Monday, July 11, 2011

Adik Thaksin Pakai Tudung Macam Puteri UMNO



YINGLUC tidak kekok memakai tudung kepala semasa berkunjung ke wilayah Yala, Selatan Thai yang majoriti penduduknya beragama Islam.

DIBERITAKAN bayangan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra muncul lagi dalam kepimpinan kerajaan Negara Gajah Putih apabila adiknya bongsunya, Yingluck Shinawatra memenangi Pilihan Raya Umum Thailand 2011, 3 Julai lalu.
Parti Pheu Thai (Untuk Rakyat Thai) yang diwakili ibu kepada seorang cahaya mata itu memperoleh 313 kerusi daripada 500 kerusi yang dipertandingkan.
Ini bermakna kerajaan Perdana Menteri Abhisit Veijjajiva daripada Parti Demokrat yang hanya memperoleh 152 kerusi tersingkir apabila keputusan pilihan raya itu diumumkan 2 Ogos nanti.
Kemenangan itu menebus kembali maruah keluarga Lert Shinawatra selapas Thaksin digulingkan oleh kuasa tentera pada tahun 2006 atas alasan dia mengamalkan rasuah.
Konon, bukan sahaja cantik pada usia 44 tahun, Yingluck yang memiliki sifat kewanitaan sejati mampu menarik minat rakyat Thailand untuk mendekatinya.
Anak bongsu daripada sembilan adik-beradik itu sedar bahawa abangnya itu pernah meninggalkan ingatan yang besar terhadap seluruh penduduk Thailand. Thaksin sering menyalurkan bantuan yang besar untuk mengubah hidup anak kampung termasuk Pinjaman Desa sebanyak sejuta bath (RM991,000) kepada setiap kampung di negara itu yang kesemuanya berjumlah 75,000 buah kampung.
“Saya tidak tahu betapa besarnya kasih penduduk Thailand kepada abang (Thaksin) saya. Tetapi, adakah anda semua juga boleh mencurahkan kasih sayang kepada saya, adik bongsunya?” kata Yingluck semasa kempen pilihan rayanya.
Sebelum terlibat dalam dunia politik, Yingluck terlebih dahulu berjaya dalam dunia perniagaan. Dia ialah pengurus besar syarikat telekomunikasi M Link Asia Corporation milik keluarganya. Yingluck sejak kecil sudah mengenali dunia politik kerana bapanya, Lert Shinawatra merupakan seorang ahli parlimen di wilayah Chiang Mai.
Pemegang ijazah sains politik dari Universiti Chiang Mai, Yingluck turut melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Universiti Kentucky, Amerika Syarikat dalam bidang pentadbiran awam. Banyak pihak yang kagum dengan semangat wanita cantik itu yang berazam untuk menjadi Perdana Menteri Thailand yang pertama dalam sejarah politik negara itu.
Namun, Yingluck sedar cabaran yang menantinya bukan calang-calang khususnya untuk menangani pergolakan politik di selatan negara itu. Musuh politik Yingluck, Abhisek pernah memberi amaran bahawa Thailand akan kembali bergolak jika Yingluck menang dalam pilihan raya. Namun, wanita itu enggan menoleh ke belakang.
Memikat Pengundi Muslim..
Dia sebaliknya telah melakukan usaha yang perlu untuk memenangi hati pengundi Muslim di Selatan Thai. Dia yang mengenakan tudung berwarna merah ketika berkempen di sebuah kampung di Yala, kelihatan tidak kekok bermesra dengan penduduk di situ. Bahkan penduduk menggelarkannya dengan nama Jamila yang bermaksud wanita cantik kerana kejelitaan yang dimiliki wanita berdarah campuran Cina dan Thailand itu.
Dia yang diiringi seorang pemimpin parti Pheu Thai, Yongyuth Wichaidit telah mengunjungi rumah bekas wakil rakyat di kawasan itu, Wan Muhamad Noor Matha. Seramai 3,000 penduduk Muslim Selatan Thai turut hadir untuk bersua muka dengan pemimpin yang diharapkan dapat membela nasib mereka biarpun bertamu dalam tempoh 15 minit sahaja.
Yingluck bagaikan memberikan sinar baharu kepada penduduk di situ yang saban hari berasa ditindas di tanah air sendiri akibat persengketaan antara penduduk Muslim dan Buddha.

DI sebaliknya kesibukannya, Yingluck pasti meluangkan masa untuk suami, Anusorn dan anaknya Supasek..

Dalam pertemuan itu, dia berjanji untuk memberikan status zon pentadbiran khusus di lima daerah majoriti Muslim di negara yang didiami oleh 1.2 juta orang Islam itu.
Tidak mahu beromong kosong, sejurus kemenangannya, Yingluck menerusi Facebook dan Twitter, mengucapkan terima kasih sambil berjanji untuk merealisasikan impian rakyat negara itu yang mahu melihat keamanan dan pembangunan Thailand.
“Satu perkara yang perlu diselesaikan adalah mewujudkan keharmonian dalam negara ini. Semua pihak perlulah jujur dan ikhlas,” tutur Yingluck dalam laman Facebooknya.
Yingluck juga bakal menjadi pelengkap kepada barisan mereka yang pernah menjadi pemimpin utama wanita di Asia Tenggara termasuklah Corazon Aquino, Megawati Soekarnoputri dan Gloria Macapagal Arroyo.
“Saya akan menggunakan sifat kewanitaan yang saya miliki untuk berkerja keras demi negara kita,” ungkap Yingluck.
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Mengapa dikatakan adik Thaksin pakai tudung macam puteri UMNO? Kerana waktu menarik undi orang-orang mereka sanggup pakai tudung merah, tetapi sesudah itu sudah telanjang rambut semula.. Macam perbedaan di dua gambar di atas.(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails