Saturday, July 30, 2011

Setelah 2 Pertemuan, Rakyat Tidak Percaya SPR

Hadirin yang mengambil bahagian dalam forum Undang-Undang Pilihan Raya, SPR dan Pembaharuan Pilihan Raya anjuran Proham semalam. — Foto oleh Choo Choy May

KL 30 Jul 11: Telah dua pertemuan berturut-turut berlaku antaraTimbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dengan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevesan yang menyaksikan rakyat tidak mempercayai ketelusan agensi itu.

Dalam dua pertemuan iaitu Wacana Apa Selepas 9 Julai anjuran Kumpulan Media Karangkraf Selasa lalu dan forum Undang-Undang Pilihan Raya, SPR dan Pembaharuan Pilihan Raya anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) semalam, secara jelas rakyat banyak mempertikaikan sistem pilihan raya yang dijalankan SPR sambil mendakwa agensi itu tidak telus.

Berbanding dengan pertemuan pertama, Wan Ahmad lebih banyak dicemuh dan diejek oleh orang ramai yang menyertai wacana itu, namun dalam forum semalam, pemimpin nombor dua SPR itu kelihatan semakin yakin dan bersedia dengan soalan-soalan yang dikemukakan.

Walaupun masih bersikap mempertahankan diri dengan mengatakan SPR tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0, namun Wan Ahmad cuba mengambil hati dengan mengatakan perkara itu boleh dibincangkan agar ia dibawa ke peringkat atasan.

“SPR ditubuhkan di bawah peruntukan 114 Perlembagaan Perseketuan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, saya tidak boleh buat keputusan sendiri kerana kita ada tujuh ahli panel yang lain.

“Tolong faham, SPR bukan badan penguatkuasaan...kami hanya badan menguruskan pilihan raya dan kami tiada kuasa untuk laksanakan perkara yang di bawah kuasa kami, apa yang kami boleh lakukan adalah buat cadangan kepada Jabatan Peguam Negara dan kemudian terserah kepada kerajaan untuk putuskan yang mana ia akan dibahaskan di Parlimen,” katanya pada forum semalam.

Malah dalam ucapannya, Wan Ahmad beberapa kali menegaskan, SPR tidak boleh melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0 seperti mana yang dikatakan pada pertemuan pertama di Shah Alam.

Walaupun terus diasak dengan pelbagai persoalan mengenai sistem pilihan raya, lapan tuntutan Bersih 2.0 dan pendaftaran automatik Wan Ahmad tetap mengatakan “ia boleh dibawa berbincang.”

“Tetapi dalam sistem sekarang, kerajaan perlu setuju dengan (cadang) pindaan itu dahulu, barulah rang undang-undang itu boleh digubal oleh Jabatan Peguam Negara.

“Dalam soal daftar undi automatik, kita tidak boleh paksa mereka mendaftar kalau mereka tidak mahu, mungkin kita fikir umur 21 tahun perlu mendaftar, tapi ada orang yang berfikiran berlainan.

“Kerajaan ada polisi, kita boleh usulkan atau beri apa sahaja cadangan, tapi kalau kerajaan setuju baru ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu Ambiga, yang mendapat sokongan padu rata-rata peserta pada kedua-dua program itu tetap menegaskan, SPR mempunyai kuasa untuk melaksanakan lapan tuntutan yang dikemukakan.

Bahkan bekas presiden Majlis Peguam itu tetap mahu SPR menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13, sekiranya sistem biometrik masih tidak boleh dilaksanakan. Mengaku tidak akan menolak mana-mana sistem termasuk sistem biometrik jika terbukti baik, Ambiga yang mewakili 62 badan bukan kerajaan (NGO) mahu ia dikaji dan diteliti secara terperinci sebelum dilaksanakan.

“Dakwat kekal lebih murah dan berkesan daripada sistem biometrik, kalau mahu laksanakan sistem biometrik banyak perkara yang perlu dilakukan termasuk penjelasan kepada rakyat.

“Kita tidak mahu ia dibuat dengan terburu-buru kerana ia boleh mendatangkan masalah, jadi lebih baik gunakan dakwat kekal jika ia masih belum boleh digunakan,” kata Ambiga yang sentiasa mendapat sorakan dan tepukan gemuruh.

Menurut Wan Ahmad, walaupun sistem biometrik masih di peringkat kajian, namun beliau yakin ia adalah kaedah terbaik untuk menangani isu pengundi hantu yang sentiasa menghantui sistem pilihan raya. Setiap kali pilihan raya diadakan isu pengundi hantu akan sentiasa menjadi topik utama parti pembangkang dan SPR tetap menafikan kesahihan dakwaan itu.

“Satu-satunya jalan terbaik untuk mengenal pasti kewujudan nama pengundi bertindih adalah melalui sistem biometrik,” katanya.

Walaupun SPR dilihat menghadapi krisis kepercayaan daripada rakyat ekoran sikap berat sebelah agensi itu, namun sesi dialog secara terbuka boleh memberikan penjelasan terhadap isu-isu yang berbangkit. Malah dalam pertemuan kedua semalam banyak pandangan dan jawapan yang diberikan Wan Ahmad boleh diterima walaupun masih ramai yang tidak berpuas hati.

Menjelang pilihan raya umum ke-13, yang mungkin diadakan penghujung tahun ini, adalah amat wajar sekiranya sesi dialog oleh SPR diperbanyakkan agar rakyat terutamanya pengundi luar bandar yang tiada akses kepada Internet dapat mengetahui maklumat terkini tentang usaha-usaha yang dilakukan agensi itu.

Kita kena mengucapkan terima kasih kepada Bersih 2.0 kerana mengetengahkan isu-isu yang tidak diketahui ramai. Wacana dan forum terbaru ini menunjukkan ada kekurangan dan kelemahan dalam sistem SPR sendiri.

Sebagaimana diharapkan kerajaan perlu memanggil satu panel khas merangkumi semua pihak bagi memperbaiki sistem yang sedia ada. Rakyat perlu membantu SPR jika SPR tiada kuasa. Rakyat kena memberi SPR kuasa jika kuasa itu yang diperlukan. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails