Saturday, July 16, 2011

Seorang Pendeta Buddha, Berjalan Mencari Damai

Oleh Venerable Mjan | Jul 15, 2011 01:48:57 pm

BERSIH 2.0, Pengalaman Saya Siri 6

Gambar Tok Guru Nik Aziz bersama sami-sami Buddha

Kisah 709 seorang pendeta Buddha: Berjalan untuk mencari kedamaian

Langkah 9 Julai semakin menghampiri. Minda saya berkocak. Orang di sisi saya bertanya, "Adakah kamu akan hadir?"

"Saya tersangat ingin! Betul-betul tersangat ingin! Tetapi..."

Pada jam 9 pagi, 9 Julai, saya memberi kuliah kepada sekumpulan penuntut. Jian menelefon saya. Kami mengeluh, mengalirkan air mata, dengan rasa gagal melakukan apa-apa.

Dia tanya, "Shi Fu, mengapa kamu tidak menggalakkan saya untuk hadir?"

Saya jawab, "Jian, mereka yang menyertai perhimpunan 709, sepatutnya hadir bukan kerana digalakkan. Tetapi tindakan ini zahir dari fikrah diri, perasaan dan kesediaan menanggung. Jadi, siapa yang boleh menggalakkan sesiapa untuk hadir?"

Selepas meletakkan telefon, saya meminta "cuti" daripada penuntut saya yang sedang menunggu. Saya mengambil keputusan untuk masuk ke bandar! (Benar, rupa-rupanya, kata-kata kepada jian tadi ditujukan kepada diri saya.)

Saya mengajak yw yang tinggal berhampiran dengan saya untuk pergi bersama. Di luar jangkaan saya, dia bersetuju tanpa keraguan. Sudah hampir jam 12 tengahari ketika kami bertolak. Kami berkereta ke stesen LRT Asia Jaya, kemudian menaiki LRT ke Pasar Seni. Polis kelihatan di mana-mana. Yw ketawa dingin, "Tak nampak pun mereka tekun sebegini bila menangkap pencuri!"

Kira-kira jam 1 tengah hari, saya makan di restoran India yang berhadapan dengan Pasar Seni bersama yw. Hanya beberapa suap nasi yang dimakan, terasa pedas pula mata saya. Saya tertanya-tanya dalam hati saya, tak ada bawang pun dalam sayur ini, mengapa sengit pula rasanya? Ada orang yang menutup pintu besi kedai tu, ada orang yang berlari menuju ke arah kami, ada yang berteriak, "Polis telah melepaskan gas pemedih mata!"

Kok Meng memaklumkan kepada saya untuk berkumpul di kedai buku ShangHai di Jalan Sultan. Setibanya saya di sana, saya mendapati ramai orang sudah berkumpul, dengan laungan slogan yang tidak terhenti-henti. Kami dimaklumkan untuk menuju ke Menara MayBank. Seorang pakcik yang bersongkok datang ke depan saya, dengan senyuman yang melebar, sambil menegakkan ibu jarinya, cuba bertutur dalam bahasa Cina dengan bunyi Melayunya, "ni, jia you!" (Kamu, teruskan!)

Kami tidak ternampak apa-apa, sebab terlalu banyak orang! Tiba-tiba tepukan gemuruh, dan sekumpulan muslimat yang menutup muka memasuki kumpulan kami. Laungan slogan semakin lantang. Saya memaling kepala saya, ribuan manusia dari Pudu menuju ke arah kami. "BERSIH! BERSIH!" bergema, kemudian disusuli nyanyian Negaraku. Saya terharu. Ramai orang muda yang menyertai "pesta" ini. Saya nampak kekuatan dan harapan untuk berubah, dari senyuman pada muka mereka.

Kira-kira setengah jam kemudian, arus manusia menuju ke Pudu, kononnya mahu mara ke Stadium Merdeka. Kami berjalan dengan perlahan-lahan menyusuri kaki lima di kedai-kedai yang bertentangan dengan perhentian bas Pudu Raya. Tiba-tiba orang di depan berundur, memaklumkan bahawa FRU menghalang di depan. Yw dan seorang lagi abang yang menemani saya sepanjang perjalanan ini membimbing saya untuk patah balik. Tidak jauh saya nampak meriam air ditembak ke arah kelompok orang, dan kami segera mengelak dari situ.

Tanpa dijangka, gas pemedih mata dilepaskan di belakang kami. Saya gagal membuka mata. Sungguh pedih! Sungguh pedih! Saya meraba-raba berkas air saya, membasahkan sapu tangan dan dilapkan pada muka. Kesakitan pada muka saya itu seolah-olah kesakitan melecur.

Tanpa disedari kami masuk ke lorong. Kami menunggu. Langit menjadi mendung. Kemudian kami kembali ke tempat berhampiran dengan Pudu Raya. Ada orang berkata kami telah dikepung. Abang dan yw melindungi saya, menaiki tangga ke kuil sikh. Nampaknya polis sekali lagi melepaskan gas pemedih mata. Ada orang yang menghulurkan garam kepada saya, dan terus saya masukkan ke dalam mulut.

Hujan renyai-renyai tadi menjadi lebat. Abang itu berkata, langit pun tolong kita! Garam yang masin dalam mulut saya amat memahitkan! Mata pedih, kulit muka saya panas. Dalam keadaan sedemikian, hati saya tertanya-tanya, mengapa kerajaan ini sanggup menyusahkan rakyat jelatanya?

Berjalan demi mencari kedamaian

Hujan akhirnya henti. Kami merancang untuk balik semula ke perhentian bas Pudu Raya, untuk menyusun semula pasukan. Tiba-tiba kami dengar teriakan, dan nampak beberapa orang polis mengejar orang dengan baton dalam tangan mereka. Kami nak kembali ke kuil sikh tadi, tapi juga dihalang anggota polis.

Saya ternampak seorang peserta duduk di atas lantai. Saya tidak pasti apa sebabnya. Polis mengheretnya orang itu. Abang saya tidak berpuas hati dengan kekasaran yang digunakan, lantas menjerit, "polis samseng!" Di belakang saya ada polis dengan garang mempersoalkan abang saya itu (saya tidak pasti sama ada kekasaran digunakan), saya hanya terdengar abang saya mengulangi, "abang, jangan macam ni!"

Hati saya berdenyut dengan cepat. Tiba-tiba saya teringat ajaran pendeta, "berjalan untuk mencari kedamaian". Saya membaca ayat suci dalam hati saya, melangkah dengan perlahan-lahan.

Kelompok manusia hilang. Berselerak, menunggu masa untuk berhimpun semula. Saya menghubungi Kok Meng. Beliau menunggu di Hospital Tung Shin. Ada khabar bahawa sekumpulan orang sudah menuju ke Stadium Merdeka. Berita ini memberangsangkan.

Kami menyusuri Jalan Raja Chulan. Semakin besar pasukan kita. Ramai pelancong yang mengambil gambar. Saya berfikir, kan baik kalau di Stadium? Kini seluruh dunia menyaksikan perhimpunan besar-besaran ini. Seandainya mereka yang membuat keputusan berada di tempat kejadian, menyaksikan keputusan diri yang bodoh itu, mungkin mereka akan menghantukkan kepala mereka ke dinding!

Tubuh saya menjadi lembam, mungkin terhidu gas pemedih mata yang berlebihan. Saya dan yw mengambil keputusan untuk beredar selepas tiba di KLCC. Ketika sampai di KLCC, kami difahamkan bahawa agak mustahil untuk masuk ke Stadium Merdeka. Kami beredar pada kira-kira jam 4 petang...

Niat manusia yang baik akan direstui Tuhan


Di sini saya ingin mencadangkan agar BERSIH 2.0 mengucapkan terima kasih kepada kerajaan:-

1. Setelah Ambiga menerima nasihat YDPA untuk mengadakan perhimpunan di Stadium, dua pandangan yang berbeza tercetus dalam BERSIH 2.0 sendiri. Terima kasih kerana Najib berdolak-dalih, sikap itu memaksa kita untuk turun ke jalan raya semula, dan membantu Ambiga untuk meredakan pertikaian dalam BERSIH 2.0.

Apa yang menggembirakan, hasrat asal BERSIH 2.0 untuk berhimpun di jalan raya telah disempurnakan kerajaan. Mungkin inilah apa yang dikatakan, "niat manusia yang baik akan direstui Tuhan"!

2. Ribuan malah puluhan ribuan yang turun berhimpun. Sememangnya kerumitan lalulintas yang ditimbulkan amat dikesali, maka kesungguhan polis (lebih bersungguh-sungguh berbanding usahanya menangkap pencuri) untuk buat sekatan, telah membantu peserta perhimpunan mencapai matlamat tanpa mengganggu orang ramai. Tidak keterlaluan jika kita berterima kasih dalam hal ini.

3. Gambar dan klip video yang dirakamkan mungkin boleh dituduh bahawa ianya direka "perusuh". Namun, rakaman tersebut kini tersebar di merata dunia. Pelancong dari seluruh dunia gembira mengambil gambar dan video mereka. "Sekatan" kerajaan sebenarnya "keterbukaan", menyebarkan "BERSIH 2.0" ke seluruh dunia. Kita mesti berterima kasih kerana kebijaksanaan kerajaan kita!

Diangkat dari


No comments:

Post a Comment