Tuesday, July 12, 2011

Demontrasi, Bagai Air Turun Dari Langit -Nik Aziz

KOTA BHARU 12 Jul 11: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan gerakan demonstrasi Bersih 2.0 seperti air dari langit turun ke bumi yang memasuki rumah dan kampung, lalu ‘alirannya’ disekat.

“Tak payah sekat, biar dia turun ke laut, jiwa manusia ni kalau disekat dia melawanlah, rakyat marah bila demokrasi disekat seperti ini..” katanya.

Beliau berkata demikian sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini kelmarin daripada mengerjakan umrah. Nik Abdul Aziz berkata, beliau mengikuti perkembangan mengenai demonstrasi Bersih 2.0 ketika berada di luar negara dan terlalu kecewa dengan tindakan pihak berkuasa.

Katanya, beliau juga kecewa dengan penangkapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Atas kesalahan apa Haji Hadi ditangkap, dia tak kacau orang, atas dasar apa tangkap dia.

“Kita bukan nak buat kacau tapi berilah peluang kami meluahkan masalah ini kepada Yang di-Pertuan Agong yang kita anggap sebagai bapa kepada seluruh rakyat negara ini,” katanya.

Menurut beliau, penganjur demonstrasi Bersih 2.0 tidak boleh dipersalahkan atas kekecohan yang berlaku di Kuala Lumpur Sabtu lalu, malah tindakan pihak berkuasa menyekat hasrat menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dilihat sebagai punca ia tercetus.

Beliau berkata, rakyat yang berhimpun bagi menuntut pilihan raya adil itu sepatutnya diberi peluang meluahkan ketidakpuasan hati mereka, bukannya disekat. Menurutnya, rakyat tidak sanggup menghabiskan masa, wang serta meninggalkan keluarga untuk menyertainya sekiranya kekotoran tidak berlaku dalam pilihan raya.

“Kerana ada kekotoranlah, maka rakyat sanggup berkumpul walaupun dilarang polis dan kita kena ingat yang terlibat dalam demonstrasi ini bukan orang kampung, tapi golongan intelektual malah diketuai pengamal undang-undang, Datuk S Ambiga.

“Kenapa tidak benar demonstrasi? Adakah kerana nak tutup kejahatan? Tak payah tutup, semua orang tahu, tapi bila polis sekat maka berlakulah kejadian yang dikatakan sebagai keganasan,” katanya. (IH)

1 comment:

Berita dari gunung said...

Nik Aziz syukur dengan kelahiran Ambiga: penyelamat Umat Islam, Bangsa Melayu, mengislamkan semula Lina Joy dan membersihkan jalanraya untuk umat Islam.

Kena bisik kuat-kuat sama Nik Aziz, Ambiga tu bukannya Azizah....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails