Monday, July 25, 2011

Dr Asri, Wahabi, Terorisme & BERSIH, Ada Kaitan?


KL, 25 Jul 11: Isu berkaitan fahaman Wahabi muncul semula hari ini dengan Putrajaya mengadakan mesyuarat khas meminta para mufti dan agensi agama negeri mengambil tindakan memantau amalan tersebut. Difahamkan mesyuarat pagi ini merumuskan pihak-pihak dipercayai ada kaitan dengan amalan Wahabi akan berakhir dengan pembabitan terorisme.

“Mesyuarat hari ini hanya memfokus pada isu amalan fahaman Wahabi dan kaitan dengan terorisme... di mana akhirnya mesyuarat memutuskan mereka yang ada kaitan dengan fahaman ini boleh menjurus kepada terorisme,” kata sumber.

Mesyuarat hari ini adalah susulan kepada pertemuan tahun lalu yang membincangkan isu berkenaan a,alan Wahabi di peringkat pusat pengajian tinggi. “Berdasarkan maklumat diterima, kesemua mufti negeri diminta memantau perkembangan amalan Wahabi di negeri masing-masing dan mengambil tindakan sewajarnya jika perlu,” kata sumber itu lagi.

Beberapa mufti yang dihubungi dikatakan enggan mengulas lanjut melainkan mengakui ada mesyuarat itu. “Lebih baik tanya kepada Majlis Keselamatan Negara,” kata sumber itu lagi.

Juga difahamkan mesyuarat hari ini ada menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang popular negara ini termasuk tokoh-tokoh ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu. Antara nama itu ialah bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang pernah dikaitkan dengan fahaman Wahabi.

Asri ketika dihubungi berkata beliau terkejut dengan kemunculan semula isu amalan Wahabi sedangkan menurut beliau ia sepatutnya sudah “reda.” Bagaimanapun beliau tidak menolak ia kemungkinan ada kaitan dengan perkembangan politik negara dan usaha mengalih pandangan selepas perhimpunan aman 9 Julai. (BERSIH 2.0)

“Saya ada menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, tetapi beliau tiada maklumat tetapi memberitahu akan meneliti,” katanya Asri memberi pandangan progresif mengenai perkembangan politik semasa.

Sementara itu ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya berkata, beliau tidak mahu memberi sebarang komen berhubung perkembangan terbaru ini. Beliau sebaliknya menegaskan agar pihaknya diberi peluang untuk membuat penjelasan dengan MKN.

“Saya tidak mahu cakap apa-apa mengenai perkara ini, saya difahamkan ia masih dalam proses perbincangan lagi.

“Jadi lebih baik keadaan reda dulu dan kita harap dapat membuat penjelasan dengan MKN, perkara ini terjadi sebab kita tidak mendapat peluang untuk buat penjelasan,” katanya.

Isu mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI) muncul awal tahun lalu. Ketika itu nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya juga muncul. Nama tokoh-tokoh itu dilaporkan dibangkitkan pada satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman ketika itu. Difahamkan nama Hadi dan Shahidan tidak muncul kali ini. (IH/Sumber The Malaysian Insider)

2 comments:

Anonymous said...

kumpulan munmafik yg besepah dalam kerajaan tak pula disiasat ?

Unknown said...

Wahabi pengganas? Ini satu lagi senjata baru UMNO untuk mengugut Dr Asri (bekas Mufti Perlis) supaya tidak lantang mengkritik UMNO. Itu cara samseng UMNO. Mereka juga biasa menggunakan polis dan SPRM untuk menyiasat ahli politik yang lantang mengkritik atau menentang UMNO.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails