dengan laman web berkenaan, semuanya secara terbuka dan mereka yang menyertainya mempunyai minat yang sama,” katanya.
Menjelaskan mengapa dia beralih arah kepada pengkid dan meminati kaum sejenis, Ayish berkata, dia mencari cinta sejati daripada mereka yang sudi memberinya. Ini kerana dia ditinggalkan teman lelakinya yang bernafsu songsang hingga mula berpaling kepada wanita gara-gara ‘patah hati’ dengan lelaki.
“Saya mula mengubah perwatakan sejak di bangku sekolah lagi. Waktu itu, saya mempunyai seorang teman lelaki. Selepas bertahun-tahun bercinta, akhirnya dia mengakui dirinya gay dan lebih meminati kaum lelaki. Kerana kecewa dengan kenyataan itu, saya mula membenci lelaki. Sejak itu, saya cuba membalas perbuatannya dan lama kelamaan, perasaan saya semakin menebal terhadap kaum sejenis.
“Sejak itu juga, saya mula menukar penampilan seperti lelaki, memakai bengkung, memotong rambut dan mencari gadis yang sudi berkenalan serta memadu kasih. Selama menjadi pengkid, saya mempunyai ramai teman wanita dan kebanyakannya dicari menerusi laman web sama,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, semuanya tidak bertahan apabila hubungan mereka sering putus di tengah jalan.
“Sebab itu, saya mahukan seorang gadis yang betul-betul boleh mengisi kekosongan dalam hati ini. Saya mahu gadis yang benar-benar mencintai saya. Saya juga tidak pasti sampai bilakah saya akan jadi seperti ini. Kerana lelaki, saya yang merana. Kalau nak diikutkan, saya memang mahu berubah.
“Begitupun, saya hanya akan berubah jika teman lelaki saya yang dulu berubah. Selagi dia tidak ke pangkal jalan dan mengenepikan nafsunya, saya juga tidak akan melakukan perkara sama,” katanya.
> SHIMA, 26:
BAGI Shima, dia lebih gemar menjadi lesbian kerana tidak perlu menukar penampilan seperti seorang lelaki selain dapat memadu kasih dengan kaum sejenis ataupun lelaki. Menurutnya, dia mula terbabit dengan kegiatan songsang itu ketika masih menuntut di bangku sekolah.
Ini kerana, katanya, bercinta dengan gadis lebih menyeronokkan berbanding lelaki.
“Kebanyakan kenalan yang saya temui bermula daripada laman web berkenaan. Sejak menyertainya tiga tahun lalu, saya mempunyai ramai kenalan lesbian dan pengkid.
“Bagaimanapun, saya lebih gemarkan wanita yang berperwatakan ayu dan manja. Saya tidak berapa meminati pengkid kerana mereka lebih cenderung meniru gaya kaum lelaki.
“Bagi saya, seorang wanita lebih mengambil berat, penyayang dan memahami hati serta perasaan saya. Sebab itu, saya rasa bahagia setiap kali bersama dengan wanita yang saya sukai,” katanya.
Menurut Shima, dia pernah mempunyai teman lelaki dan pada masa sama mempunyai kawan rapat yang juga seorang gadis. Ketika sedang hangat bercinta, katanya, dia sering kecewa dengan layanan teman lelaki namun si gadis pula lebih banyak membantu ketika dalam kesusahan.
“Diam-diam, kami mula menjadi akrab dan kemudian menaruh perasaan terhadap satu sama lain. Sejak itu, saya mula gemar menjalinkan hubungan dengan kaum sejenis. Tidak ada lelaki yang dapat memahami perasaan wanita. Kami mahukan belaian yang lembut dan romantik tetapi kebanyakan lelaki lebih kasar dan sentiasa mengambil ringan mengenai sesuatu perkara.
“Lagipun, jika saya menjadi lesbian, saya boleh merasa ‘nikmat’ bersama gadis lesbian atau pengkid. Malah, saya juga boleh mempunyai teman lelaki.
“Terus terang, laman web seperti ini memberi peluang kepada golongan seperti kami berjumpa antara satu sama lain dan berkenalan. Malah, sepanjang tiga tahun mengikuti laman web berkenaan, saya sudah menemui ramai kenalan lesbian dan ada antaranya pernah menjadi kekasih,” katanya.
Bagi Shima, tidak salah menjadi pengkid dan lesbian kerana ia membabitkan perasaan dan hati seseorang itu.
“Lagipun, jangan pandang golongan seperti kami ini sebelah mata. Rata-ratanya, lesbian dan pengkid mempunyai pendidikan tinggi dan kerjaya yang hebat.
“Mungkin juga disebabkan perkara ini, saya lebih cenderung memilih wanita sebagai teman kerana tidak mahu menerima pelbagai tekanan lain. Buat buat masa ini saya lebih gemar bersama ‘teman wanita’ berbanding lelaki. Tengoklah nanti jika saya bertemu dengan lelaki yang benar-benar memahami hati dan perasaan saya, baru saya akan berubah kembali,” katanya.
Komen Weblog Ibnu Hasyim:
Satu lagi bukti lagi kecanggihan agama Islam dalam menangani masalah sosial masyarakat. Allah SWT menciptakan manusia, dan Dia membuka jalan keluar atau penyelesaian. Binasa dan terujilah manusia-menusia tidak mahu ikut Islam, walaupun dia menagaku 'Islam agama bagi Persekutuan' dalam negaranya.
Satu: Isu golongan wanita membawa imej lelaki dan lelaki membawa imej wanita telah lama diperkatakan. Jika suatu waktu dahulu, wanita yang berperwatakan lelaki ini digelar sebagai tomboy kerana membawa imej lelaki, kini muncul pula golongan yang dinamakan sebagai pengkid dengan imej, penampilan dan perwatakan lelaki begitu juga penampilan golongan mak nyah dan pondan . Fenomena ini semakin menular dan berleluasa malah telah menjadi satu fenomena global di seluruh dunia.
Dua: Pengkid merujuk kepada gadis yang mempunyai penampilan fizikal mirip lelaki seperti berambut pendek dengan mengenakan jeans dan t-shirt. Daripada sifat pula, nyata terserlah sifat kelakian (kejantanan) pada golongan ini dengan imej macho sehingga ada yang merasakan bahawa diri mereka benar-benar seorang lelaki sejati. Pengkid cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan wanita kerana daripada segi perasaan, nyata mereka amat berminat terhadap wanita sehingga tidak ada langsung perasaan dan keinginan terhadap lelaki. Yang nyata, golongan ini cuba menonjolkan identiti gender berlawanan daripada norma-norma boilogi dan sosial yang mereka miliki.
Tiga: Pengkid agak berbeza dengan tomboy, kerana tomboy hanya menampilkan imej kelelakian daripada sudut fizikal atau luaran sahaja seperti memakai jeans, t-shirt, bertopi dan berambut pendek sedangkan daripada sudut naluri dan perasaan, mereka tetap sama seperti perempuan normal.
Empat: Pondan atau Mak Nyah pula merujuk kepada lelaki yang mempunyai penampilan fizikal mirip perempuan seperti berambut panjang dengan mengenakan pakaian seperti seorang wanita . Daripada sifat pula, nyata terserlah sifat keperempuanan pada golongan ini dengan imej lembut sehingga ada yang merasakan bahawa diri mereka benar-benar seorang wanita sejati. Pondan dan Mak Nyah cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan sesama lelaki yang berperawakan wanita kerana daripada segi perasaan. Yang nyata, golongan ini cuba menonjolkan identiti gender berlawanan daripada norma-norma boilogi dan sosial yang mereka miliki.
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersidang pada 18 Disember 2008M bersamaan 20 Zulhijjah 1429 H setelah meneliti keterangan, hujah-hujah pandangan yang dikemukakan bersetuju untuk memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki yang menyerupai wanita (maknyah/ pondan) samada dari segi pakaian ,penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah HARAM di sisi Islam.
Jawatankuasa Fatwa juga menggesa ibu bapa dan masyarakat Islam supaya memberi perhatian serius terhadap gejala ini serta menekankan pendidikan (pendidikan Islam), tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak mereka khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.
Sabda Rasulullah SAW : عن ابن عباس رضي الله عنهما قال : لعن النبي صلى الله عليه وسلم المخنثين من الرجال ، المترجلات من النساء Maksudnya : Daripada Ibn Anas r.a berkata Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita (HR al Bukhari) Maksud menyerupai dalam konteks hadith di atas termasuklah daripada aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya.
Begitu juga sebaliknya, haram ke atas wanita menyerupai kaum lelaki. Sabda Rasulullah SAW عن أبي هريرة رضي الله عته قال : لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الرجل يلبس لبسة المرأة ، والمرأة تلبس لبسة الرجل Maksud : Daripada Abi Hurairah r.a berkata :Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki. (HR Abu Daud)
Tujuh: Pihak pemerintah yang bertanggung jawab, buat apa sekarang? Kementerian pembangunan wanita, Kementerian pendidikan dan lain-lain....
Rujukan:
No comments:
Post a Comment