Friday, July 15, 2011

BERSIH 2.0 & Bersama Akil Hayy

HALAMAN HIBURAN

KL 15 Jul 11: Penceramah bebas, Akhil Hayy yang juga bekas penyanyi rock terkenal ditanya mengenai himpunan Bersih pada 9 Julai lalu, katanya, pada tarikh tersebut dia terlibat dengan program di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah bersama kumpula Hijjaz.

Dia tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara sensitif itu, lapor Kosmi! Online hari ini.

Akhil bagaimanapun menganggap Malaysia merupakan negara demokrasi di mana rakyatnya masing-masing berhak menyuarakan hak.

“Kebetulan masa himpunan Bersih itu saya terlibat dengan program di UiTM bersama Hijjaz.

“Saya tidak mahu komen apa-apa bila ia melibatkan politik. Yang saya tahu Malaysia ada demokrasi. Masing-masing ada hak suarakan sesuatu. Yang menjadi masalah apabila ada sesetengahnya tidak mahu duduk berbincang.

“Islam sememangnya inginkan kedamaian tetapi susah untuk dikecapi jika masing-masing tidak mahu duduk berbincang.

“Sebab tidak dapat apa yang diinginkanlah terjadinya Bersih. Jika hendak salahkan individu tertentu juga tidak boleh,” katanya.

Beliau, kini sibuk dengan pembikinan album berunsur dakwah yang baharu dan urusan perniagaan umrah. Album kelima Akhil yang bakal dipasarkan pada Syawal ini begitu istimewa kerana ia juga mendapat sentuhan lirik daripada isterinya.

“Album ini akan menampilkan beberapa kelainan kerana saya akan menyanyikan lagu hasil nukilan isteri saya.

“Bukan mudah untuk menyanyikan lagu yang berentak World Music, tetapi selepas mendengarnya beberapa kali, saya yakin peminat-peminat akan menggemari lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini,” kata Akhil yang mempertaruhkan lapan buah lagu di dalam albumnya.

Menurut isterinya Waheeda yang juga bekas penyanyi pula, katanya, terdapat dua buah lagu yang ditulis khusus buat Akhil iaitu Ighfir Zdunubi (Ampunkan Daku) dan Subhanak (Maha Suci Engkau). Menurutnya, album berkonsepkan taubat itu mengumpulkan lirik-lirik ketuhanan.

“Dua buah lagu itu turut menampilkan kolaborasi Akhil bersama penyanyi Mawi dan Kumpulan Brothers. Lagu ini juga berunsurkan taubat,” katanya yang mengakui lebih tenang bekerja di belakang tabir.

Tidak pernah rindu untuk kembali menyanyi atau belakon, Waheeda bagaimanapun berharap pihak-pihak yang masih menyiarkan lagunya (Wassini) mahupun filem-filem lakonannya seperti Nana Tanjung agar menghentikan siarannya apabila dia menghembuskan nafas nanti.

“Saya lebih tenang berada di belakang tabir. Lebih takut dengan Allah. Saya juga sedar wanita haram melontarkan suara untuk khalayak.

“Saya sedar saya tidak ada kuasa untuk menyuruh mereka berhenti menyiarkan lagu dan filem lakonan saya tetapi harapan saya agar mereka hentikan siaran lagu dan filem apabila saya meninggal nanti,” katanya dalam senyuman tetapi bermakna.

Bagi Akil Hayy, tidak hanya tertumpu kepada bidang seni semata-mata, Akhil yang juga bekas vokalis utama kumpulan Rock D'Riyadh itu, juga menubuhkan sebuah syarikat yang mengendalikan program ibadah umrah iaitu Akil Hayy Network. Syarikat Akhil bersama Waheeda itu mendapat sambutan yang menggalakkan.

Mereka juga sudah membawa rombongan jemaah seramai 30 untuk mengerjakan umrah. Mereka juga ada mengerjakan perniagaan lain seperti penapis air dan minyak wangi, tetapi lebih mengutamakan program ibadah umrah untuk para jemaah.

“Selain umrah kami juga ada melakukan perniagaan lain tetapi yang utamanya adalah umrah. Apa yang kami lakukan bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada mengeratkan silaturahim di kalangan jemaah yang pergi.

“Ikatan ukhwah itu bukan sahaja terjalin semasa di Tanah Suci tetapi akan berterusan selepas kembali ke tanah air,” katanya yang masih berhubung dengan jemaah-jemaah yang pergi.

Program ibadah umrah Akhil juga mendapat sambutan di kalangan selebriti termasuk Mawi dan keluarga serta Ustaz Radhi (bekas anggota kumpulan kumpulan Melissa) atau nama sebenarnya Mohd. Radhi Abdul Hamid bersama isteri.

Menyentuh mengenai perubahan yang berlaku kepada beberapa selebriti tempatan seperti Sham Kamikaze dan Amir (Kumpulan Ruffedge) Akhil mahupun Waheeda menyatakan mereka sangat bersyukur dan gembira dengan senario tersebut.

"Amin!" Sambut dan komen Weblog Ibnu Hasyim.

No comments:

Post a Comment