Wednesday, July 13, 2011

BERSIH 2.0: SPR & K'jaan Perlu Pertimbang -ABIM



KL, 13 Julai:
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) beranggapan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) wajar diperhalusi dan dipertimbangkan secara bersungguh-sungguh oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan.

Presidennya, Dr Muhamad Razak Idris turut menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan bagi meneliti dan menilai secara objektif tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih berdasarkan kepada beberapa perkembangan yang hangat berkaitan isu tuntutan itu.

Bagi tujuan tersebut, pihaknya ingin menyeru pihak SPR dan Bersih meneruskan usaha rundingan bagi menyahut titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong yang meminta supaya isu ini diselesaikan menerusi dialog.

Beliau berkata, sekiranya terdapat sebahagian dari tuntutan-tuntutan tersebut di luar dari bidang kuasa SPR, kedua-dua pihak harus bersetuju tentang langkah-langkah yang seharusnya dilakukan untuk tempoh terdekat dan jangka panjang bagi merungkai isu-isu berbangkit berkaitan tuntutan tersebut.

Menurutnya, di dalam suasana masyarakat Malaysia yang terbuka hari ini dan kesedaran terhadap nilai-nilai demokrasi yang semakin tinggi, sebarang pengesyoran dan permintaan yang boleh membawa kepada pengukuhan amalan dan sistem demokrasi seharusnya diraikan secara positif dan konstruktif.

“Tambahan pula dalam konteks ini ialah berkaitan amalan pilihanraya yang merupakan nadi kepada sistem demokrasi itu sendiri,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sebagaimana sedia diketahui, ujarnya amalan pilihanraya yang dihormati oleh semua pihak akan membawa kepada kewibawaan keputusan yang diperolehi. Ini, tambahnya secara langsung akan menyumbang kepada kesatuan penerimaan terhadap mandat kepimpinan yang dibentuk dan diputuskan oleh rakyat terbanyak.

“Kepimpinan yang diperoleh menerusi mandat rakyat secara berwibawa akan mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan diyakini oleh segenap pihak di dalam dan di luar negara,” ujarnya.

Semenara itu, Datuk Ambiga Sreenevasan mengkritik pentadbiran Najib, bahawa Putrajaya sepatutnya dipersalahkan atas respons luar dugaan rakyat ke atas perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara, Sabtu lalu.

Dalam temu bual dengan Wall Street Journal yang diterbitkan oleh laman web akhbar itu semalam, Pengerusi Bersih 2.0 itu menolak tanggapan bahawa perhimpunan penghujung minggu lalu mirip kebangkitan rakyat di negara-negara Arab sebab pihaknya tidak berhasrat untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN) meskipun kepimpinan perikatan itu mendakwa sedemikian.

Kata beliau, sebuah kerajaan yang banyak mengerasi berhadapan dengan sikap menjijikkan membabitkan rakyat jelata. Semalam, PAS berkata sekiranya tuntutan Bersih 2.0 tidak dipenuhi mereka tidak menolak kemungkinan mengadakan satu lagi perhimpunan yang dikenali sebagai Bersih 3.0. Perhimpunan Bersih kali pertama diadakan pada 2007. Mengikut laporan satu akhbar semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya sudah serik untuk berbincang dengan Bersih 2.0. (IH)

E-Buku IH-40: BERSIH 2.0, Siapa Tidak Bersih?
E-Buku IH-40: BERSIH 2.0, Siapa Tidak Bersih?

2 comments:

ken said...

Salam saudara, saya terserempak dengan blog saudara berikutan membaca berita-berita mengenai peristiwa 709 dan amat tertarik dengan artikel-artikel saudara, khususnya mengenai sejarah dan permulaan Islam di Malaysia. Paling menarik saya adalah keberkaitainan Islam dengan Cina, bahawa adanya lebih daripada yang dapat dilihat pada permukaan dan yang dibaca dalam kelas sejarah masa sekolah dulu. Saya tertanya kenapa subjek ini tidak dimasukkan dalam buku-buku sekolah padahal saya rasa kalau kaum cina dapat tahu dengan lebih mendalam mengenai sejarah Islam di negara kita dan peranan Cina yang sebenarnya lebih daripada apa yang diajar sekarang ia mungkin dapat mengharmonikan perselisihan faham antara kaum-kaum kita. Memang adanya juga muhibbah sekarang dan peristiwa 709 dapat membuktikannya, tetapi boleh juga bertambah lagi. Ini pendapat sayalah sebagai seorang cina bukan Islam :)

Ibnu Hasyim said...

T.kasih aas komen dan penilaian anda.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails