Sunday, July 31, 2011

Rock & Akhil Hayy

HALAMAN HIBURAN


LELAKI kelahiran Perak ini adalah salah seorang daripada sederet pemuzik yang dengan diketuk sedar lalu meninggalkan kehidupan pentas dan memilih untuk mendekati Allah. Kisah hiruk-pikuk itu sudah jadi episod masa lalu buat Akhil Hayy yang kini disapa ‘ustaz’.

Buka bicara Akhil, memang ada pertikaian dalam gelaran itu namun menyelak kembali lembaran kisah dulu, panggilan itu sudah menyapa dirinya sejak 1996. Ustaz itu guru, kata Akhil. Dia bermula dengan mengajar al-Quran ketika di Ipoh. Masuk ke sekolah pondok dengan azam untuk menjadi orang yang lebih baik. Tambahnya lagi, mata hati insan berbeza-beza.

Sejak itu dia digelar ustaz dan melekat hingga kini. Daripada seorang rocker, dia melepaskan gelaran vokalis D’Riyadh dan merombak karier solonya. Toleransinya dengan cubaan hidup berubah warna.

Bangun dengan cubaan

Senyap seketika sesudah menikahi selebriti wanita, Waheeda selepas selaput cerita hitam menerjah perjalanan cerita mereka, kini Akhil kembali dengan cubaan.

Bukan cubaan luar biasa, sebaliknya sebuah program dengan judul Cubaan digalasnya sebagai pengendali. Sebuah program santai dengan kamera tersembunyi untuk merakamkan beberapa cubaan moral untuk dijadikan iktibar kepada masyarakat.

“Saya enggan menamakan konsep Cubaan sebagai ‘prank’. Sebaliknya ia adalah sebuah pendidikan kerohanian. Konsep ilmu, ia harus didatangi tetapi untuk program ini saya melihat kepada sebuah wacana mencari hikmah di sebalik realiti kehidupan. Astro Oasis pula membawa wadah untuk berdakwah,” ujarnya yang turun padang bersama team produksi untuk menumpahkan serba sedikit ilmu buat khalayak.

Mungkin juga melenturkan sedikit ‘dawai’ di hati khalayak.

Sudah dipertontonkan pada setiap Sabtu pada pukul 7.30 malam bermula 16 Julai lalu di Astro Oasis (Saluran 106), Akhil banyak tersenyum seakan puas kerana terlibat dengan program pengisian rohani ini.

Mendatangi khalayak di jalanan seperti di Masjid India, dia menjadi pemerhati budaya dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap cubaan-cubaan yang dipertaruhkan sebagai umpan.

“Saya sendiri banyak belajar. Kita mungkin membuat andaian sendiri tentang sikap keprihatinan. Daripada apa yang berlaku depan mata saya, saya lihat hakikat sebenar bahawa orang Melayu, Cina dan India itu prihatin tanpa mengira bangsa. Tiada perkauman dalam menghulurkan bantuan,” ujarnya yang teringat salah satu lakonan wanita mengandung memerlukan pertolongan dan seorang lelaki India datang menghampiri.

“Namun pada satu sisi juga, saya melihat orang kita lambat bertindak. Suka ikut naluri sendiri. Ada yang sekadar memerhati.

“Tahap sporting mereka sederhana kerana orang kita tidak suka dipermain-mainkan malah boleh dikatakan pemalu,” ujar Akhil tentang program 13 episod tersebut yang turut menerjah marhaen untuk berzikir dan membaca doa secara spontan, di kala mereka tidak bersedia. Kemudian menutup setiap episod dengan kesimpulan beserta hadis sebagai rujukan.

Akhil menerjah khalayak sebagai hos dan di sebalik itu dia menjadi ustaz yang tidak tipikal. Pendekatannya santai kerana jemaah yang didekati di jalanan tidak sama dengan yang dihampiri di majlis-majlis kerohanian yang dikendalikannya di masjid mahu pun surau.

“Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak, masuk kandang harimau, kita yang kena makan (ketawa). Maksudnya saya akan menyesuaikan keadaan dan pemakaian dalam menyampaikan pesan,” ujarnya dengan harapan agar melalui program ini, khalayak terbuka hati untuk mengkaji ilmu agama di madrasah sebagai susulan.

Dugaan Usia 40

Dilemparkan soalan buat Akhil yang nampak tenang sekarang, bukan sekadar raut wajah tetapi juga tenang dalam perjalanan hidupnya kini. Tidak lagi berombak seperti satu ketika. Soalan tentang cubaan hidupnya kini. Bukan bermaksud untuk menyingkap cerita silam namun sekadar berkongsi pembelajaran buat seseorang yang diduga pada usia 40 tahun. Kononnya usia keramat untuk kebangkitan seorang lelaki.

“Orang kata kehidupan lelaki bermula pada usia 40 tahun. Melihat fakta sebenar, nabi ditugaskan menjadi Rasul pada usianya 40 tahun.

“Dugaan awal hidup saya berawal pada tahun 1996 ketika bermula mahu jadi ustaz. Kemudian datang lagi pada usia 40 tahun. Saya diuji cabaran dan getir. Menduga antara nafsu dan iman,” ujar Akhil yang kini berusia 42 tahun yang enggan menyebut cerita lama. Biar ia menjadi cerita masa lalu dan yang dibelek hanya pembelajaran.

“Cubaan ketika itu adalah maruah. Sekali tercalar susah untuk dikembalikan. Palitan demi palitan saya terima. Mungkin saya terlepas pandang lalu diberi ujian, tapi saya survive. Saya yakin dengan kuasa Allah. Saya diuji sama ada mampu atau tidak berhadapan dengan ini semua,” ujarnya merujuk kepada ujian bergelar lelaki pada usia 40 tahun.

“Saya tidak mahu jadi ustaz yang tipikal. Saya buat cara saya dengan mengagungkan Rasul junjungan. Saya mahu menjiwai watak beliau dan dijadikan contoh terbaik,” ujarnya jelas dalam nafas penyampaian dakwah. Satu laman yang sudah diteroka selama 15 tahun kini.

Tidak meletakkan diri di zon selesa setelah semua cubaan ‘dunia hiburan’ telah pudar mengikut masa, dia menganggap setiap hari dan kerja yang datang adalah cabaran buat dirinya.

Mahu buat album rock

Bakal sibuk dengan pelbagai perancangan sempena Ramadan, kata Akhil rutinnya dia akan berbuka di kampungnya di Gopeng pada setiap 1 Ramadan. Pulang ke Kuala Lumpur kemudiannya untuk tugasan dakwah dan selebriti, Akhil yang menubuhkan Akhil Network turut menganjurkan pakej umrah lengkap kembara sufi siri 2012.

“Selain itu, saya juga akan sibuk dengan program Laman Nurani, Raya Imam Muda dan Marhaban di Astro. Pada 3 Ogos ini, saya akan terbabit dengan pelancaran pakej umrah serta tazkirah dan lagu,” ujarnya yang kemudian menerangkan tazkirah dan lagu adalah konsep satu hiburan dan dakwah yang datang dengan kos RM30. Harga itu akan memberikan ceramah dan cenderahati buat khalayak yang mendaftar.

Ditanya tentang jiwanya yang dahulu bermula dengan dunia rock, Akhil mengaku masih menjadikan grup Nightwish dan Within Temptation sebagai salah satu halwa telinga.

“Saya gemarkan juga lagu-lagu yang bersifat spiritual. Suka dengar lagu-lagu runut bunyi filem epik. Merujuk kepada zaman nabi dahulu, penyair seperti Tufail bin Amr Ad-Dausi dan Hassan bin Tsabit juga diiktiraf. Kaedah seni adalah antara cara untuk berdakwah dengan mudah. Rugi kalau kita tidak manfaatkannya,” ujar Akhil mungkin mahu memperjelaskan terhadap sorotan tajam terhadap hiburan buat sesetengah masyarakat.

Menerobos masuk ke dalam jiwanya yang masih punya akar rock, dia berkata jujur bahawa masih ada pemberontakan di dalam dirinya yang bakal dikeluarkan.

“Saya merangka untuk membikin album rock. Sedang susun barisan pemuzik yang masih dirahsiakan. Tapi saya mahu buat cara akustik. Ini adalah ruang pemberontakan saya. Nantikan sahaja,” senyumnya seraya menambah bahawa album kelimanya juga bakal dikeluarkan dan isteri tersayang telah menyumbangkan dua buah lagu dalam album tersebut. (IH/Kosmi! Online)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails