SHAH ALAM 18 Jul 11: Bersih 2.0 memberikan tempoh tiga bulan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan empat daripada lapan tuntutan untuk dilaksanakan menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Sebelum ini, Bersih 2.0 menuntut lapan perkara kepada SPR sebelum perhimpunan 9 Julai diadakan, namun setelah mempertimbangkannya, SPR diminta melaksanakan empat tuntutan yang tertakluk pada bidang kuasanya sahaja.
Ahli Jawatankuasa Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya memberi tempoh tiga bulan itu untuk melihat sebarang perubahan yang akan dilakukan agensi bebas itu. Menurutnya, dalam perbincangan Bersih 2.0 dan SPR sebelum ini, dijelaskan kuasa badan bebas itu terhad dalam pentadbiran sahaja.
“Justeru, empat tuntutan itu boleh dilaksanakan SPR tanpa perlukan pindaan undang-undang dan mengemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan,” katanya.
Empat tuntutan itu adalah membersihkan senarai pengundi, mereformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal dan tempoh berkempen selama 21 hari. Menurut Maria, jika tidak mahu mengambil pendekatan untuk berubah, maka tidak perlu adakan pilihan raya. Katanya, tindakan ini adalah sebahagian daripada cara gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mengekalkan momentum selain inisiatif rakyat menganjurkan program ‘hari kuning’ pada setiap Sabtu.
“JKita mahu bergerak ke hadapan. Bola kini berada dalam gelanggang SPR dan mereka perlu respons sekarang,” katanya.
Maria menyifatkan SPR tidak mengambil pendekatan proaktif untuk mencapai persetujuan dalam rundingan dengan pihak Bersih 2.0. Malah katanya, sehingga kini suruhanjaya itu lebih gemar memberi pelbagai alasan seolah-olah cuba melindungi pihak berkepentingan. Menurut beliau, SPR mempunyai kuasa untuk merombak sebarang peruntukan yang diyakini dapat menambahbaikkan sistem pilihan raya di negara ini memandangkan agensi itu terletak di bawah kuasa Majlis Raja-Raja.
Sehubungan dengan itu Maria berkata, Bersih 2.0 bersedia untuk mengeadakakan pertemuan semula dengan SPR sekiranya suruhanjaya itu berhasrat untuk mempertimbangkan empat tuntutan utama yang dinyatakan
“Sampai sekarang ada orang hantar bukti. Baru-baru ini, ada individu daftar dua kali menggunakan kad pengenalan sama dan mengundi dua kali di dua tempat berasingan.
“Kita juga ada bukti di mana kad pengenalan baru dan lama digunakan untuk mengundi. Ini menunjukkan SPR sebenarnya tidak membersihkan senarai pengundi. Jadi kalau ini berterusan ia memberi impak buruk kepada kerajaan sekarang,” katanya.
Beliau turut mengulangi kejadian pembelian undi yang didedahkan portal berita alternatif pada Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu di mana SPR gagal mengambil sebarang tindakan walaupun gambar dan video telah tersebar luas di Internet. Maria menyifatkan sekiranya SPR melaksanakan tugas secara telus maka risiko bagi kerajaan UMNO - Barisan Nasional (BN) untuk tumbang adalah lebih kritikal.
Dalam pada itu Maria berkata, pengenalan kepada sistem biometrik amat digalakkan namun katanya kaedah itu memerlukan kos yang tinggi berbanding dakwat kekal. Jelasnya lagi, dakwat kekal diguna pakai di kebanyakan negara di mana perlaksanaannya memberangsangkan.
Sehubungan itu, Maria berkata tidak timbul sebarang dakwaan bahawa kaedah tersebut ketinggalan zaman kerana ianya akan memberi kebaikan kepada parti politik yang bertanding seraya mengelakkan daripada salah laku pengundian. (IH)
1 comment:
PAS sudah tidak lagi memperjuangkan Islam demi menjaga hati parti sekutu mereka. Pas lebih Takut DAP dari Allah.
Post a Comment