KL, 7 Julai 11: Bersih 2.0 bertekad untuk berhimpun di Stadium Negara Sabtu ini meskipun Kabinet sudah memutuskan tidak akan membenarkan gabungan itu menggunakan stadium di ibu negara atas alasan ia bukan sebuah pertubuhan sah.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi, Bersih 2.0 berkata ia tidak akan berganjak daripada keputusannya mahu berhimpun di stadium yang bersejarah itu untuk menyatakan pendirian mengadakan pilihan raya bebas dan adil.
“Apa pun berlaku antara sekarang dan kemudian (Sabtu ini), rakyat akan berhimpun secara bebas secara aman untuk meminta pilihan raya bebas dan adil di Stadium Merdeka pada 9 Julai pukul 2 petang. Kami akan datang, kami akan (bertindak dengan) aman dan bersama, kami akan membina Malaysia yang lebih baik,” kata gabungan itu.
Gabungan itu berkata pihaknya kecewa dengan cara perdana menteri dan Kabinetnya memungkiri janji untuk menyediakan sebuah stadium bagi mengadakan perhimpunan aman.
“Sebagai anggota masyarakat madani yang komited kepada prinsip-prinsip integriti, kami mahu patuh sepenuhnya kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong dan mengadakan perhimpunan kami di sebuah stadium untuk menyatakan tuntutan berkenaan pilihan raya bebas dan adil,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu menambah sekiranya Najib seorang pemimpin yang mengotakan janjinya beliau seharusnya mengambil tindakan-tindakan sewajarnya bagi perhimpunan itu diadakan secara aman di Stadium Merdeka.
“Sama ada kerajaan ikut prinsip mereka (atau tidak), kami rakyat Malaysia akan sentiasa berpegang kepada prinsip kami.
“Kesungguhan kami untuk melaksanakan hak berperlembagaan untuk berhimpun secara aman bagi satu matlamat yang adil dan munasabah tidak goyah,” kata kenyataan itu lagi.
Menurut Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam, Kabinet telah memutuskan tidak akan membenarkan Himpunan Bersih 2.0 Sabtu ini diadakan di Stadium Merdeka atau Stadium Negara dengan alasan kumpulan berkenaan tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan selain faktor keselamatan.
Kata Rais, selepas mendapat pandangan daripada Jabatan Peguam Negara dan nasihat rasmi kerajaan, permohonan kumpulan berkenaan untuk menggunakan stadium terbabit tidak dapat dipertimbangkan.
“Oleh itu perlu bagi kumpulan berkenaan diwakili oleh individu ataupun badan bukan kerajaan yang sah di sisi undang-undang memohon (menggunakan stadium)... atas nama bersih yang sebenarnya tidak diiktiraf sebagai kumpulan sah tidak boleh.
“Permohonan untuk (menggunakan) Stadium Merdeka dan Stadium Negara tidak dapat dipertimbangkan oleh kerajaan, oleh demikian mereka perlu mencari stadium atau tempat lain seperti di Kelantan ataupun Selangor,” kata beliau. (IH)
No comments:
Post a Comment